Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Baju kebaya Saloma & struktur rumah kampung jadi inspirasi dua graduan Maktab Seni LASALLE ini

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mendapati bahawa tidak ramai wanita menggayakan kebaya pada zaman sekarang, anak muda berusia 22 tahun dari Maktab Seni LASALLE mendapat idea baru untuk mempopularkan kembali pakaian kebaya.

Ini cuba dilaksanakan Iris Zulfa dengan mereka koleksi kebaya bagi projek tahun akhirnya.



Dipanggil 'Sunburnt Heart', ia menampilkan kebaya dengan wajah "baru" sambil mengekalkan beberapa ciri-ciri asli baju kebaya.

Menariknya, penyanyi dan ikon wanita Melayu pada 1960an, Saloma, menjadi sumber inspirasi terbesar bagi karyanya.

"Ia satu ekspresi untuk ketabahan dan kegigihan seorang wanita Melayu moden yang perlu sentiasa berubah atau 'adapt' dengan masa kini, yang sentiasa penuh dengan teknologi atau masa yang amat mencabar," kongsi Iris kepada BERITAmediacorp.

"Ini juga satu koleksi yang menunjukkan bahawa walaupun dunia masa sekarang semakin moden, kami tetap berpegang teguh kepada identiti dan kemelayuan kami," tambahnya lagi.

KAJIAN TERHADAP GAYA SALOMA DILAKUKAN UNTUK HASILKAN PROJEK TAHUN AKHIR

Untuk menghasilkan projek tahun akhirnya itu, Iris berkongsi bahawa pelbagai kajian perlu dilakukan terutama sekali mengkaji gaya-gaya Saloma.

Ini dilakukan antaranya menerusi bahan-bahan dari arkib dan muzium.

"Saya memerhatikan bahawa beliau seorang yang membuat dan menjahit bajunya sendiri dan beliau sering menggunakan kain-kain Melayu seperti songket atau batik," ujar Iris.

Anak muda itu juga akui bahawa tidak ramai wanita pada masa kini masih menggayakan kain kebaya.

"Justeru saya menggunakan idea kebaya dan menggabungkan kain-kain Melayu seperti batik dalam koleksi saya untuk membawa kembali idea memakai pakaian etnik untuk masa sekarang," menurut Iris.

810 PELAJAR MAKTAB SENI LASALLE TERIMA IJAZAH DAN DIPLOMA

Iris merupakan antara 810 pelajar yang meraih ijazah dan diploma dalam konvokesyen Maktab Seni LASALLE tahun ini yang diadakan di Singapore Expo secara fizikal.

Iris menerima sarjana muda dengan kepujian dalam rekaan fesyen dan tekstil hari ini (14 Okt).

Namun, perjalanan pelajar itu tidak datang tanpa cabaran.


(Gambar: LASALLE College of the Arts)

"Di Singapura, tidak banyak kilang yang membantu pelajar seperti saya kerana kebanyakan pakaian dijahit atau dilakukan di luar negara kerana lebih murah," luah Iris.

"Jadi saya rasa industri fesyen di Singapura dari segi itu amat kecil dan cabaran bagi saya pada (masa) itu adalah kewangan kerana ia amat mahal," tambahnya lagi.

FARIZI NOORFAUZI BINA STRUKTUR KAMPUNG LAMA GUNA KAYU YANG DIKITAR SEMULA

Seorang lagi graduan tahun ini, Farizi Noorfauzi, menerima sarjana muda dengan kepujian kelas pertama dalam seni halus.

Minat dalam seni bina dan struktur bangunan-bangunan lama seperti kampung zaman dahulu, beliau terdorong untuk mereka semula bangunan-bangunan itu menggunakan kayu bagi projek tahun akhirnya.



"Saya perasan yang struktur begitu tidak boleh dicari dalam zaman moden. Jadi, untuk projek tahun akhir saya, saya cuba membina struktur-struktur ini," kongsi Farizi, 24 tahun, kepada BERITAmediacorp.

"Saya memakai kayu yang dikitar semula dan boleh dicari dari mana-mana di sekolah," tambahnya lagi.

Hubungan antara identiti dan memori menjadi sumber inspirasi bagi karyanya.

"Saya perasan tidak ada banyak perbincangan tentang hubungan diri sendiri dengan sejarah-sejarah dulu dan bila saya cuba mengingati memori tentang zaman-zaman dulu ini, dan cuba memahami emosi-emosi saya, saya mendapat inspirasi untuk mencipta karya dalam amalan kesenian saya," ujar Farizi.
Berkecimpung dalam bidang seni sebegini, Farizi akur ada juga cabaran yang dia hadapi.


(Gambar: Farizi Noorfauzi) 

Misalnya, bagi projek tahun akhirnya, beliau mengambil masa setahun untuk menghasilkannya - iaitu tempoh yang paling lama baginya untuk sesebuah projek.

Sebelum ini, Farizi juga pernah terlibat dalam pelbagai pameran termasuk pameran 'Objectif' pada 2019, di mana dia berkongsi pendapat tentang kepelbagaian definisi identiti Melayu bagi membentuk kefahaman yang lebih besar.

SENI ADALAH CERMINAN SESEBUAH MASYARAKAT

Majlis konvokesyen yang diadakan hari ini (14 Okt) turut mengiktiraf individu yang menyerlah dan menonjolkan kecemerlangan dalam bidang seni masing-masing.

"Nilai seni amat meluas. Seni menjadi cerminan masyarakat dan membawa orang ramai bersama. Ia memainkan peranan kritikal dalam menyediakan wacana dan persefahaman bersama," kata Dr Maliki dalam satu ucapan videonya kepada para graduan.

"Seperti yang lain sebelum anda, pendidikan anda akan menjadi berguna. Anda berada dalam tempat baik untuk perjalanan akan datang. Sebagai artis, pandangan yang anda sediakan sangat berharga kerana ia luas dan mendalam," tambah beliau.

Dalam pada itu, Dr Maliki juga menasihati agar para graduan sentiasa mencari peluang baru, membuka minda mereka dan terus mengekalkan minat untuk belajar.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan