Skip to main content

Singapura

Badan pertikaian pelaburan antarabangsa, ICSID, bakal tubuhkan pejabat di SG

Pusat Antarabangsa untuk Penyelesaian Pertikaian Pelaburan (ICSID) akan menubuhkan sebuah pejabat dengan kakitangan di Singapura, yang pertama seumpamanya di luar Amerika Syarikat.

Anggaran Waktu Membaca:
Badan pertikaian pelaburan antarabangsa, ICSID, bakal tubuhkan pejabat di SG

Setiausaha Agung ICSID, Martina Polasek (kiri), dan Menteri Undang-Undang, Edwin Tong, pada 25 Ogos 2025. (Gambar: Facebook/Edwin Tong)

Diterbitkan : 25 Aug 2025 08:04PM
SINGAPURA: Pusat Antarabangsa untuk Penyelesaian Pertikaian Pelaburan (ICSID) akan menubuhkan sebuah pejabat dengan kakitangan di Singapura, yang pertama seumpamanya di luar Amerika Syarikat.

Menteri Undang-Undang, Edwin Tong, mengumumkan pada Isnin (25 Ogos) bahawa surat berkaitan penubuhan pejabat itu sudah ditandatangani sebagai mengesahkan rancangan itu, sambil menyifatkannya sebagai satu “pencapaian penting”.

ICSID merupakan salah satu daripada lima pertubuhan Kumpulan Bank Dunia yang berperanan sebagai forum bagi menyelesaikan pertikaian antara pelabur dan negara yang terbabit dalam kebanyakan perjanjian pelaburan antarabangsa serta pelbagai undang-undang dan kontrak pelaburan.

Pejabatnya di Singapura adalah yang pertama yang mempunyai kakitangan di luar ibu pejabatnya di Washington. Ia juga menjadikan Singapura negara pertama yang mempunyai pejabat tempatan bagi kelima-lima pertubuhan Kumpulan Bank Dunia, kata Encik Tong.

“Pejabat ICSID di Singapura akan berfungsi sebagai hab serantau untuk membolehkan ICSID memberi perkhidmatan lebih baik di rantau ini dari segi pencegahan, penyelesaian dan pendidikan berkaitan pertikaian pelaburan,” kata Menteri Undang-Undang itu.

“Kami mengalu-alukan kehadiran ICSID di Singapura, yang pastinya akan mengukuhkan lagi kedudukan Singapura sebagai hab penyelesaian pertikaian antarabangsa serta peneraju pemikiran dalam bidang ini.”

Encik Tong mengiktiraf pencapaian tersebut sebagai hasil “usaha tekun” pasukan Kementerian Undang-Undang dan ICSID.

Beliau berkata, pada Jun 2024, beliau melakukan lawatan ke pejabat ICSID di Washington, di mana beliau bertemu dengan setiausaha agungnya, Martina Polasek, dan menandatangani memorandum persefahaman bagi mendaftarkan minat bersama untuk menubuhkan pejabatnya di Singapura.

“Dalam bulan-bulan berikutnya, pasukan masing-masing bekerja keras dalam meneliti butiran penting untuk menjayakan pencapaian ini,” kata Encik Tong.

Beliau menambah bahawa Cik Polasek dan pegawai utama ICSID serta Bank Dunia turut diraikan dalam satu majlis makan tengah hari pada Isnin sempena peristiwa bersejarah itu.

“Mereka mengemukakan banyak idea menarik, yang berasaskan sistem nilai yang kukuh,” kata Encik Tong.

“Ketika kami bertukar pandangan dan buah fikiran, jelas bahawa asas kerjasama Singapura dengan ICSID akan berlandaskan prinsip pelbagai hala, dasar yang berpusatkan rakyat serta komitmen teguh terhadap kedaulatan undang-undang.”

Empat pertubuhan Kumpulan Bank Dunia yang kini mempunyai pejabat di Singapura ialah: Bank Antarabangsa untuk Pembinaan Semula dan Pembangunan, Persatuan Pembangunan Antarabangsa, Perbadanan Kewangan Antarabangsa, dan Agensi Jaminan Pelaburan Pelbagai Hala.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita