Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bahasa ibunda kunci memahami warisan & identiti negara: Presiden Tharman

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Walaupun bahasa Inggeris berfungsi sebagai bahasa perantaraan utama dalam masyarakat Singapura, bahasa ibunda yang membolehkan kita memahami warisan dan nilai-nilai penting yang membentuk identiti negara kita.

Demikian menurut Presiden Tharman Shanmugaratnam dalam ucapannya di program Pelancaran Bulan Bahasa 2024 yang disiarkan di Saluran Mediacorp Suria pada malam ini tadi (7 Sep).

"Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang biasa digunakan dalam masyarakat Singapura yang berbilang bangsa. Ia juga telah menjadi satu bahasa yang penting bagi negara kita yang bersifat global. Namun, melalui bahasa ibunda, kita kenal dengan warisan dan nilai-nilai penting yang membentuk identiti negara kita yang berbilang kaum, warisan dan budaya. Inilah yang membantu kita mengemudi dalam dunia yang pesat berubah.

"Bertutur dalam bahasa ibunda juga membolehkan kita mendekati masyarakat rentas negara dan budaya di rantau Asia, yang kian berkembang ekonominya. Singapura terletak di tengah-tengah lebih daripada 290 juta orang yang bertutur dalam bahasa Melayu atau Bahasa Indonesia. Keupayaan menggunakan bahasa Melayu dengan baik boleh membuka peluang baharu untuk kita," kata Presiden Tharman.

Kedwibahasaan, juga kata beliau, memberikan manfaat yang signifikan untuk perkembangan minda manusia.

"Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mempelajari dua bahasa lebih cekap dalam melaksanakan pelbagai tugas dan dalam kemahiran insani dibandingkan dengan kanak-kanak yang hanya boleh bertutur dalam satu bahasa. Bagi golongan dewasa pula, kedwibahasaan boleh membantu mencerdaskan otak, dan mengekalkan minda yang sihat. Pendek kata, kedwibahasaan banyak manfaatnya," tambah beliau.

Pembelajaran bahasa, tambahnya, tidak terhad kepada bilik darjah sahaja.

Bahasa ibunda perlu digunakan secara aktif dalam kehidupan seharian untuk memastikan ia kekal hidup dan relevan bagi generasi akan datang.

BELIA BERBAHASA, NADI BANGSA

Bulan Bahasa tahun ini dengan tema 'Belia Berbahasa, Nadi Bangsa' meraikan keunggulan seni dan budaya Melayu serta menekankan penggunaan bahasa Melayu secara dinamik.

Acara ini dihoskan oleh Duta Bahasa Farhana M Noor dan personaliti radio serta televisyen Fadli Kamsani.

Ia diserikan dengan persembahan oleh bakat-bakat muda seperti Azra Zulaikha, Amirah Fikriyah, Naufal Aiman, dan Norshafiq Ridzwan, diiringi muzik secara langsung oleh Orkestra Sri Temasek, yiN Harmony, dan penari-penari Sriwana.

Selain itu, pesilat-pesilat Team Singapore dan kemunculan istimewa oleh Fadli Kamsani, yang juga seorang penggiat silat, menambah kemeriahan acara.

Program pelancaran ini juga memberi tumpuan kepada bakat-bakat baharu dalam kalangan Rakan Bahasa.

LEBIH RAMAI RAKAN BAHASA TERLIBAT

Empat Rakan Bahasa dari Sekolah Rendah Ahmad Ibrahim dan Sekolah Menengah Changkat Changi menyertai aktiviti menyampaikan berita bersama Duta Bahasa, penyampai BERITA Mediacorp, Nursha Ismail.

Sementara itu, lima lagi Rakan Bahasa terlibat dalam rakaman podcast yang membincangkan penggunaan bahasa Melayu di kalangan belia di Singapura.

Duta Bahasa yang baru dilantik, Dr Fadzil Hamzah, juga mempersembahkan deklamasi sajak untuk menggalakkan masyarakat terus menghargai bahasa Melayu di Singapura.

PERSEMBAHAN RAP BERTEMAKAN BAHASA & BUDAYA MELAYU

Para penonton disajikan dengan persembahan rap unik berkaitan bahasa dan budaya Melayu.

Senikata lagu sepanjang 30 saat itu disusun dan diatur oleh Duta Bahasa, Megat Firdaus, dan dinyanyikan oleh empat individu berbakat.

Mereka menyahut cabaran Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Mediacorp Suria untuk menghantar lirik rap bertemakan bahasa dan budaya Melayu.

Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, mengucapkan terima kasih kepada kelab masyarakat, sekolah, dan pejuang bahasa atas sokongan mereka terhadap Bulan Bahasa 2024.

Beliau juga memuji Rakan Bahasa yang telah berjaya mempromosikan budaya Melayu di kalangan belia.

"Kami mengharapkan penglibatan lebih ramai belia kita yang dapat maju ke hadapan untuk berkongsi bersama berkarya bersama. Kita menganjurkan inisiatif-inisiatif Bulan Bahasa kita supaya mereka dapat melibatkan diri dan menggalakkan lebih ramai belia kita untuk maju dan cintakan bahasa kita," ujar Encik Zhulkarnain.

Dr Fadzil Hamzah, yang baru dilantik sebagai duta Bahasa menekankan pentingnya meningkatkan status dan penggunaan bahasa Melayu.

"Pada pendapat saya, ia adalah penting untuk kita menggalakkan penggunaan bahasa Melayu terutama sekali di kalangan mereka yang berusia muda kerana mereka adalah pelapis generasi masa hadapan dan mereka juga adalah penyambung warisan dan juga bahasa ibunda kita," katanya.

Menurutnya, salah satu cara beliau menggalakkan penggunaan bahasa Melayu adalah menerusi interaksi dengan para pesakit mahupun rakan sekerjanya.

Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, Encik Mohd Fahmi Aliman pula berharap pelbagai program Bulan Bahasa dapat memupuk kecintaan terhadap bahasa Melayu dalam kalangan semua lapisan masyarakat, terutama golongan belia.

Tambah Pengerusi MBMS, Fahmi Aliman: "Saya rasa yang penting ialah untuk masyarakat Melayu di Singapura ini untuk terus memahami Bahasa Melayu. Kita perlu lebih mendalam dari segi falsafah atau dari segi warisan bukan sahaja secara tertulis tetapi secara melalui seni melalui sastera. Dan satu lagi yang saya rasa lebih banyak lagi yang kita akan mampu lakukan di Singapura."

Kempen Bulan Bahasa 2024 akan berlangsung sehingga 13 Oktober.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan