Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bahan arkib audiovisual rakam transformasi masyarakat Melayu

Anggaran Waktu Membaca:
Bahan arkib audiovisual rakam transformasi masyarakat Melayu

Bangunan Arkib Negara Singapura dibuka semula secara rasmi pada 7 April 2019. (Gambar: CNA)

SINGAPURA: Meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepelbagaian bahan-bahan arkib dalam Bahasa Melayu merupakan antara objektif webinar online bertajuk "Archives Unlocked: Transformasi Masyarakat Melayu Singapura Awal 1960 Melalui Cerita-Cerita Daripada Arkib Audiovisual".

Webinar anjuran Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) selama sejam semalam (31 Mac) juga diharap dapat menarik minat orang ramai untuk menggunakan bahan-bahan arkib, tidak kira untuk penyelidikan mahupun sekadar pengetahuan am.

Dalam webinar tersebut, pustakawan kanan Encik Mohamad Salim berkongsi sumber-sumber pandang dengar (Audio Visual) khususnya berkenaan transformasi masyarakat Melayu Singapura dalam bidang pembelajaran dan kepimpinan politik.

Kedua-dua bidang itu dianggap penting kerana pembelajaran adalah asas atau dasar yang akan mengukuhkan sesebuah masyarakat, manakala kepimpinan pula menjadi hala tuju bagi perkembangan sesebuah masyarakat.

Menurut Encik Mohamad Salim, peningkatan pada kesedaran dan penggunaan bahan-bahan arkib juga diharap dapat menambah nilai bahan-bahan yang terkumpul itu.

KEBANYAKAN BAHAN ARKIB BAHASA MELAYU DISIARKAN DI RADIO/TV

Menurut Encik Salim, sebahagian besar bahan arkib dalam Bahasa Melayu adalah kandungan yang disiarkan di radio atau di televisyen.

Sehingga Disember 2021, kandungan-kandungan itu membentuk 80% daripada koleksi arkib pandang dengar.

Tambahnya, kebanyakan program-program itu diterbitkan dalam bentuk bersiri seperti "Detik", "Warisan Kita" yang diterbitkan Mediacorp.

Selain itu, terdapat juga rakaman-rakaman sejarah lisan dalam Bahasa Melayu yang melibatkan ahli masyarakat dari pelbagai latar belakang.

Dalam pada itu, Encik Salim turut menarik perhatian mengenai bahan-bahan yang merakam kemajuan masyarakat Melayu.

Ini termasuk buku berjudul Majulah! 50 years of Malay/Muslim Community in Singapore oleh Mantan Menteri Negara Kanan Zainul Abidin Rasheed dan Norshahril Saat.

Antara bahan rujukan lain termasuk filem berita yang diterbitkan oleh Kementerian Kebudayaan pada awal 60an.

Ia merupakan koleksi yang menggambarkan pembangunan sosio-ekonomi dan corak kehidupan di Singapura.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh melungsuri laman Archives Online.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan