Skip to main content

Singapura

Bahasa Melayu (Program Khas) diperluaskan, Maktab Rendah Kebangsaan jadi pusat kelima mulai 2027

Anggaran Waktu Membaca:
Bahasa Melayu (Program Khas) diperluaskan, Maktab Rendah Kebangsaan jadi pusat kelima mulai 2027

Peluasan tersebut membolehkan lebih ramai pelajar untuk mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa ketiga mereka. (Gambar: Hidir Ezat)

Diterbitkan : 01 Aug 2026 05:29PM Dikemas Kini : 02 Aug 2026 04:55PM
SINGAPURA: Lebih banyak peluang akan disediakan bagi para pelajar yang mahu mendalami pembelajaran bahasa ibunda.

Ini dengan Program Elektif Bahasa diperluaskan pada tahun hadapan (2027).

Bagi bahasa Melayu, Bahasa Melayu (Program Khas), atau MSP, akan diperluaskan dengan pusat kelima di Maktab Rendah Kebangsaan (NJC).

Ini akan membolehkan lebih ramai pelajar untuk mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa ketiga mereka.

Buat masa ini, ia ditawarkan di 12 sekolah dan empat pusat iaitu Sekolah Menengah Bukit Batok, Sekolah Menengah Tampines, Sekolah Menengah Zhonghua dan Pusat Bahasa MOE (Bishan).


Ini diumumkan Menteri Pendidikan Desmond Lee di Simposium Bahasa Ibunda ke-14 pagi tadi (1 Ogos).
Related article image
Program Khas Bahasa Melayu (MSP) akan diperluaskan dengan pusat kelima di Maktab Rendah Kebangsaan (NJC). (Gambar: Hidir Ezat)
Para guru bahasa Melayu yang ditemui juga mengalu-alukan usaha ini.

Penolong Pengarah, Cawangan Bahasa Ibunda MOE, Nur'Hanim Mohamed berkata, "Usaha ini juga selaras dengan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan untuk menyediakan lebih banyak peluang pembelajaran bahasa dan memupuk pemahaman silang budaya dalam kalangan pelajar sekolah," katanya lagi.

Sebagai pusat MSP yang baharu, pelajar di NJC akan dapat memanfaatkan ekosistem sekolah yang sedia aktif dalam kegiatan bahasa dan budaya Melayu.

Guru Bahasa Melayu NJC, Artina Selamat berkata, "Saya rasakan bahawa kebetulan kita merupakan pusat MLEP (Program Elektif Bahasa Melayu) juga. Apabila kita ada pelajar MSP yang akan ada di NJC, pastinya kalau sekiranya kita ada aktiviti kolaboratif atau usaha interaksi dan kerjasama dengan kumpulan-kumpulan pelajar yang sudah sedia ada, yang aktif dalam memperjuangkan bahasa dan budaya Melayu. Ini pastinya akan menjadikan pembelajaran dan penghayatan para pelajar MSP tu lebih lebih menarik dan lebih imersif."

Beliau berkata pendekatan itu turut memberi pendedahan kepada pelajar menerusi pelbagai sumber dan aktiviti di luar bilik darjah.

"Saya rasa pembelajaran yang berbentuk autentik akan dapat terus dipupuk dalam pembelajaran MSP kerana itu merupakan sesuatu pendedahan kepada mereka dengan sumber-sumber yang sedia ada di pusat MLEP di NJC," tambah Cikgu Artina.

"Pada masa yang sama, kalau kita lihat pembelajaran yang berdasarkan pengalaman pendedahan dengan aktiviti seperti penglibatan mereka, aktiviti di dalam sekolah dan luar sekolah seperti aktiviti di Taman Warisan dan sebagainya, itu sesuatu yang saya kira merupakan nilai tambah selain daripada pembelajaran di bilik darjah," tambahnya lagi.

USAHA BERTERUSAN MOE SOKONG PEMBELAJARAN BAHASA IBUNDA

Encik Lee turut mengumumkan beberapa inisiatif lagi untuk memperkasa pembelajaran bahasa ibunda lain.
Related article image
Antara peluasan yang dilakukan adalah pada Program Elektif Bahasa Cina (CLEP) ke sekolah keenam iaitu Maktab Rendah Anderson Serangoon. (Gambar: Hidir Ezat)
"Kami juga mahu mewujudkan laluan bagi pelajar yang ingin mempelajari Bahasa Ibunda dengan lebih mendalam. Oleh itu, saya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa mulai tahun depan, kami akan mengembangkan Program Elektif Bahasa untuk membolehkan lebih ramai pelajar mengikuti bahasa ibunda pada peringkat lanjutan dan memperdalam penglibatan mereka dengan budaya dan kesusasteraan," kata Encik Lee.

Antaranya ialah peluasan Program Elektif Bahasa Cina (CLEP) ke sekolah keenam iaitu Maktab Rendah Anderson Serangoon.

Program Elektif Bahasa Tamil (TLEP) di peringkat sekolah menengah dan maktab rendah pula akan diperluaskan ke Pusat Bahasa Tamil Umar Pulavar (UPTLC).

Di samping itu, MOE akan membangunkan program untuk membolehkan pembelajaran bahasa ibunda pada peringkat lebih awal lagi.

"Bulan lalu, Jawatankuasa Penggalakan Pembelajaran Bahasa Cina melancarkan program baharu bersama Pertubuhan Akar Umbi Tengah untuk membantu ibu bapa berinteraksi dengan bayi dalam bahasa Cina melalui penglihatan, pendengaran dan sentuhan. Kami akan membangunkan program serupa untuk bahasa Melayu dan Tamil juga," dedah Encik Lee.

Bagi peranan penting guru-guru pula dalam memupuk minat para pelajar dalam bahasa ibunda, MOE turut memberi penghargaan kepada 16 guru di simposium itu.

Ini termasuk lima guru Bahasa Melayu atas usaha mereka memupuk minat kanak-kanak terhadap bahasa ibunda.

AKTIVITI MENARIK SIMPOSIUM MTLS

Simposium Bahasa Ibunda (MTLS) ke-14 tahun ini turut menampilkan pelbagai kegiatan interaktif, bengkel dan sesi perkongsian bagi ibu bapa serta pendidik.

Pameran sempena simposium itu pula mempamerkan pendekatan pengajaran dan pembelajaran bahasa ibunda menerusi e-pedagogi, penglibatan budaya dan ekspresi kreatif.

Para pengunjung juga berpeluang meneroka reruai kurikulum MOE, 41 pempamer daripada sekolah dan rakan masyarakat serta Kedai Buku Bahasa Ibunda yang menawarkan lebih 800 judul buku.
Related article image
Reruai baca berita Mediacorp yang dikendali oleh unit berita Melayu, Tamil dan Cina. (Gambar: Hidir Ezat)
Mediacorp turut menyertai pameran tersebut menerusi reruai baca berita.

Dikendalikan oleh unit berita Melayu, Tamil dan Cina Mediacorp, para pengunjung boleh cuba menyampaikan berita dalam bahasa ibunda masing-masing.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita