Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bagaimana isu ajaran sesat, 'nikah batin' boleh tertakluk dalam siasatan polis...

Masyarakat kini menantikan hasil keputusan siasatan polis berhubung kes lelaki yang dikatakan menyebarkan ajaran sesat dengan mengaku Nabi dan mengamalkan 'nikah batin' dengan beberapa wanita.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masyarakat kini menantikan hasil keputusan siasatan polis berhubung kes lelaki yang dikatakan menyebarkan ajaran sesat dengan mengaku Nabi dan mengamalkan 'nikah batin' dengan beberapa wanita.

Kes tersebut pertama kali terbongkar pada November tahun lalu. Laporan polis akhirnya dibuat oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan pembangkang di Parlimen pada Isnin (1 Nov).

Jadi bagaimana kes-kes berunsur keagamaan seperti itu boleh menjadi kes polis dan dalam bidang siasatan polis?

Peguam dengan lebih 10 tahun pengalaman menangani kes-kes kemasyarakatan, Encik Abdul Rahman Mohd Hanipah memberikan penjelasannya kepada BERITAmediacorp.

"Kalau adanya pernikahan perkahwinan yang tidak mengikut undang-undang, ini mungkin satu jenayah yang pihak polis boleh siasat dan juga ambil tindakan lanjut kalau perlu. Selain daripada perkahwinan tidak sah, kita juga ada beberapa kesalahan ataupun jenayah dalam Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA) seperti bersekududukan di luar perkahwinan iaitu dalam Seksyen 134.

"Dan juga adanya doktrin palsu ataupun ajaran–ajaran yang mungkin lain daripada pemahaman agama Islam dan ini dalam Seksyen 139. Jadi kalau pihak MUIS ingin teruskan dengan siasatan mereka, tentulah adanya jurusan-jurusan jenayah yang boleh dakwaan boleh diteruskan," kata Encik Abdul Rahman, yang memiliki firma guamannya sendiri sejak 2014, iaitu Abdul Rahman Law Corporation.

BAGAIMANA AJARAN SONGSANG BOLEH JADI KES POLIS?

Namun hakikatnya, Singapura mengamalkan "kebebasan beragama" seperti yang termaktub dalam Artikel 15 Perlembagaan Negara.

Menurut artikel 15.1 akta tersebut: "Setiap orang berhak mengaku dan mengamalkan agamanya dan menyebarkannya."

Bagaimanapun artikel 15.4 akta tersebut berbunyi begini: "Artikel ini tidak memberi kebenaran terhadap sebarang perbuatan yang berlawanan kepada sebarang undang-undang am berhubung ketenteraman awam, kesihatan awam atau moral."

Dalam ulasannya Encik Abdul Rahman berkata kes ajaran songsang boleh menjadi kes polis jika ajarannya menyeleweng daripada prinsip agama asal.

"Apabila anda menunjukkan atau mengatakan yang anda sebahagian daripada satu agama tertentu, tetapi anda sebenarnya menyebarkan ajaran yang tidak mengikut agama tertentu itu, anda akan berdepan dengan beberapa masalah," tambahnya.

BERAPA LAMA SIASATAN BERJALAN?

Berdasarkan pengalamannya dalam bidang undang-undang, Encik Abdul Rahman berkata tempoh masa yang diambil polis untuk menjalankan siasatan untuk kes seperti itu tidak menentu. Ia boleh mengambil sepantas enam bulan atau sehingga empat tahun sebelum keputusan boleh dicapai.

"Ia betul-betul bergantung kepada fakta-fakta kes itu dan kadangkala tenaga manusia, bahan bukti dan saksi yang ada, semua ini akan ada kesan betapa cepat polis boleh membuat kesimpulan sama ada kesalahan dibuat dibawah fakta-fakta tersebut," jelas Encik Abdul Rahman.

Menurut jawapan di parlimen semalam, Menteri Masagos menyatakan Jawatankuasa Fatwa sudah menyelesaikan siasatan dalamannya berhubung kes itu dan membuat laporan polis.

"Pihak berkuasa akan mendedahkan hasil siasatannya kepada awam sebaik sahaja siasatan selesai dijalankan," menurut Encik Masagos sebagai menjawab soalan bertulis Encik Faisal Manap.

"Kalau kita fokus tentang ajaran sesat, kalau kita tengok Seksyen 139, AMLA yang saya katakan tadi, kalau seorang didakwa atas Seksyen tersebut dan didapati bersalah oleh mahkamah, mereka boleh dikenakan saman sebanyak S$2,000 ataupun dipenjarakan selama 12 bulan ataupun kedua-duanya," terang Encik Abdul Rahman mengenai peruntukan hukum yang ada.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa