Bagaimana tambang bas, kereta api SG jika dibandingkan dengan pusat bandar lain?
Gambar fail: TODAY
Hasil pengeluaran formula tambang bagi tahun ini adalah kenaikan 12 peratus, di mana disebabkan oleh kenaikan harga tenaga, inflasi teras yang lebih tinggi dan pertumbuhan gaji yang kukuh pada tahun lepas, menurut PTC.
Namun, PTC meluluskan kenaikan tambang keseluruhan sebanyak 7 peratus, sekali gus menangguhkan baki 15.6 peratus, termasuk kenaikan dari semakan tambang sebelum ini, kepada semakan tambang masa depan dalam keputusan yang "diambil kira secara teliti" bagi memastikan tambang kekal dimampui sambil mencerminkan kenaikan kos operasi.
Meskipun semakan semula tambang terbaharu ini merupakan kenaikan paling tinggi sejak kenaikan 7 sen pada 2019, PTC menegaskan bahawa tambang masih kekal dimampui dan setara, atau lebih rendah, berbanding pusat-pusat bandar lain.
Mediacorp menemui beberapa penganalisis pengangkutan untuk bertanya sama ada tambang pengangkutan awam di Singapura benar-benar dimampui dan bagaimana harganya berbanding bandar lain di dunia.
BAGAIMANA TAMBANG SG BERBANDING BANDAR DUNIA YANG LAIN?
Satu laporan yang dikeluarkan oleh PTC pada 25 April lalu membandingkan tambang pengangkutan awam Singapura dengan di bandar Hong Kong, Taipei, Seoul, Paris, London, Singapura dan Sydney.
Selepas menyesuaikan dengan kadar pertukaran mata wang setakat Mac tahun ini, laporan tersebut mendapati Singapura dianggap sebagai bandar yang mempunyai julat tambang paling rendah dalam kalangan bandar lain yang disenaraikan.
Tambang perjalanan dewasa yang menggunakan kad transit bagi kereta api dan bas adalah S$0.99 hingga S$2.26, lebih rendah berbanding Paris yang tambangnya berharga €2.10 (S$3) dan Sydney, yang mempunyai julat A$3.79 (S$3.40) hingga A$7.24 (S$6.35) bagi kereta api dan A$3.20 (S$2.80) hingga A$5.05 (S$4.40) bagi bas.
Tambang Singapura juga lebih rendah berbanding London, di mana perjalanan kereta api menelan belanja dari £1.90 (S$3.10) hingga £5.60 (S$9.40) dan pada harga £1.75 (S$2.90) bagi bas.
Tambang di sini setara dengan bandar seperti Seoul, yang mempunyai harga purata antara 1,250 won (S$1.30) hingga 3,650 won (S$3.70) bagi tambang kad perjalanan kereta api dewasa dan 1,000 (S$1.00) won hingga 2,400 won (S$2.45) bagi perjalanan bas, bergantung kepada perkhidmatan itu.
Tambang Singapura berada dalam lingkungan beberapa bandar lain seperti Hong Kong, iaitu antara HKD 4.70 (S$0.80) hingga HKD 28.70 bagi kereta api dan HKD 3.50 (S$0.60) hingga HKD 14.20 bagi bas. Tambang kereta api Taipei adalah dari NTD 20 (S$0.90) hingga NTD 65 dan NTD 15 (S$0.70) hingga NTD 45 bagi bas.
Selepas kenaikan harga itu, julat tambang Singapura masih kekal rendah berbanding bandar seperti Paris, Sydney dan London sambil terus berada dalam lingkungan julat bandar seperti Seoul, Taipei dan Hong Kong.
ADAKAH PENGANGKUTAN AWAM DIMAMPUI OLEH WARGA SG BERPENDAPATAN SEDERHANA DAN RENDAH?
Para pakar menyatakan bahawa meskipun perbandingan sedemikian menunjukkan tambang Singapura secara umumnya dimampui, ia adalah penting untuk menimbangkan ini daripada perspektif warga Singapura yang berpendapatan sederhana dan rendah, yang berkemungkinan besar memanfaatkan pengangkutan awam.
Profesor Madya Terence Fan dari Universiti Pengurusan Singapura menarik perhatian bahawa meskipun tambang perjalanan sehala bagi dewasa lebih tinggi di bandar lain seperti Paris, pemilikan kereta dimampui di lokasi-lokasi ini dan laluan basikal yang dikhaskan memudahkan bagi para pekerja untuk mencari alternatif bagi pengangkutan awam.
Di Singapura, bagaimanapun, alternatif bagi pengangkutan awam seperti kereta sewa privet mungkin tidak dimampui pekerja yang bergaji rendah, jelas Profesor Madya Fan.
ADAKAH KOS SATU-SATUNYA KAYU UKUR TAHAP TAMBANG PENGANGKUTAN AWAM YANG DIMAMPUI?
Para pakar yang ditemui Mediacorp berkata bahawa kos bukan satu-satunya kayu ukur tahap pengangkutan awam yang dimampui.
Dr Walter Theseira, seorang pakar ekonomi pengangkutan dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) berkata bahawa menjangkaui "kos dolar" pengangkutan awam, ia adalah penting untuk meninjau "kos masa" dan "kos akses", atau kemudahan pengangkutan awam.
Beliau menambah bahawa "metrik tahap kemampuan memberi penjelasan yang sedikit kepada kita tentang mutu perkhidmatan pengangkutan".
Sejajar itu, Profesor Madya Raymond Ong dari jabatan kejuruteraan awam dan alam sekitar Universiti Nasional Singapura menarik perhatian bahawa antara cara untuk menilai mutu pengangkutan awam termasuk purata bilangan kilometer antara kegagalan sistem kereta api, peratusan perjalanan berjadual yang sebenarnya berjalan pada setiap perkhidmatan bas, peratusan bas yang berjalan mengikut jadual, keselamatan, dan muatan bas pada waktu sibuk.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.