Baitul Aman raikan sekitar 300 ibu dan penerima bantuan sempena Hari Ibu
SINGAPURA: Sekitar 300 hadirin menyertai acara Hari Ibu dan Perjumpaan Hari Raya anjuran Persatuan Baitul Aman pada Sabtu (11 Mei).
Ia bagi meraikan para ibu yang merupakan penerima bantuan persatuan itu untuk menyuntik keceriaan buat mereka.
"(Acara) ini untuk mengumpulkan semua ibu (penerima bantuan) untuk sambutan Hari Raya tahunan bersempena dengan Hari Ibu untuk memberi sedikit kemeriahan kepada mereka dan mengingatkan mereka bahawa kami ada di sisi mereka untuk membantu dan membimbing mereka," kongsi Setiausaha persatuan itu, Encik Kassim Mohd Ali dalam jawapan bertulis kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Acara itu juga bertujuan untuk mengumpul dana bagi para penerima bantuannya termasuk kanak-kanak daripada keluarga memerlukan, para pesakit dialisis, ibu atau bapa tunggal serta bekas penagih dadah.
Antara ibu yang diraikan di acara itu ialah Cik Fauziah S yang telah meraih sokongan daripada Baitul Aman.
Antara cabaran yang beliau hadapi ialah memberi tumpuan kepada anaknya kerana beliau keluar bekerja sementara suaminya masih dalam tahanan.
"Baitul Aman dapat meringankan sedikit bebanan kami dengan pemberian barang-barang dapur seperti beras, minyak makan dan lain-lain keperluan. Walaupun sedikit, kami tetap bersyukur kerana setidak-tidaknya setiap bulan ada yang membantu," kongsi Cik Fauziah.
Beliau juga melahirkan rasa syukur dapat sama-sama sambut Hari Ibu bersama para ibu lain semasa acara Perjumpaan Hari Raya dan Hari Ibu pada Sabtu (11 Mei).
"Saya rasa bersyukur kerana saya ingat tidak ada yang ambil peduli tentang kehidupan kami tetapi ramai yang ingin membantu jadi saya sangat bersyukur," ujar beliau.
PERSATUAN BAITUL AMAN AKAN ADAKAN KEMPEN KUMPUL DANA KARNIVAL KELUARGA
Dalam pada itu, Persatuan Baitul Aman juga mendedahkan bahawa mereka akan mengadakan kempen pengumpulan dana menerusi Karnival Keluarga iaitu projek berskala besar untuk bantu para penerima bantuannya.
"Dengan dana sasaran yang dicapai, kita akan cuba mendapatkan tempat untuk menjalankan kelas-kelas tuisyen, agama dan program pengayaan diri untuk para penerima bantuan kita terutama sekali keluarga bekas pesalah dadah," jelas Encik Kassim.
Acara Perjumpaan Hari Raya dan Hari Ibu yang dianjurkan persatuan itu turut disertai bekas pelajar dari Sekolah Perempuan Tanjong Katong dan Sekolah Menengah Siglap.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.