Skip to main content

Singapura

Bahan berbahaya tidak diisytihar ditemui dalam 4 krim kulit; bayi dimasukkan ke hospital

Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Isnin (1 Jul) mengeluarkan amaran kepada orang awam agar tidak membeli atau menggunakan empat krim kulit yang mengandungi "bahan berbahaya yang tidak diisytihar" selepas seorang bayi dimasukkan ke hospital.

Anggaran Waktu Membaca:
Bahan berbahaya tidak diisytihar ditemui dalam 4 krim kulit; bayi dimasukkan ke hospital

(Gambar: HSA)

Diterbitkan : 01 Jul 2019 04:25PM Dikemas Kini : 01 Jul 2019 04:30PM

SINGAPURA: Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Isnin (1 Jul) mengeluarkan amaran kepada orang awam agar tidak membeli atau menggunakan empat krim kulit yang mengandungi "bahan berbahaya yang tidak diisytihar" selepas seorang bayi dimasukkan ke hospital.

Krim-krim tersebut termasuk tiga yang dibeli untuk merawat ekzema - Krim D’Splendid Kidzema, CLAĺR DE LUNE P Tuberose Day Cream dan CLAĺR DE LUNE S Involcurat Night Cream.

Krim keempat pula adalah "krim lampin bayi tanpa label yang dibekalkan oleh seorang pengamal perubatan tradisional di Malaysia" yang digunakan ke atas seorang bayi untuk merawat ruam lampin.

Bayi tersebut kemudian mula mengalami sindrom Cushing dan tanda-tanda lain termasuk "moon face", "buffalo hump" di bahagian belakang akibat pengumpulan lemak, pertumbuhan rambut yang banyak dan kulit menipis, menurut HSA.

"Kandungan steroid juga menyebabkan jangkitan berulang kerana ia mengekang sistem imun bayi tersebut dan menyebabkan tumbesarannya terjejas," tambah HSA dalam satu kenyataan media.

Produk tersebut diuji dan didapati mengandungi sejenis "steroid kuat" dipanggil betamethasone valerate dan ubat antikulat clotrimazole.

Bayi tersebut kini sudah keluar dari hospital dan menjalani rawatan pesakit luar, tambah HSA.

SALAH GUNA ANTIBIOTIK

Tiga krim lain itu digunakan oleh pembeli untuk merawat penyakit kulit ekzema. Meskipun mereka merasakan "kelegaan pantas", keadaan mereka menjadi lebih teruk apabila berhenti menggunakan krim tersebut.

Seorang ibu yang membeli Krim D'Splendid Kidzema untuk merawat ekzema anaknya mendapati keadaan anak beliau pulih selepas dua kali disapu krim, namun ia menjadi lebih teruk tiga hari selepas berhenti menggunakan krim itu.

"(Krim D’Splendid Kidzema) disertakan dengan label mendakwa melegakan ruam kulit, ekzema, buasir, dan gigitan nyamuk bagi bayi dan kanak-kanak sehingga 14 tahun," menurut HSA.

Ujian yang dijalankan HSA mendapati krim tersebut mengandungi ciprofloxacin - sejenis antibiotik yang hanya boleh diambil atas arahan doktor - dan terbinafine, sejenis ubat antikulat yang tidak disyorkan bagi kanak-kanak bawah usia 12 tahun.

"Salah guna antibiotik dan antikulat boleh mengurangkan keberkesanannya apabila jangkitan berlaku lagi," menurut pihak penguasa itu.

"HSA sudah mengarahkan syarikat tersebut supaya menghentikan penjualan Krim D’Splendid Kidzema dan menarik balik produk berkenaan dari cawangan runcit."


Krim-krim tersebut didapati mengandungi bahan berbahaya termasuk steriod bagi krim siang dan dadah jenis antihistamin dalam krim malam. Ubat antibiotik dan antikulat turut didapati dalam kedua-dua produk.

"Penggunaan krim dengan bahan-bahan berbahaya ini boleh menyebabkan kesan buruk termasuk kulit menipis (akibat penggunaan steroid pada jangka panjang), ruam kulit dan ketidakselesaan kulit," menurut HSA lagi.

"Produk-produk tersebut juga membuat dakwaan palsu dan mengelirukan, iaitu 'diperbuat dari bahan berasaskan tumbuhan alami' dan 'sifar kimia'.

"Pentadbir laman web bagi wadah edagang berkenaan sudah diarah memadamkan semua senarai krim-krim tersebut."

Sesiapa yang membekalkan produk yang mengandungi bahan berbahaya tidak diisytihar, boleh didakwa dan jika sabit kesalahan dipenjara sehingga tiga tahun, denda sehingga S$100,000 atau kedua-duannya sekali.

HSA menasihatkan para pengguna untuk melakukan langkah-langkah berikut:

  • Segera jumpa doktor jika anda atau anak anda menggunakan produk-produk berkenaan bagi ekzema kerana menghentikannya secara mendadak boleh menjadikan kondisi semakin teruk, atau jika anda dan anak anda mengalami sebarang kesan buruk.
  • Berhati-hati apabila membeli produk kesihatan bagi penggunaan untuk bayi dan kanak-kanak, termasuk produk yang disapu pada kulit, seperti krim.
  • Jangan gunakan produk tanpa label atau beli dari sumber tidak dikenali dari luar negara, atau laman web tidak dikenali atau tidak dipercayai atau dari individu yang menjual secara online. Bayi dan kanak-kanak lebih terdedah kepada kesan buruk, terutamanya apabila terdedah kepada bahan kuat yang terkawal.
  • Berwaspada kerana tidak semua produk yang mendakwa "produk alami berasaskan tumbuhan" atau "bebas kimia", seperti yang didakwa.
Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita