Skip to main content

Singapura

Badan pemantau global beri SG rating tertinggi cegah pengubahan wang haram

Sebuah badan pemantau kewangan global memberikan Singapura rating tertinggi bagi rangka kerja pencegahan pengubahan wang haramnya, namun turut mendedahkan beberapa kelemahan dalam aspek denda dan kerjasama rentas sempadannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Badan pemantau global beri SG rating tertinggi cegah pengubahan wang haram

Pemandangan latar langit Singapura pada waktu senja. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)

SINGAPURA: Sebuah badan pemantau kewangan global memberikan Singapura rating tertinggi bagi rangka kerja pencegahan pengubahan wang haramnya, namun turut mendedahkan beberapa kelemahan dalam aspek denda dan kerjasama rentas sempadannya.

Pasukan Bertindak Tindakan Kewangan (FATF) mengeluarkan Laporan Penilaian Bersama Singapura pada Rabu (6 Mei), iaitu semakan berkala yang merangkumi tempoh dari 2020 hingga Julai tahun lalu.

Ia merujuk kepada kes pengubahan wang haram berprofil tinggi bernilai S$3 bilion pada 2023 sebagai “manifestasi paling jelas terhadap pelaksanaan berterusan dan aktif Singapura dalam langkah-langkah tambahan dan unik bagi menangani pihak yang cuba menyalahgunakan sistem kewangan Singapura”.

FATF menyatakan ia menunjukkan daya tarikan Singapura dalam kalangan penjenayah, namun pada masa yang sama mencerminkan mutu penguatkuasaan undang-undang serta komitmen politik negara itu dalam membanteras jenayah kewangan.

Kes tersebut, yang melibatkan beberapa warga asing membawa masuk berbilion dolar hasil daripada kesalahan perjudian jarak jauh di luar negara, merupakan antara tindakan pembanterasan pengubahan wang haram terbesar di dunia pada tahun berkenaan.

Menyusuli kes itu, sebuah jawatankuasa berbilang kementerian ditubuhkan untuk menyemak dan mempertingkat pendekatan Singapura dalam menangani pengubahan wang haram, pembiayaan pengganasan serta pembiayaan percambahan.

Sejak itu, beberapa langkah baharu diperkenalkan, termasuk pindaan perundangan serta mekanisme baharu bagi perkongsian maklumat dan data.

Rejim pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan pengganasan Singapura, serta kerjasama dasar dan operasinya, “kemungkinan merupakan antara yang terbaik di dunia,” menurut FATF.

PRESTASI BAIK

Singapura merupakan antara beberapa negara terawal yang menjalani pusingan kelima dan terkini penilaian tersebut, dan meraih status “tindakan susulan biasa”, yang diberikan kepada para anggota yang menunjukkan prestasi baik, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan bersama.

Ia merupakan tahap yang diberikan bagi anggota yang sistemnya dinilai mempunyai “tahap keberkesanan dan pematuhan teknikal yang agak tinggi hingga tinggi”.

Dua lagi hasil ialah “langkah susulan yang dipertingkat”, yang memerlukan peningkatan besar serta pemantauan lebih intensif, dan proses Kumpulan Semakan Kerjasama Antarabangsa FATF, yang mewajibkan peningkatan asas serta kawal selia langsung oleh FATF.

Keputusan itu mengesahkan bahawa Singapura mempunyai “rangka kerja dan proses yang kukuh dan berkesan” dalam menangani jenayah kewangan, menurut ketiga-tiga agensi tersebut.

“Penilaian ini merupakan peningkatan berbanding keputusan pusingan keempat Singapura pada 2016, meskipun piawaian FATF sudah dipertingkatkan secara ketara dalam beberapa bidang,” tambahnya.

Pusingan ini memberi penekanan lebih besar terhadap keberkesanan rejim setiap negara, yang dinilai berdasarkan profil risiko dan konteks masing-masing.

Singapura didapati mempunyai struktur tadbir urus yang kukuh serta rangka kerja perundangan yang mantap, penyelarasan operasi yang kukuh, pemahaman menyeluruh pemerintah terhadap risiko jenayah kewangan, serta kerjasama berkesan antara sektor awam, swasta dan dengan rakan antarabangsa.

Entiti yang diwajibkan untuk mengawasi pengubahan wang haram dan pembiayaan pengganasan juga diselia melalui sistem yang kukuh berteraskan risiko.

Singapura juga didapati mempunyai sistem penguatkuasaan undang-undang yang mantap dalam menyokong siasatan dan pendakwaan, termasuk penggunaan risikan kewangan secara berkesan, keupayaan pemulihan aset yang kukuh serta kerjasama antarabangsa, menurut agensi-agensi tersebut.

BIDANG UNTUK DIPERTINGKAT

Seperti semua bidang kuasa yang dinilai, FATF mengenal pasti beberapa bidang yang perlu diperbaiki.

Denda bagi kes pengubahan wang haram di Singapura didapati ringan sehingga menjejas kesan pencegahannya, dan walaupun negara ini terlibat dalam kerjasama antarabangsa yang kukuh, “terdapat kemungkinan berlakunya kelengahan, dan Singapura boleh memanfaatkan saluran kerjasama rasmi dengan lebih baik”.

Walaupun institusi kewangan dan penyedia perkhidmatan aset maya di Singapura secara amnya menunjukkan tahap kesedaran yang baik terhadap risiko pembiayaan percambahan, “kesedaran berhubung risiko boleh dipertingkatkan dalam sektor-sektor tertentu ... seperti pejabat perwakilan negara asing".

Pejabat-pejabat tersebut, menurut laporan itu, menunjukkan “tahap pemahaman yang amat rendah” terhadap peraturan berkaitan pembiayaan pengganasan dan pembiayaan percambahan.

Singapura menjalankan lebih 11,000 siasatan pengubahan wang haram dan 126 siasatan pembiayaan pengganasan sepanjang tempoh penilaian selama lima tahun, yang disifatkan FATF sebagai “jumlah yang sangat besar”.

Namun, ia menyatakan tumpuan negara itu terhadap kesalahan dalam sempadannya, walaupun sesuai dengan lingkungan pengaruhnya, mempunyai “kesan terhad dalam usaha menjejaki pertubuhan rentas sempadan yang kompleks yang menyasarkan warga Singapura”.

Sebagai hab bagi penubuhan syarikat dan pengurusan kekayaan, Singapura didapati mempunyai “pemahaman yang agak baik” tentang bagaimana syarikat-syarikat yang diperbadankan dalam negara boleh disalahgunakan, namun mempunyai “pemahaman yang lebih terhad” terhadap risiko berkaitan aturan perundangan, syarikat-syarikat asing yang tidak berdaftar serta struktur yang kompleks.

SINGAPURA SAMBUT BAIK SARANAN FATF

“Singapura kekal komited dengan sepenuhnya untuk mematuhi piawaian FATF, dan mengalu-alukan saranan-saranan FATF,” menurut ketiga-tiga agensi itu, sambil mengakui bahawa ekonomi terbuka akan terus berdepan dengan pihak yang cuba untuk mengeksploitasikan sistem kewangan mereka.

Agensi-agensi itu menyatakan Singapura akan meneliti saranan-saranan tersebut dan melaksanakannya dengan cara yang sesuai berdasarkan kadar risiko yang dihadapi, sambil memperkukuhkan kekuatan sedia ada, termasuk memperluaskan COSMIC, iaitu inisiatif perkongsian maklumat yang kini melibatkan enam bank utama.

Negara ini juga akan terus memperhebat usaha membanteras jenayah kewangan, tambah agensi-agensi itu, bagi melindungi kedudukannya sebagai sebuah hab kewangan, perniagaan dan perdagangan yang diyakini, sambil kekal terbuka kepada perniagaan-perniagaan dan para pelabur yang sah.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita