Skip to main content

Singapura

Bahaya Roblox: Ibu bapa boleh tinjau platform lain rangsang kreativiti anak

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Feb 2026 08:58PM Dikemas Kini : 05 Mar 2026 01:05PM
SINGAPURA: Peranan ibu bapa dalam dunia digital kini semakin mencabar, khususnya dalam memantau kegiatan anak-anak di platform permainan online.

Kebimbangan ini semakin ketara berikutan kes seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang dikenakan Arahan Sekatan selepas terpengaruh dengan fahaman radikal melalui kandungan online.

Remaja itu turut dilaporkan memuat naik kandungan pro-ISIS, termasuk rakaman dari Roblox dan Gorebox, di mana dia melakukan simulasi serangan dan hukuman memenggal kepala seperti yang pernah dilakukan kumpulan ISIS.
ANAK LEGA IBU HALANG GUNA ROBLOX

"Selepas saya baca artikel itu semestinya saya rasa risau sebab kalau ia boleh jadi pada anak orang lain, mungkin boleh jadi pada anak kita. Jadi kita haruslah lebih peka, lebih prihatin dengan apa yang anak-anak buat. Saya tak tahu kenapa kes itu sampai begitu sekali," kata seorang ibu dua anak, Cik Fara Azlin Buang kepada BERITA Mediacorp.

Maka itu, tambah beliau, golongan dewasa dan ibu bapa perlu celik teknologi untuk melindungi anak-anak mereka.

Anak sulung Cik Fara, Zia Hannah Sofea Mohamed Ridzuan pula berkata: "Saya rasa risau sebab saya pun remaja berusia 14 tahun seperti dia dan kalau mereka tidak menghalang saya dalam permainan, mungkin saya pun akan jadi macam dia. Saya rasa lega dan bersyukur sebab saya bukan dia sebab saya tidak boleh bayangkan menjadi radikal secara sendiri."

Cik Fara akur bahawa mengawal kegiatan anak-anak online adalah perlu, meskipun tidak boleh dilakukan sepenuhnya.

"Zaman sekarang, kanak-kanak dan belia memang lebih terdedah dengan anasir-anasir yang kurang elok. Macam mana pun memang kita patut pantau anak-anak dalam penggunaan alat teknologi mereka."

CARA LINDUNGI ANAK DARIPADA BAHAYA PERMAINAN ONLINE

Kes remaja berusia 14 tahun yang menjadi radikal menegaskan perlunya mewujudkan persekitaran permainan yang selamat dan terkawal di rumah Cik Fara.

"Sekiranya anak-anak nak muat turun aplikasi, sistem dalam alat mereka akan secara automatik minta izin dari kami berdua. Salah satu saya atau suami harus benarkan permintaan itu, baru mereka dapat memuat turunkan aplikasi tersebut. Ini demi memastikan apa yang mereka muat turun tak ada unsur unsur yang kurang baik," kongsi Cik Fara yang secara jujur berkata anak-anaknya awalnya kurang selesa dengan pendekatan yang diambil.

Pun begitu, Zia, 14 tahun, cukup matang untuk memahami mengapa beliau perlu berbuat demikian.

"Kadang-kadang saya tak suka sebab apabila saya benar-benar ingin main permainan itu dan mereka tak beri kebenaran. Tetapi saya rasa ia perlu juga sebab walaupun saya sudah berusia 14 tahun, saya rasa tak akan lindungi diri saya sendiri dan ibu bapa saya yang tahu lebih," ujar Zia.

"Kalau mereka tak buat macam tu, saya rasa saya tidak akan rasa selamat seperti sekarang terutama sekali dengan kes-kes di luar sana," tambahnya.

Selain itu, Cik Fara memastikan beliau dan suaminya turut melibatkan diri dalam sesi permainan online atau konsol seperti Nintendo Switch dan PlayStation 5, bersama anak-anak mereka.

"Untuk permainan-permainan yang mereka akan berinteraksi dengan karakter lain ataupun orang-orang yang kita tidak kenal, kita akan pastikan mereka bermain di ruang tamu. Jadi kita semua boleh nampak dan mereka bukan diam-diam main di dalam bilik mereka sendiri."

Kalau ada pun permainan yang berunsur ganas, Cik Fara rasa lebih yakin anak-anaknya lebih terjaga dengan adanya pemantauan dewasa.

"Memang salah satu permainan yang anak saya main adalah Marvel Rivals. Pada saya dan suami saya memang masih okay untuk anak saya bermain. Walaupun ia memang tentang pergaduhan dan melakukan misi, tetapi ia lebih kepada aksi watak-watak adiwira, watak yang baik lawan watak yang jahat. Ia bukan boleh menjadi bahan radikalisasi," ujar beliau.

SEBAB-SEBAB LARANG ANAK GUNA ROBLOX

Sebelum ini, Cik Fara memang sudah pernah mendapat tahu tentang beberapa perkara yang membimbangkan berkenaan aplikasi Roblox.

Malah, beliau mempunyai kenalan yang pernah mengalami situasi yang tidak diinginkan menerusi aplikasi tersebut.

"Dia kanak-kanak kecil. Jadi dia main Roblox dan ada seseorang yang berinteraksi dengannya dan suruh memanggilnya 'daddy'. Jadi perkara ini pun agak aneh. Itu satu bahaya yang boleh wujud dalam Roblox yang kanak-kanak kita zaman ini memang terdedah," kata Cik Fara.

Lantaran itu juga, Cik Fara tidak membenarkan anak-anaknya bermain dengan aplikasi Roblox.

"Roblox, sesiapa saja boleh main dan boleh masuk dalam alam permainan yang ada di dalam. Sesiapa pun boleh buat permainan sendiri dalam roblox. Kita tak boleh nak kongkong alam mana yang dia masuk dan siapa yang mereka alam itu. Kita tak tahu kalau mana-mana alam permainan yang dia masuk tu. Mana tahu ada unsur-unsur yang tak baik," jelas Cik Fara.

Anaknya, Zia berkata: "Pada mulanya saya memang nak main juga sebab kawan-kawan saya di sekolah main. Saya rasa terpinggir juga dan hanya melihat mereka bermain sahaja. Saya tanya mereka tetapi mereka kata tak boleh. Jadi saya kecewa. Tetapi bila saya fikir dan bila berita ini keluar, saya rasa bahawa baguslah yang ibu bapa saya menyuruh saya untuk tidak memuat turunnya."

"Memang saya minat Roblox kerana ia ada pelbagai permainan di dalamnya. Mungkin memang ada yang berunsur ganas tetapi ada juga yang tidak seperti 'Adopt Me'. Sewaktu kecil pun saya nak main juga sebab comel, ada haiwan-haiwan."

Cik Fara bagaimanapun mengakui aplikasi tersebut juga mempunyai kebaikannya, termasuk dalam merangsang kreativiti kanak-kanak.

Namun begitu, beliau berkata terdapat banyak cara lain untuk memastikan anak-anaknya dapat meneroka kreativiti masing-masing.

"Contohnya, aplikasi 'Minecraft' yang menggunakan server tertutup. Mereka masih boleh meneroka dunia di dalam permainan itu. Server yang digunakan pun terkawal. Jadi kita boleh pastikan yang persekitaran itu selamat untuk mereka," ujar Cik Fara.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita