Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Baihakki Khaizan mohon maaf atas 'salah faham'; dilihat ketawa selepas SG kalah dalam perlawanan Piala AFF

Anggaran Waktu Membaca:
Baihakki Khaizan mohon maaf atas 'salah faham'; dilihat ketawa selepas SG kalah dalam perlawanan Piala AFF

(Gambar: Entertainment - Mediacorp/YouTube)

SINGAPURA: Hari Selasa (3 Jan) merupakan hari yang suram bagi peminat bola sepak tanah air apabila Singapura tersingkir dari Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Mitsubishi Electric, selepas kalah 1-4 di tangan Malaysia di Stadium Bukit Jalil di Kuala Lumpur.
Lebih memeritkan lagi, apabila bekas pemain tengah Singa Baihakki Khaizan dilihat seakan "meraikan" kekalahan itu sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan.

Dalam rakaman video penuh perlawanan yang disiarkan dalam laman penstriman meWatch, Baihakki dirakam duduk dalam seksyen VIP bersama peminat Malaysia. Dia kemudian dilihat ketawa sambil bertepuk tangan, dan tersenyum tatkala berswafoto dengan salah seorang perminat di situ.

Perasaan gembira Baihakki yang dipaparkan selepas perlawanan tersebut, tidak disenangi pengguna TikTok di negara ini.

Selepas rakaman beliau ketawa disiarkan di televisyen, ruang komen akaun TikToknya dibanjiri dengan komen yang menunjukkan rasa tidak puas hati orang ramai terhadap bekas pemain negara itu.

Antara komen yang menarik perhatian berbunyi: "Bolehkah anda jelaskan mengapa anda meraikan wisel penamat? Maksud saya, peminat mahu tahu? Dirakam di TV."

Dalam responnya terhadap tindak balas itu, Baihakki memuat naik hantaran di akaun Facebooknya selepas tengah malam Rabu untuk memohon maaf berhubung "insiden itu".
Baihakki berkata rakaman itu malangnya menunjukkan saat dia berjenaka dengan peminat Malaysia berhubung hal yang tidak ada kaitan dengan bola sepak.

"Betapa saya berharap kamera tersebut sebaliknya menunjukkan masa saya memecahkan botol apabila gol dijaringkan," katanya.

Tambah Baihakki, "Walau bagaimanapun, saya memohon maaf atas salah faham itu."

Di akaun Instagramnya pula, duta Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) itu juga memuat naik satu rakaman video selama seminit untuk memberi penjelasan lanjut berhubung situasi tersebut.

Menerusi video itu, Baihakki berkata: "Saya ingin mengakui yang saya mungkin tersilap dan benar-benar memohon maaf kepada anda semua dan mudah-mudahan kita semua jelas. Saya rasa kadang-kadang kita tidak bernasib baik, berada di tempat yang salah pada waktu yang salah, tetapi tidak mengapa."

Dalam ruang komen hantaran Instagramnya itu, sebilangan besar peminatnya menyuarakan sokongan mereka terhadap Baihakki. Malah, ada yang berpendapat dia sebenarnya tidak perlu memohon maaf.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan