Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bahaya vape dan mengapa ibu bapa, sekolah perlu main peranan lebih besar

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Rokok elektronik atau vape sudah menjadi tular atau viral di media sosial seperti TikTok.

Alatnya kecil, asapnya tidak berbau busuk dan semakin ramai yang menggunakannya termasuk kanak-kanak sekolah.

Tapi benarkah vape selamat digunakan dan mengapa ia kini menjadi sesuatu yang ‘cool’?

VAPE.. SUKAR DIBENDUNG?

‘Shaun’, bukan nama sebenar, mula menghisap vape sejak usia 14 tahun.

“Sebelum ini saya tidak hisap rokok. Saya terus bermula dengan vape. Kawan-kawan saya ada yang hisap perisa air minuman seperti Coke atau Rootbeer. Tetapi saya lebih suka perisa buah-buahan - pisang atau strawberi.”

MEDIA SOSIAL MEMPOPULARKAN PENGGUNAAN VAPE

Antara faktor utama yang mempopularkan penggunaan vape adalah media sosial. Banyak kandungan terkait dengan penggunaan vape yang dimuatnaikkan.

Trend ini juga semakin ketara bagi Pengarah Perubatan dari Asia First Medical Clinic, Mohamed Faizal:

“Lelaman sosial memberikan pendapat yang menghisap vape berpenampilan santai, adalah suatu perkara yang terkini, yang mungkin disarankan oleh pempengaruh (Influencer) media sosial atau mereka yang dikenali sebagai wira atau sebagai seseorang yang dihormati. Jadi mungkin itu yang menyebabkan mereka menggunakan vape.”
NSERT PHOTO : Shaun

Bagi ‘Shaun’, “Ia seperti tambahan kepada gaya hidup kami. Selalunya, rutin macam bangun, mandi, makan, keluar rumah. Tapi dengan vape ni kita boleh menghisap sambil kita buat apa-apa - sambil mandi boleh hisap kalau tak takut basah. Tengah siap boleh hisap, tengah makan boleh hisap, di rumah boleh hisap.”

RUANG DIGITAL MENJADI MEDAN JUAL BELI HARAM

Vape bukan saja tular di media sosial, malah ruang digital menjadi tempat urusan jual beli bermula.
‘Zero’, pemuda berusia 22 tahun, yang baru mula menghisap vape pada tahun ini menerangkan: “Dahulunya susah untuk dapatkan. Tetapi sejak ada penjual tempatan sudah mula jual di Telegram, sudah mula senang mendapatkan bekalan vape. Hanya utuskan pesanan apa yang kita mahu kepada mereka, nanti mereka akan hantar. Jadi okey lah. Senang.”
Lain pula halnya dengan ‘Shaun’ pelajar politeknik yang kini berusia 17 tahun.

“Saya beli dari beberapa orang kawan saya yang saya ketahui dari mulut ke mulut. Di kalangan kawan saya memang ada yang membeli pesanan bagi jumlah yang besar. Jadi kadang-kadang saya beli dari dia sahaja satu, satu, satu, pasal saya tidak beli banyak pada satu-satu masa. Susah sedikit hendak simpan.”

BENARKAH VAPE MENJIMATKAN PERBELANJAAN?

‘Zero’ berkongsi pengalamannya dengan BERITAmediacorp: “Sebelum ini saya memang sudah hisap rokok sejak umur 14 tahun. Tetapi harga rokok mahal dan semakin mahal. Jadi apabila seorang kawan memperkenalkan saya kepada vape, dia kata ia lagi murah. Saya pun fikir boleh lah, cuba sahaja. Tetapi akhirnya saya pun ketagih juga dengan vape.”

Sesetengah pengguna berkongsi dengan BERITAmediacorp bahawa mereka boleh berjimat antara S$200 hingga S$300 sebulan selepas beralih menggunakan vape.

Namun ‘Zero’ pula akhirnya mendapati, dia malah perlu mengeluarkan belanja lebih besar kerana membiayai dua ketagihan secara serentak. “Sekarang yang saya perasan ini saya tidak hisap rokok sebanyak biasa. Lagi macam semakin kurang merokok. Tetapi lebih banyak hisap vape. Sama juga lah macam kalau saya kurangkan vape, nanti rokok saya pula jadi lebih.”

Bagi ‘Shaun’ yang masih bawah umur, mungkin dia merasakan bahawa vape itu sesuatu yang boleh diterima kerana ibunya sendiri turut menggunakan alat tersebut.

DILEMA SEORANG IBU

‘Suzy’ ibu kepada ‘Shaun’ membuka cerita bahawa dia mula merokok pada usia 14 tahun. Hari ini, dia merokok dan juga vape – merokok apabila tiada tempat untuknya menghisap vape secara sembunyi-sembunyi.
“Saya selalu tekankan kepada ‘Shaun’ yang kalau dia buat salah, saya nak kejujuran. Tak boleh selindung, sebab kalau buat satu perkara yang salah, itu sudah satu kesilapan. Tapi kalau dia cuba sembunyikan atau berbohong, menyorok, itu lagi satu kesilapan. Jadinya, dia telah lakukan dua kesilapan. Saya akan lebih marah. Jadi sebelum saya kesan atau dapat tahu, baik dia bersikap jujur dengan saya.

“Jadi waktu itu, kami sedang mengayuh basikal. Kami memang selalu buat akiviti bersama. Sewaktu kita berhenti rehat sekejap itulah dia beritahu saya. Macam-macam yang berlegar di fikiran. Saya kah, yang menjadi contoh yang vaping ini ‘okey’ sahaja? Tetapi bukankah dia anak lelaki? Bercampur dengan kawan-kawan? Dan saya tahu yang vaping ini berleluasa. Senang dapatkan kerana orang sudah jual sekarang. Vaping sudah jadi macam lumrah.”

APABILA YANG HARAM MENJADI LUMRAH...

Sesuatu yang lumrah – itulah tanggapan yang ingin diubah Cik Sarimah Amat.

Beliau adalah pengasas badan sosial, Project Pencil. Sebagai ibu kepada tiga orang anak dan lima anak titipan sepanjang 10 tahun lalu, Cik Sarimah memang sayang kepada kanak-kanak.

Demi menyedarkan orang ramai, terutama penduduk di kejiranannya di Yishun, Cik Sarimah membawa penerbit BERITAmediacorp ke “sarang-sarang” di mana kanak-kanak dan remaja penghisap vape bawah umur melakukan kegiatan yang tanpa mereka sedar, sebenarnya amat membahayakan.

Antara tempat-tempat rahsia itu adalah di beberapa tingkat di blok 714 dan blok 701B.

“Sekarang ini kita berada di kawasan Yishun Street 71. Memang membimbangkan sebab sekarang gejala vape ini semakin meningkat. Saya pernah tangkap anak-anak yang selalu lepak, berkumpul di sini.

“Apabila saya nampak anak-anak ini berkelakuan mencurigakan, saya akan pantau dan apabila sah saya nampak sahaja alat penghisap vape itu, saya akan dekati mereka, tanya mereka apa yang sedang berlaku? Saya jauhkan alat vape itu daripada mereka. Kemudian saya nasihatkan anak-anak itu, lalu memberitahu ibu mereka.”

USAHA SEORANG PENCINTA KANAK-KANAK

Misi awal Project Pencil adalah membantu anak-anak sekolah yang memerlukan menerusi sokongan alat tulis. Tidak hairanlah Cik Sarimah memiliki rasa keterkaitan yang kuat dengan kanak-kanak. Dia kini amat bimbang dengan masalah vape dalam kalangan pelajar sekolah.

“Di perhentian bas ini, saya sudah pernah tangkap lima budak, secara berkumpulan dan juga individu. Sebab, sambil mereka bergurau senda, mereka tidak perasan yang mereka sedang diperhatikan. “Ini barang apa? Tahu tak, benda ini tidak boleh digunakan? Ia menyalahi undang-undang dan awak boleh didenda S$2,000.”
Cik Sarimah mendedahkan bahawa untuk tahun ini sahaja, beliau sudah menangkap tujuh anak dari sekolah rendah dan menengah berdekatan rumahnya. Lima daripada mereka dari sekolah rendah, tiga daripada pelajar sekolah rendah yang menghisap Vape adalah kanak-kanak perempuan.

“Pencegahan itu lebih baik, daripada anak itu sudah terbabit lama, paru-paru sudah rosak, jatuh sakit atau pihak berkuasa yang tangkap mereka, kena saman atau kena buang sekolah ke apa...”

MISI SEORANG PENASIHAT

Shaik Shamil Abdul Jabbar sudah tiga tahun bertugas sebagai Penasihat Kesihatan Pelajar bersama Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB). Beliau adalah antara petugas yang diamanahkan untuk membantu para pelajar yang ditangkap kerana vaping mengatasi ketagihan mereka.

Dengan raut wajah yang kelihatan masih remaja, bapa kepada seorang bayi mungil ini berkongsi kebimbangannya: “Semua orang tahu rokok ada nikotin, ada tar. Tetapi apabila bercakap fasal vape, “Oh Cikgu, jus sahaja! Sedap! Ada perisa”! Mereka tidak tahu ada kandungan nikotin yang membuat mereka ketagihan vaping.”
Alatnya kecil, mudah disorok, senang dibeli, asapnya berbau manis dan terdapat pelbagai perisa - ada perisa buah, coklat, rasa minuman, makanan pencuci mulut, gula-gula..

Mungkin inilah yang membuat vape dipandang sebagai sesuatu yang tidak menjejas kesihatan.
Namun menurut doktor keluarga, Dr Mohamed Faizal Abdul, pemikiran seperti itu tidak tepat. Menurutnya, vape bermula sebagai kaedah untuk membantu perokok mengatasi ketagihan terhadap nikotin yang terkandung di dalam rokok.

Lantaran itu, kandungan nikotin di dalam vape adalah lebih tinggi daripada rokok.

Malangnya, setelah vape dikomersialkan, sesiapa juga boleh menghisap vape dan ini membahayakan mereka yang langsung menghisap vape. Terutama kanak-kanak dan remaja.

“Kalau seseorang itu tidak menghisap rokok lalu langsung dia menghisap vape, ia akan mengakibatkan kandungan nikotin yang sangat tinggi dalam badan mereka. Lebih tinggi daripada rokok biasa. Sehingga 20 kali ganda! Jadi seseorang itu akan mengalami ketagihan yang lebih dahsyat,” kata Dr Faizal.

VAPE SEMAKIN MEMUKAU MINAT GOLONGAN MUDA

Perangkaan terkini menunjukkan jumlah pengguna vape yang ditangkap pada tahun lalu (4,697) naik tiga kali ganda berbanding 2020 (1,266). Lebih membimbangkan, sepertiga daripada mereka yang ditangkap berumur bawah 18 tahun.
Penasihat Kesihatan Pelajar, Shaik Shamil mendedahkan: “Dalam tempoh setahun, kami membantu dalam jangkauan ratusan pelajar dan trendnya meningkat. Ramai orang juga beralih daripada merokok kepada vaping.”

GODAAN YANG HARAM

Hari ini, vape sudah menjadi sesuatu yang biasa termasuk dalam kalangan kanak-kanak sekolah. Ia mudah disorok dalam beg dan tidak meninggalkan kesan bau. Bentuknya semakin canggih.

Malah, boleh menyerupai keperluan biasa – seperti alat tulis – pena, ‘highlighter’, peraut pensel. Ada juga yang berbentuk pemacu kilat USB atau ‘thumbdrive’, telefon bimbit, malah jam tangan. Itulah antara faktor mengapa vape semakin popular pada hari ini.

Namun di sebalik segala tarikan, apa yang boleh memudaratkan adalah ramai yang bertanggapan vape lebih ‘menyihatkan’ berbanding rokok. Tetapi apakah anggapan ini benar?

SALAH TANGGAPAN YANG MEMUDARATKAN

Shaik Shamil dahulu pernah merokok. Hari ini dia bertugas untuk menasihati para pelajar ITE supaya mengamalkan gaya hidup sihat. Melalui interaksinya dengan para pelajar, dia dapat melihat peningkatan pada penggunaan vape dalam kalangan anak-anak muda.

“Mereka tidak tahu yang vape ni sebenarnya merosakkan kesihatan mereka, seperti juga rokok. Dua bahan utama yang terdapat di dalam hampir semua vape adalah nikotin dan diacetyl. Nikotin akan mengganggu fokus mereka dalam jangka masa yang panjang. Kedua, diacetyl - ia akan memberikan perisa yang mana ramai pelajar yang suka perisa-perisa begini, macam mangga ini semua. Dalam jangka masa panjang, ia akan mengganggu paru-paru kita.”

Sejak 1 Februari 2018 lagi, e-rokok atau vape haram dibeli, dimiliki mahupun digunakan.

Jika ditangkap dan sabit kesalahan, penggunanya boleh didenda sehingga S$2,000. Denda lebih tinggi, sehingga S$10,000 menghadapi mereka yang membeli dari luar negara atau mengimport untuk kegunaan peribadii atau untuk dijual. Hukuman berganda menanti pesalah berulang.
Pengguna vape bawah umur, ‘Shaun’ mendedahkan saat-saat cemas ketika dia dan kawan-kawannya hampir-hampir tertangkap. “Ada beberapa kali yang saya hampir tertangkap. Kami – kawan-kawan dan saya sedang main bola sepak. Masa itu tengah COVID, jadi ada polis – nampak kami ramai hingga sesak dan kami pula sedang menghisap vape. Kami lari bertempiaran! Ada orang yang kena tangkap. Tapi kawan-kawan saya semua dapat melarikan diri bersama saya.”

Di sebalik undang-undang yang dikuatkuasakan sejak 2018, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) melaporkan kes vape melonjak lebih tiga kali ganda pada tahun lalu (7,593) berbanding 2019 (2,477).

Mengapa sukar untuk membendung vape, meskipun ada undang-undang?

Penghisap vape usia muda, ‘Zero’ mendedahkan: “Vape tidak selamat digunakan kerana ia haram di sisi undang-undang. Tetapi ia lebih senang disembunyikan kalau dibandingkan dengan rokok. Sebab rokok kalau sudah dibakar, asapnya masih di situ. Kalau vape, hisap sekejap hilangkan asap sudah hampir tidak ada bau. Bau rokok lebih kuat. Vape baunya macam buah epal. Dan satu lagi, vape senang nak disimpan, fasal kalau dipegang, ia tidak kelihatan sangat.”

Menurut Dr Faizal, undang-undang sahaja tidak mencukupi untuk menangani penggunaan vape yang semakin meluas. Perlu ada suatu kempen yang berkesan untuk merubah tanggapan bahawa vape juga boleh merosakkan kesihatan para pengguna.
“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak setuju dengan penggunaan vape, disebabkan vape adalah sesuatu yang haram. Tidak semua mereka akan dapat memberikan maklumat ini kepada doktor ataupun kaunselor mahupun dengan saudara-mara mereka sendiri.”

Antara tugas yang perlu dilaksanakan oleh penasihat kesihatan pelajar ini adalah untuk menukar pemikiran para pelajar ITE yang dibantunya bahawa vape boleh merosakkan kesihatan. Bagi para pelajar yang ditangkap menggunakan vape, mereka perlu melalui program pemulihan.

Shaik Shamil berkongsi: “Selalunya pada fasa pertama, kita selalu nasihatkan mereka agar kurangkan dahulu menghisap vape kerana mereka sudah ketagihan. Serentak dengan itu, terokalah gaya hidup sihat macam pergi gim, pergi lari, sertai kegiatan CCA dan seperti itu. Sepanjang tempoh enam bulan sesi berhenti vaping itu kami akan mencatat kemajuan mereka. Mereka akan maju bersama. Dan kita akan kawal mereka, selalu WhatsApp mereka dan memberi mereka dorongan dan sokongan.”

Namun begitu, Shaik mengakui sukar untuk menjauhkan para pelajar daripada vape kerana reka bentuk alatnya yang semakin hari semakin canggih.

“Sebenarnya untuk mengesan vaping ini susah. Pertama, tidak ada bau. Kedua, alat ini sukar dilihat dengan mata kasar. Kadangkala nampak macam pemacu pena. Ia berubah mengikut zaman, semakin kecil, semakin mudah disorok ke dalam kocek. Jadi ibu bapa perlu didik diri sendiri. Ambil tahu tentang trend-trend terkini vaping. Supaya mereka tahu ini rupa vape.”


Pihak berkuasa terus berusaha mengurangkan bekalan vape daripada semakin berleluasa sehingga menjadi gaya hidup baru yang tidak sihat, terutama dalam kalangan warga muda.

Doktor keluarga yang kliniknya terletak di Tanjong Pagar, Dr Faizal menegaskan: “Penyelidik sudah membuktikan bahawa vape akan menyebabkan masalah pada saluran ke paru-paru atau radang bronkial. Jadi itu satu masalah.”

Penasihat Kesihatan Pelajar, Shaik Shamil pula menambah: “Pertama vape hukumnya haram digunakan. Jadi sebaik sahaja mencapai usia yang dibenarkan merokok, mereka perlu tanggung hukuman yang lebih besar. Akibatnya pula lebih tinggi juga. Serentak dengan itu, ketagihannya semakin lama semakin besar. Ya, ia akan membesar!”

“Vape tidak merbahaya”. Itulah persepsi yang berlegar dalam kalangan pengguna alat tersebut. Mungkin itu juga antara sebab mengapa Vape kini juga popular dalam kalangan anak-anak sekolah.

Persoalan utama kini, apakah penggunaan vape perlu segera dibendung dan dikawal dengan lebih ketat?
Dr Faizal menjangkakan sejarah akan berulang – mengetahui bagaimana doktor-doktor dahulu pun menganjurkan agar orang ramai merokok kerana percaya ia selamat. Ini terutama dengan pengenalan penapis rokok atau ‘filter’.

Namun puluhan tahun kemudian, rokok sebaliknya membunuh dan mengakibatkan banyak komplikasi kesihatan. Begitu juga jangkaannya terhadap Vape.

Sejak 2012 lagi, syarikat-syarikat tembakau sudah mula membeli jenama-jenama rokok elektronik, vape.

Matlamatnya untuk menghasilkan produk-produk vape jenama sendiri. Apakah vape akan melahirkan satu generasi baru perokok? Persoalan itu sukar dijawab buat masa ini. Tapi apa yang pasti, penggunaan vape mengikut kajian masa kini boleh memudaratkan kesihatan pengguna.
 
Sumber : BERITA Mediacorp//hy/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa