Bagaimana polis SG kejar masa tangani bom yang 'boleh meletup pada bila-bila masa'?
Gambar: SPF
SINGAPURA: Penemuaan bom era Perang Dunia Kedua di Upper Bukit Timah pada September mencetuskan operasi pada skala yang tidak pernah dialami Penolong Pesuruhjaya (AC) Polis Jerald Tan Jin Rui sebelum ini.
Sepanjang enam hari, lebih 500 pegawai Pasukan Polis Singapura (SPF) dikerahkan - sebilangan mereka bahkan, dipanggil untuk kembali bekerja pada hari cuti mereka - untuk merancang dan melaksanakan operasi pelupusan bom seberat 100kg dengan selamat, di kawasan di kelilingi kediaman, perusahaan dan sebuah sekolah.
Risikonya tinggi - dan kesan sekiranya bom berkenaan meletup tanpa persediaan pihak berkuasa, tidak dapat dibayangkan.
Perkara-perkara tersebut wujud dalam benak fikiran AC Tan sedang Komander Divisyen Polis Jurong itu mengejar masa untuk menyelaraskan beberapa agensi pemerintah, tentera, para anggotanya dan lebih 4,000 individu yang terjejas, menjelang pelaksanaan pelupusan bom itu di tapak binaan berkenaan, di mana bom tersebut ditemui.
Mengulas mengenai operasi berkenaan beberapa minggu kemudian dalam satu wawancara dengan pihak media pada Rabu (11 Okt), AC Tan berkata: "Biasanya bagi operasi keselamatan besar, kami mempunyai masa yang mencukupi - beberapa minggu, bahkan bulan untuk melakarkan rancangan.
"Yang ini, keadaan serius (bom tersebut) yang boleh meletup pada bila-bila masa, bermakna bahawa terdapat garis masa yang padat di mana kami bertugas."
Ini juga merupakan tugasan yang tidak lazim dilaksanakan para pegawai polis yang lebih terbiasa untuk menangani isu keselamatan seharian.
Namun mereka berjaya melaksanakannya, dengan relik perang berkenaan dimusnahkan dalam dua operasi pelupusan yang terkawal pada 26 September, dan dengan tiada individu dilaporkan cedera serta hanya kerosakan kecil pada bangunan-bangunan di sekeliling.
Bagi AC Tan, yang menyandang jawatan tersebut pada 29 Ogos tahun lalu, peristiwa berkenaan merupakan antara peristiwa besar dalam kerjayanya selama 18 tahun.
RIBUAN BAHAGIAN BERGERAK
Bom tersebut yang ditemui pada 20 September di tapak binaan kondominium Myst. Para pakar pelupusan dari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) menentukan bahawa bom berkenaan perlu dilupuskan di tapak itu.
SPF kemudian mengerahkan sebuah dron untuk menentukan kawasan-kawasan yang terjejas dan di sekelilingnya.
Pihak berkuasa menilai bahawa semua penduduk dan perniagaan di sekitar 200 meter dalam kawasan tapak bom itu, harus dipindahkan. Ini menjejas ribuan individu dari kondominium The Linear, Hazel Park, Bukit 828 dan Hazel Park Terrace; perumahan blok 154 di Gangsa Road; rumah kedai di Upper Bukit Timah Road; dan Sekolah Menengah Greenridge.
Trafik juga dilencongkan dari Upper Bukit Timah Road sementara operasi tersebut dikendalikan.
"WAH INI BENAR-BENAR BERLAKU"
Pada hari operasi pelupusan bom tersebut dijalankan, lebih 300 pegawai dikerahkan untuk memastikan operasinya berjalan dengan lancar, dari pemindahan kepada pemeriksaan selepas operasi pelupusan itu dikendalikan.
AC Tan berada di pusat kawalan, di luar sekitar 200 meter dari kawasan tapak bom itu, untuk memantau operasi berkenaan. Pasukannya menyaksikan bom berkenaan dipindahkan beberapa meter ke sudut pelupusan yang diperuntukkan di tengah-tengah beberapa blok simen.
Apabila pelupusan bertama berlaku sekitar pukul 12.30 tengah hari, pasukan itu terkejut melihat tahap kesannya, termasuk gegaran yang dirasakan.
"Saya rasa pada ketika ini, (kami rasa ia) menakutkan dan menyeronokkan. Macam 'wah', ini benar-benar berlaku," ujar AC Tan.
"Ini bom yang sebenar dan ia boleh meletup dan kami berterima kasih bahawa kami sudah melakukan tugas ini untuk memastikan ia dilupuskan dengan selamat."
Meskipun pihak polis bimbang kemungkinan operasi itu berlarutan untuk tempoh yang lama, rancangan luar jangka turut dilakarkan khususnya bagi situasi sedemikian. Mujur, ia tidak perlu dilaksanakan, kata AC Tan.
Setelah operasi pelupusan kedua dilaksanakan kira-kira pukul 1.45 petang, polis mengesahkan bahawa relik perang berkenaan sudah berjaya dilupuskan.
LEGA DAN BANGGA
Sekalipun demikian, tugas polis belum selesai. Polis perlu menyelaraskan pemeriksaan prasarana oleh agensi-agensi seperti Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA), dengan sasaran untuk menyambung semula kegiatan harian bagi para penduduk serta perusahan yang terjejas.
Proses berkenaan mengambil masa lebih tiga jam, dengan mereka yang cuba untuk memasuki kawasan yang disekat, diarahkan tidak melakukan demikian.
Arahan bagi membolehkan para penduduk kembali ke rumah dan penghadang dialihkan dibuat pada pukul 5.10 petang. Ramai malah, menyuarakan rasa lega apabila mendapati bahawa harta benda mereka tidak terjejas.
"Saya rasa saya boleh katakan bagi pihak semua orang yang berada di pusat kawalan bahawa terdapat rasa lega kerana barang berkenaan dapat dilupuskan, relik itu dilupuskan dengan selamat dan tanpa sebarang kecederaan yang menimpa mana-mana nyawa dan tanpa kerosakan yang ketara yang berlaku pada harta benda dan prasarana, yang pada mulanya kami bimbang boleh berlaku," ujar AC Tan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.