Skip to main content

Singapura

Badan pemantau pengguna SG ambil tindakan terhadap Courts, Prism+ kerana kelirukan pembeli melalui amalan dagang tidak adil

Courts dan Prism+ dikenakan tindakan oleh badan pemantau pengguna Singapura kerana mengelirukan para pembeli untuk membuat pembelian.
Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 Dec 2025 02:12PM Dikemas Kini : 26 Dec 2025 12:57AM
SINGAPURA: Courts dan Prism+ dikenakan tindakan oleh badan pemantau pengguna Singapura kerana mengelirukan para pembeli untuk membuat pembelian.

"Courts secara automatik memasukkan barangan yang tidak diminta ke dalam troli para pengguna ketika membeli-belah online, manakala Prism+ pula menggunakn fungsi pemasa kiraan mundur yang palsu dan penunjuk stok yang mengelirukan bagi menambah tekanan terhadap para pengguna supaya membuat pembelian," kata Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) dalam satu kenyataan media pada Isnin (8 Dis).

Kedua-dua peruncit elektronik pengguna dan peralatan rumah itu sudah memberi jaminan kepada CCCS bahawa mereka tidak lagi menggunakan sebarang amalan perdagangan yang tidak adil, menurut agensi tersebut.

COURTS

Berikutan satu aduan pengguna, siasatan CCCS mendapati semasa tempoh promosi tertentu, Courts secara automatik memasukkan barangan ke dalam troli beli-belah online para pelanggan tanpa mendapatkan persetujuan mereka.

Sebagai contoh, sebuah vakum jenama Acer dimasukkan ke dalam troli beli-belah online seorang pengguna selepas beliau sedang membuat pilihan pembelian iPad Apple, kata CCCS.

Amalan tersebut menyebabkan para pengguna menghadapi risiko membuat pembayaran untuk barangan yang tidak diminta jika mereka tidak menyedari dan tidak mengeluarkan barangan yang dimasukkan itu sebelum membuat pembayaran.

“Walaupun telah menerima aduan daripada pelanggan mengenai amalan ini sejak 2024, Courts tidak membuat perubahan sehingga CCCS memberi campur tangan pada Jun 2025,” menurut agensi itu.

“Courts sudah pun memberi jaminan kepada CCCS untuk menghentikan amalan ini dengan serta-merta. Selain membuat perubahan pada laman webnya, Courts juga bersetuju untuk memulangkan bayaran kepada para pelanggan yang terjejas akibat amalan perdagangan yang tidak adil itu.”

PRISM+

Dalam satu siasatan berasingan, CCCS mendapati beberapa ciri reka bentuk pada laman web PRISM+ yang memberi tekanan kepada para pengguna supaya membuat pembelian dengan menimbulkan rasa tergesa-gesa menerusi kepalsuan.

Menurut agensi itu, Prism+ menggunakan pemasa kiraan mundur palsu yang memaparkan mesej seperti “Barangan popular yang sedang laris! Beli dalam [pemasa] minit berikut untuk mendapatkan stok dan mengelak daripada ketinggalan”.

“Namun, pemasa tersebut tidak mempunyai fungsi teknikal, tidak dihubungkan dengan mana-mana sistem inventori Prism+ dan sekadar menetapkan semula pemasanya selepas mencapai kiraan sifar tanpa menjejaskan proses pembayaran,” kata CCCS.

Prism+ juga menggunakan penunjuk stok yang mengelirukan, dengan mendakwa bahawa stoknya hampir kehabisan walaupun inventori sebenarnya masih banyak. Bagi satu produk, penunjuk itu dipaparkan walaupun jualan bulanan hanya mewakili tujuh peratus daripada jumlah stok Prism+ yang tersedia, menurut CCCS.

“Prism+ menjelaskan bahawa penunjuk ‘Dalam Stok: Semakin Berkurangan’ digunakan untuk mana-mana produk dengan inventori melebihi 100 unit,” kata agensi itu, sambil menambah bahawa ambang tersebut tidak didedahkan kepada para pengguna.

Agensi itu turut mendapati Prism+ menggunakan kenyataan-kenyataan yang tidak dapat dibuktikan seperti “jenama lain semuanya kehabisan stok akibat gangguan rantaian bekalan”, dan “terdapat kekurangan industri secara menyeluruh dan semua jenama telah habis dijual” pada halaman produk-produknya.

“Prism+ tidak dapat membuktikan kenyataan tersebut apabila ditanya oleh CCCS dan mendakwa kenyataan itu dibuat dalam konteks pandemik COVID-19,” menurut agensi itu.

Selain itu, CCCS memaklumkan siasatan mendapati bahawa bagi 10 produk, Prism+ menaikkan kadar diskaun dengan menawarkan “sehingga 67 peratus potongan harga” walaupun diskaun maksimum itu tidak boleh dicapai.

Bagi satu produk, diskaun sebenar yang diberikan hanya 38 peratus.

“Prism+ mengaitkan perkara tersebut dengan kesilapan teknikal,” kata CCCS.

Menurut CCCS, Prism+ sudah membetulkan isu-isu pada laman webnya dan memberi jaminan untuk tidak mengamalkan sebarang amalan perdagangan yang tidak adil.

“Di bawah undang-undang perdagangan adil Singapura, ia merupakan satu amalan perdagangan yang tidak adil bagi perniagaan mengenakan bayaran untuk bekalan produk yang tidak diminta, atau membuat dakwaan palsu atau mengelirukan bagi menekan para pengguna untuk membuat pembelian,” kata CCCS.

“Pemasa kiraan mundur hanya boleh mencerminkan jangka masa sebenar yang diberikan kepada para pengguna, manakala penunjuk stok haruslah munasabah.”

Suruhanjaya itu turut menasihatkan para pengguna supaya memeriksa troli beli-belah online masing-masing bagi sebarang barangan yang tidak diingini ketika membuat pembelian secara online, selain memastikan bahawa jumlah pembayaran adalah sepadan dengan pembelian yang dimaksudkan.

Para pengguna juga digalakkan untuk meneliti ketulenan dakwaan berunsur desakan sebelum membuat pembelian secara tergesa-gesa.

“Dua tindakan penguatkuasaan ini merupakan sebahagian daripada siri tindakan terbaharu yang diambil CCCS terhadap perniagaan yang menggunakan taktik buruk untuk mengelirukan dan menekan para pengguna untuk membuat pembelian yang tidak disengajakan,” kata ketua eksekutif CCCS Alvin Koh.

“CCCS kekal komited dalam memastikan amalan perniagaan yang adil, telus dan jujur di ruang digital, sambil membolehkan persaingan yang asli dalam kalangan pembekal sambil memperkasa para pengguna untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita