Skip to main content

Singapura

BAHAS 4PM 2025: Pembahas SJI Ariel Aiman Noorisman rangkul dua anugerah Pembahas Terbaik, dua tahun berturut-turut

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Bakatnya sekali lagi terbukti di gelanggang bahas.

Ariel Aiman Noorisman, pembahas St. Joseph’s Institution (SJI), berjaya membolot dua anugerah Pembahas Terbaik Keseluruhan dan Pembahas Terbaik Peringkat Akhir, dalam pertandingan Bahas 4PM tahun ini.

Kejayaan ini menambah lagi pencapaiannya setelah tahun lalu, ketika di peringkat sekolah menengah, beliau turut merangkul kedua-dua anugerah yang sama, dengan pasukannya turut menjadi juara pertandingan bahas pada tahun itu.

Bagi Ariel, kemenangan ini hadir dengan perasaan bercampur-baur. Walaupun berjaya merangkul dua anugerah, pasukannya tidak dapat menamatkan saingan sebagai juara keseluruhan.

"Sebenarnya saya amat bangga dapat merangkumi anugerah ini tetapi pada masa yang sama saya pun sedikit kecil hati kerana kumpulan saya tidak dapat muncul sebagai juara. Tetapi secara keseluruhannya, alhamdulillah kita semua dapat meningkatkan bakat kita dalam membahas dan juga menggunakan bahasa ibunda kita," kata Ariel.
 
Perjalanan Ariel menuju ke pusingan akhir tidak mudah. Beliau mengakui perlu berdepan cabaran besar dalam mengekalkan keyakinan diri, khususnya ketika menghafal skrip untuk hujahan.

"Satu cabaran bagi saya adalah untuk menghafal skrip dengan penuh keyakinan kerana walaupun saya meluangkan banyak masa untuk menghafal skrip, ada kalanya apabila saya berasa gementar, saya akan lupakan segmen-segmen di dalam skrip itu," kongsi Ariel.

Baginya, sokongan guru-guru merupakan tunjang yang banyak membantu mengatasi cabaran tersebut.

"Untuk menangani isu-isu sedemikian, saya telah meminta pertolongan daripada guru-guru saya agar mereka dapat menambahkan keyakinan saya dan memastikan bahawa saya dapat menyampaikan penyampaian saya dengan sepenuh baiknya," tambahnya lagi.

Pengalaman itu bukan sekadar menajamkan kemahirannya di pentas perbahasan, tetapi juga mengukuhkan keyakinannya terhadap nilai pertandingan Bahas 4PM.

Ariel menaruh harapan agar usaha ini terus dipertahankan sebagai platform penting bagi generasi muda.

"Saya inginkan usaha-usaha seperti pertandingan ini untuk terus kekal dan saya ingin mengalu-alukan kepada para pemuda dan pemudi untuk mengambil bahagian dalam usaha-usaha seperti ini demi menguatkan penggunaan bahasa Melayu dan untuk melestarikan penggunaan bahasa ibunda secara kolektif," kata Ariel.
Sumber : BERITA Mediacorp
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita