Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bahagian utara Koridor Kereta Api dibuka selepas kerja naik taraf

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 10 Feb 2023 12:52PM Dikemas Kini : 10 Feb 2023 09:27PM

SINGAPURA: Bahagian utara Koridor Kereta Api antara stesen MRT Kranji hingga ke stesen MRT Hillview dibuka pada Jumaat (10 Feb), menyusuli kerja-kerja naik taraf yang sudah selesai di laluan tersebut. 

Pembukaan bahagian utara itu membolehkan ketersambungan berterusan lebih 21 kilometer antara kawasan utara hingga selatan, naik daripada 13 kilometer sebelum ini, dari stesen MRT Kranji hingga ke Spooner Road, menurut Lembaga Taman Negara (NParks) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dalam satu kenyataan media.  

Sekitar satu juta orang tinggal dalam jarak satu kilometer dari Koridor Kereta Api itu, menurut agensi-agensi berkenaan. 

"Ciri-ciri utama Koridor Kereta Api (Utara) yang siap dibina termasuk hampir enam kilometer laluan yang dipertingkatkan, rangkaian baru Kranji dengan laluan alam semula jadi yang dihubungkan dengan ruang acara dan jambatan baru di Hillview Road yang menghala ke dek pemandangan," menurut NParks dan URA. 

"Ciri-ciri ini akan menawarkan orang awam dengan lebih banyak pilihan rekreasi di tengah-tengah alam semula jadi dan menyumbang kepada usaha NParks untuk mengubah Singapura menjadi sebuah bandar di tengah-tengah alam semula jadi, iaitu satu tunggak utama dalam Pelan Singapura Menghijau 2030."

"Koridor Kereta Api ialah sebahagian daripada rancangan untuk mereka rangkaian laluan rekreasi sepanjang 360 kilometer di seluruh negara, yang akan membolehkan setiap keluarga untuk tinggal dengan jarak perjalanan 10 minit dari sebuah taman menjelang 2030." 

Untuk menandakan pembukaan Koridor Kereta Api (Utara), Menteri Pembangunan Negara merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial Desmond Lee memperkenalkan penanda jarak di nod Kranji dan menanam pokok gutta percha atau getah merah berdekatan Jambatan Hillview yang baru dengan Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong. 

Jambatan itu membawa para pengunjung ke sebuah dek pemandangan setinggi enam meter, yang menawarkan pemandangan Taman Semula Jadi Dairy Farm dan Hutan Simpanan Bukit Timah. 

Jambatan pejalan kaki yang sedia ada di Upper Bukit Timah Road juga dipanjangkan untuk menghubungkan secara langsung ke Koridor Kereta Api (Utara) dan membenarkan akses kepada Rail Mall. 

Para pengunjung boleh memasuki Koridor Kereta Api (Utara) dari rangkaian Kranji atau menerusi 12 laluan akses baru. Secara keseluruhan, Koridor Kereta Api kini mempunyai lebih 30 laluan akses, 23 daripadanya tidak dihadang. 

Kemudahan untuk mengakses koridor itu akan dipertingkatkan dengan lebih 10 laluan akses yang akan siap dibina secara berperingkat mulai suku pertama tahun ini. 

Para pengunjung boleh menantikan ciri-ciri baru di Koridor Kereta Api, bermula dengan tambahan kemudahan seperti tempat berteduh dan tandas menjelang pertengahan tahun ini.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan