Skip to main content

Singapura

Badan sivik pergiat usaha dampingi belia tangani radikalisasi online

Kebimbangan terhadap radikalisasi dalam kalangan belia kian meningkat di Singapura menurut Laporan Penilaian Ancaman Pengganasan Singapura yang diterbitkan baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kebimbangan terhadap radikalisasi dalam kalangan belia kian meningkat di Singapura menurut Laporan Penilaian Ancaman Pengganasan Singapura yang diterbitkan baru-baru ini.

Dengan pelbagai platform online digunakan untuk sebarkan bahan ideologi radikal, kumpulan-kumpulan sivik juga mempergiatkan lagi usaha untuk menanganinya.

Ini di samping menyediakan ruang yang selamat untuk para belia bincangkan isu-isu berkenaan pengganasan dan radikalisme.
ROSES OF PEACE BERUSAHA PELIHARA PERPADUAN SOSIAL DALAM KALANGAN BELIA

Sejak Julai tahun lalu, lapan kes radikalisasi secara sendiri ditangani di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dengan separuh daripada kes berpunca daripada konflik Israel-Palestin.

Di sebalik ancaman itu, badan bukan meraih untung seperti Roses of Peace giat memelihara perpaduan sosial dengan mendekati belia melalui pelbagai program.

"Anak muda kita, belia kita, tidak kira sama ada mereka Muslim atau bukan Muslim. Mereka sangat prihatin tentang kehilangan nyawa akibat keganasan dan mereka yang tidak bersalah yang dalam kesengsaraan," kongsi Pengasas dan Presiden Roses of Peace, Mohamed Irshad kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Related article image
Pengasas dan Presiden Roses of Peace, Mohamed Irshad. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)
"Jadi kami sedar akan kepentingan mengadakan dialog untuk membolehkan anak muda kami mendengar secara langsung daripada pakar-pakar bidang daripada akademik, pengamal, orang di lapangan, dan pemimpin politik kerana Singapura sudah mengambil kedudukan dan pendirian yang khusus," tambah beliau.

Setakat ini, Roses of Peace sudah menganjurkan tiga sesi dialog berkaitan isu itu.

"Penting bagi mereka untuk memahami apa yang kita boleh dan tidak boleh lakukan sebagai sebuah negara, agensi yang kita miliki dan apakah saluran yang membolehkan mereka mempunyai agensi sebagai individu untuk menyumbang kepada dana yang sedang dikumpul," menurut Encik Irshad.

"Satu perkara penting adalah bagaimana kita boleh melakukan 'advocacy' yang bertanggungjawab dan saya rasa itulah sesuatu yang kami cuba sertakan dalam perbincangan, forum dan penglibatan kami, di mana kami cuba mengadakan perbualan itu," tambah beliau.

PERGIAT USAHA DI RUANG DIGITAL, KERJASAMA DENGAN GOOGLE & META

Dengan adanya Internet dan media sosial, pendedahan kepada ideologi radikal menjadi lebih mudah lagi.

Lantaran itu, Roses of Peace mempergiat usaha di ruang digital dengan bekerjasama dengan syarikat-syarikat teknologi.

Encik Irshad menjelaskan: "Kami bekerjasama dengan syarikat teknologi seperti Google dan Meta, di mana kami mendampingi mereka (belia) mengenai keselamatan Internet.”

"Kami mendapatkan bantuan mereka untuk melengkapkan golongan belia di Singapura dan mereka yang terlibat dalam program kami dengan set kemahiran yang relevan untuk membezakan antara sumber berita yang betul dan yang tidak, dan bagaimana memastikan pemikiran kritis digunakan apabila mereka mengikuti berita dan menerima maklumat dari ruang online."
Related article image
Program Pejuang Harmoni oleh Roses of Peace memperkasa belia Institusi Pengajian Tinggi (IHL) untuk menyebarkan mesej keamanan. Gambar: Facebook/Roses of Peace)
Selain program Duta Roses of Peace, kumpulan itu juga menjalankan program Pejuang Harmoni yang memperkasa belia Institusi Pengajian Tinggi (IHL) untuk menyebarkan mesej keamanan.

"Salah satu perkara yang kami sedar menerusi pendekatan dan pelbagai usaha yang sudah kami lakukan ialah anak muda datang dengan idea bahawa kaum dan agama boleh diambil ringin dan mereka melakukan demikian dan rasa ia bukan sesuatu yang ada kaitan dengan mereka dan pihak berkuasa sudah menanganinya," dedah Encik Irshad.

"Namun, apabila kami memberikan mereka contoh menerusi latihan dan mendedahkan mereka kepada pelbagai aspek keharmonian kaum dan agama di Singapura, mereka sedar bahawa ia adalah asas utama dan tunjang bagi keamanan, kemakmuran dan keselamatan yang kita nikmati di Singapura dan jika keamanan itu tergugat, mereka sedar bahawa kita boleh jatuh ke dalam situasi yang bercelaru," tambahnya.
Related article image
Humanity Matters cuba memperkukuh ketahanan sosial melalui program SG CORE yang dimulakan pada 2021. (Gambar: Humanity Matters)
HUMANITY MATTERS PERKUKUH KETAHANAN SOSIAL DALAM MASYARAKAT MENERUSI SG CORE

Usaha itu menjadi genting lagi dengan radikalisasi dalam kalangan belia semakin membimbangkan.

Daripada lapan rakyat Singapura yang ditahan di bawah ISA sehingga bulan lalu, separuh berusia di bawah 20 tahun.

Oleh itu, pendekatan melibatkan pelbagai pihak termasuk pertubuhan-pertubuhan sivik penting untuk tangani hal ini.

Misalnya bagi Humanity Matters, selain bekerja rapat dengan pemerintah, badan itu sudah melibatkan hampir 5,000 guru dan pemimpin pelajar dalam Program-program Ketahanan Sosialnya.

"Organisasi seperti Humanity Matters memainkan peranan sivik yang penting dalam menangani radikalisasi dan juga membina daya tahan dari bawah atau 'grown-up efforts' dan organisasi sivik membantu menutup jurang dan memperluaskan pencapaian usaha dari atas ke bawah atau 'Top Down’, memainkan peranan penting dalam merealisasikan strategi keseluruhan masyarakat atau ‘Whole of Society Approach’," kata Penasihat Khas Humanity Matters, Hassan Ahmad.

"Sektor sivik juga dalam kedudukan yang unik untuk menyediakan ruang yang relevan, inklusif dan juga membina di mana perbualan atau dialog-dialog yang sensitif dan selalunya sukar, boleh diadakan dengan inisiatif sektor sivik. Sektor sivik juga dilihat mempunyai suara yang berwibawa atau boleh dipercayai jika dibandingkan dengan apa yang ‘top down’ dari pemerintah," tambahnya.

Humanity Matters juga cuba memperkukuh ketahanan sosial melalui program SG CORE yang dimulakan pada 2021.

Program itu dibahagikan kepada 3 bidang tumpuan iaitu menghargai kepelbagaian budaya, menonjolkan kesamaan serta memperkenalkan elemen-elemen 'TREE' iaitu pengganasan, radikalisme, ekstremisme dan 'exclusivism'.

"Kami mengambil pendekatan dimensi sosial yang bertujuan untuk melengkapkan pendekatan dimensi keselamatan yang sedia ada, yang dijalankan oleh pihak pemerintah kami. Pendekatan dimensi sosial ini menyediakan dan memberi naratif alternatif atau ‘alternative narrative’ untuk menentang secara halus naratif radikal dan juga pelampau. Menerusi SG CORE, Humanity Matters berusaha untuk mengetengahkan dan menegaskan semula elemen-elemen yang boleh meningkatkan atau menjejas pandangan dunia, sikap dan juga semangat kami sebagai individu dan juga sebagai sebuah rakyat," kata Encik Hassan.

"Humanity Matters melibatkan pengamal atau 'practitioners' dan juga pakar-pakar atau 'specialist' dari sektor sosial dan juga keselamatan supaya peserta-peserta dalam program SG CORE dapat bersoal jawab dan juga berbincang bersama pakar-pakar dan pengamal-pengamal kami mengenai pengganasan, radikalisme dan juga ekstremisme dalam forum yang tertutup," katanya lagi.

PENTING UNTUK RAKYAT SG BEKERJASAMA, SOKONG ANTARA SATU SAMA LAIN

Beliau turut berkongsi bagaimana konflik Israel-Hamas sudah mempengaruhi perbincangan online dalam kalangan belia dan menyumbang kepada radikalisme.

"Konflik Israel-Hamas adalah konflik yang sangat kompleks kerana ianya melibatkan isu pelbagai dimensi termasuk kemanusiaan, keselamatan, sejarah dan juga geopolitik. Krisis kemanusiaan yang teruk di Gaza telah menyebabkan ramai di Singapura dan merata dunia menjadi sedih dan bersimpati. Ada yang marah dan ada yang rasa tidak berdaya. Dan ini semua memangkinkan motivasi yang kuat untuk melakukan sesuatu untuk membantu," ujar Encik Hassan.

"Walau bagaimanapun, sesetengah daripada mereka mungkin tidak dapat menguruskan emosi dengan sewajarnya atau yang sepatutnya dan oleh itu, telah menggunakan atau mengambil cara-cara yang boleh menyebabkan lebih banyak bahaya daripada kebaikan. Oleh itu, adalah penting bagi kami di Singapura menjadi lebih rapat dan bekerjasama untuk membantu menangani krisis kemanusiaan yang dialami oleh rakyat awam di Gaza. Dengan berbuat demikian, kami menyokong satu sama lain dari segi emosi dan sosial," tambahnya.

Dengan ancaman radikalisasi dan ekstremisme berkembang dari masa ke masa, Encik Hassan menekankan perlunya untuk masyarakat bersatu dan menggalakkan nilai bersama seperti keamanan, keharmonian dan keselamatan.
Sumber : BERITA Mediacorp/NJ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita