Skip to main content

Singapura

Bagaimana banduan dapat Diploma dalam penjara dan kemudian pekerjaan apabila bebas

Syafiq (bukan nama sebenar) hanya akan dibebaskan dari penjara tahun depan tetapi dia kini sudahpun sibuk mempersiapkan diri untuk kembali ke pangkuan masyarakat dan bekerja.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Syafiq (bukan nama sebenar) hanya akan dibebaskan dari penjara tahun depan tetapi dia kini sudahpun sibuk mempersiapkan diri untuk kembali ke pangkuan masyarakat dan bekerja.

Ini dilakukan dengan mengikuti program diploma - dari dalam penjara!

"Apabila saya mendengar tentang program ini, saya berasa berminat. Saya harapkan dapat peluang kedua itu," kata Syafiq.

'Laluan pendidikan' yang sedang diikutinya adalah Program Diploma Pemasaran Media Sosial dan Penerbitan Kandungan Online, iaitu salah satu program media yang dapat ditawarkan kepada para banduan hasil kerjasama antara Mediacorp dengan Reben Kuning Singapura (YRSG).

Related article image

Syafiq adalah antara kohort pertama 34 banduan yang mengikuti program ini di akademi yang ditubuhkan dalam penjara. YRSG merancang mewujudkan empat kohort 'pelajar' seperti ini meliputi 100 banduan setiap tahun.

BERANIKAN DIRI WALAUPUN...

Di bawah program diploma dijalani Syafiq ini, dia perlu mengikuti tujuh modul yang memakan masa lebih 200 jam dalam kelas.

Antara yang perlu dipelajari termasuk cara-cara mengatur strategi perniagaan dengan menggunakan media sosial.

Related article image

"Saya dapat belajar pasal mempromosi produk dan khidmat di media sosial. Ia dapat benar-benar mengubah persepsi saya bahawa media sosial bukan sahaja satu cara untuk berkomunikasi tetapi jika digunakan sewajarnya, boleh memenuhi matlamat perniagaan dan pemasaran juga," kongsi Shafiq.

Lebih menarik lagi, tahanan berusia 37 tahun ini mula mempelajari semua itu walaupun dirinya tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam industri media.

"Pada mulanya memang mencabar pasal sudah 20 tahun sejak meninggalkan bangku sekolah kan. Nak bentangkan idea, kena kreatif dan kemudian mengembangkannya... 'perit' juga," akui Syafiq jujur.

Related article image

Sungguhpun begitu, peluang keemasan untuk menimba pengalaman dan pengetahuan baru enggan dilepaskan. Syafiq sebaliknya menyahut cabaran untuk menghasilkan video yang memaparkan kehidupan seorang penuntut diploma yang dibatasi tembok-tembok penjara.

Video itu akhirnya ditonton oleh wakil dari 15 syarikat dalam satu sesi khas pada Jumaat (19 Mac). Bermakna, Syafiq dapat membuktikan keupayaannya dan mungkin ada majikan sudah menunggunya untuk menyertai mereka kelak.

"Saya harap ada syarikat yang dapat menerima saya walaupun saya seorang banduan, memberi saya peluang untuk menunjukkan kebolehan saya. Saya sangat harap dapat bekerja dalam industri media apabila dibebaskan nanti."

DIPLOMA DIIKUTI SAMA DENGAN PENUNTUT LAIN

Dalam satu sesi bersama media untuk berkongsi perkembangan para banduan, jurulatih mereka menjelaskan bahawa program diploma yang diadakan di dalam penjara mempunyai "kandungan sama dan penilaian sama" dengan program yang diadakan di luar sana.

"Modulnya seperti dari sebuah sekolah perniagaan, tetapi dirangkumkan dan diajar dalam waktu singkat. Kita jadikannya ia praktikal," kata Encik Azhar Adib, seorang jurulatih dari Akademi Media Singapura (SMA), Mediacorp.

Related article image

Akademi itu hanyalah satu daripada dua akademi yang ditubuhkan di dalam penjara. Sebuah lagi akademi ditubuhkan oleh Persatuan Kejuruteraan Jitu dan Teknologi Singapura (SPETA).

Mengulas lanjut, Encik Azhar berkata para banduan di bawah program ini semuanya menunjukkan semangat ingin tahu yang tinggi dan mereka mempunyai daya kreativiti terpendam.

"Tidak ada apa-apa yang menunjukkan bahawa mereka serba kekurangan berbanding pelatih-pelatih kami di luar sana. Mereka boleh faham, menghadam apa yang diajar dan menunjukkan keupayaan untuk menerapkan pengetahuan mereka," tambah Encik Azhar.

Ketua SMA Timothy Tan pula berkongsi bahawa pihaknya cuba sedaya upaya untuk menyediakan pengalaman yang terbaik bagi para banduan.

"Peralatan yang kami gunakan dalam latihan sebenarnya sama dengan yang digunakan untuk orang awam," katanya.

Malah, para banduan dapat menggunakan peranti digital dan Internet, walaupun aksesnya dibataskan.

BEKAS TEKNISYEN AZAM JADI PENOLONG PENGARAH

Selain pemasaran online, sebilangan banduan memilih untuk mengikuti Diploma Pengurusan dan Penerbitan Media yang akan melayakkan mereka menjadi penolong pengarah.

Related article image

Program itu memberi mereka pendedahan untuk memahami proses penerbitan - dari mencari tempat sesuai, mengurus kewangan yang diperlukan sehinggalah mengendalikan operasi di balik penghasilan video.

Bidang ini sememangnya sangat luas sehingga banduan yang mempunyai pengalaman dalam industri media sebagai teknisyen audio dan lampu ini, merasakan banyak lagi yang boleh dipelajari.

"Program yang saya hadiri ini tidak ada kena mengena dengan pengalaman kerja saya. Saya memang berminat untuk luaskan ilmu saya dallam bidang ini," kata Aiden (bukan nama sebenar), seorang lagi banduan yang mengikuti kursus diploma di dalam penjara.

Tinggal beberapa modul sahaja lagi, Aiden, 31 tahun, akan dapat belajar cara-cara untuk mengarah pula.

"Buat masa ini, saya sudah berjaya menamatkan dua daripada tujuh modul. Pada pendapat saya, ia sangat bermanfaat dan saya seterusnya ingin sangat untuk mempelajari modul keenam, iaitu 'direction' - yang lebih menghuraikan tentang elemen produksi secara lebih mendalam," tambah Aiden.

Related article image

Jika berjaya menggengam diploma menerusi daya usaha ini, banduan-banduan berkenaan berpeluang mendapat pekerjaan dengan Mediacorp atau syarikat-syarikat penerbitan lain setelah dibebaskan nanti.

"Saya harap para majikan mahu memberi pekerjaan kepada saya apabila dibebaskan nanti. Saya ingin menunjukkan yang saya juga boleh membuat tugas ini, sama seperti orang lain, yang mengambil kursus ini di luar penjara." 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita