Bagaimana Madrasah Aljunied boleh jadi institusi global, bukan hanya di Nusantara?
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yacob Ibrahim mengajak masyarakat untuk sama-sama memikirkan bagaimana Madrasah Aljunied Al-Islamiah boleh menjadi sebuah institusi global.
SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yacob Ibrahim mengajak masyarakat untuk sama-sama memikirkan bagaimana Madrasah Aljunied Al-Islamiah boleh menjadi sebuah institusi global.
Menurutnya, ini termasuk mewujudkan ulama-ulama mahir dalam tradisi Islam dan faham apakah trend-trend global yang harus ditangani ulama-ulama Islam.
Dr Yaacob berkongsi wawasannya bagi Madrasah Aljunied di majlis ulang tahun ke-90 institusi itu pada Sabtu lalu (25 Nov).
Sejak diasaskan pada 1927, Madrasah Aljunied Al-Islamiah sudah melahirkan golongan cendekiawan dan ulama di Singapura dan Asia Tenggara, yang banyak berbakti kepada perkembangan pendidikan Islam.
Sempena ulang tahunnya yang ke-90 tahun ini, tiga alumni Madrasah Aljunied diiktiraf atas peranan mereka dalam meninggalkan kesan mendalam terhadap pembangunan Islam di negara masing-masing.
Mereka adalah mantan Mufti Negara Syed Isa Mohamed Semait, Dr Awang Mohd Zain Serudin, mantan Menteri Hal Ehwal Ugama Negeri Brunei Darussalam dan Dr Abdul Shukor Husin, Felo Kehormat, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.
Anugerah itu disampaikan oleh Presiden Halimah Yaacob bersama Dr Yaacob Ibrahim selaku tetamu khas di majlis tersebut.
"Melalui Madrasah Aljunied, banyak anak-anak di Nusantara telah pun dididik seperti Mufti-Mufti yang kita ada di Brunei, dan juga di Malaysia. Hala tuju yang harus kita fikirkan ialah bagaimana Madrasah Aljunied boleh menjadi satu institusi yang global, bukan hanya di Nusantara, tetapi di persada dunia, di mana kita dikenal sebagai satu Madrasah yang moden.
"Tetapi tetap dengan tradisi Islam, mewujudkan ulama-ulama yang mahir dalam tradisi Islam tetapi faham apakah trend-trend global dan harus ditangani oleh ulama-ulama Islam," kata Dr Yacob.
Menyokong visi Dr Yaacob itu, Mudir Madrasah Aljunied, Ustaz Mahmoud Mathlub berkata pihaknya merancang untuk mengumpul kesemua karya khas pelajar dan alumninya dalam bentuk digital.
"Saya kira adalah penting untuk kita mengorak langkah yang konkrit yang sistematik dari sudut pembangunan kurikulum, dari sudut melahirkan para guru, para pendidik yang terlatih, dan memastikan bahawa dari sudut pembelajaran, ia adalah sesuatu yang terkini, dari sudut kita mengguna pakai teknologi, dan ini adalah sesuatu yang Madrasah akan terus dan meneruskan usaha yang baik ini, untuk masa hadapan insyaAllah," kata Ustaz Mahmoud.
Selain daripada pembangunan kurikulum dan latihan guru, madrasah itu juga mengorak langkah memperbaiki infrastuktur dan kemudahan bilik darjah.
Acara malam itu bertujuan mengumpulkan dana sebanyak $1 juta untuk pemuliharaan dan peningkatan madrasah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.