Skip to main content

Singapura

Badan Melayu/Islam perlu dakap semangat 'Maju Bersama', perkukuh komitmen bina masyarakat inklusif sempena SG60: Dr Faishal

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Badan-badan Melayu/Islam Singapura (MMO) perlu mendakap semangat 'Maju Bersama', mengorak langkah ke hadapan sebagai sebuah masyarakat dengan tujuan yang sama dan memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan.

Demikian seruan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim dalam satu Majlis Memperingati Hari Kebangsaan pagi tadi (8 Ogos).

Ini lebih-lebih lagi dengan keadaan dunia yang semakin kompleks dengan konflik geopolitik, ketidaktentuan ekonomi, dan perubahan sosial.

Sedang Singapura meraikan SG60, Dr Faishal juga menyeru agar badan-badan Melayu/Islam (MMO) dan Muslim India (IMO), pemimpin dan rakyat untuk memperkukuh komitmen bersama bagi membina masyarakat Singapura yang inklusif dan penuh ihsan sempena sambutan SG60.
Related article image
Dr Faishal semasa Majlis Memperingati Hari Kebangsaan MMO. (Gambar: PPIS)

"Saya yakin dengan kekuatan dan ekosistem yang lebih mantap, kita boleh melakarkan program-program dan usaha-usaha yang akan memberi peluang kepada setiap individu untuk memaksimumkan potensi mereka,
tidak kira fasa kehidupan mereka," kongsi Dr Faishal dalam ucapan beliau.

"Dengan kerjasama ini, kita boleh meraikan Hari Kebangsaan kita tahun demi tahun dengan pembangunan dan juga kekuatan tidak kira cabaran-cabaran yang kita akan hadapi," tambahnya.

Dr Faishal juga menekankan bahawa beliau dan pasukannya akan meneruskan kerjasama lebih erat dan mendalam bersama badan-badan itu.

MAJLIS MEMPERINGATI HARI KEBANGSAAN MMO DIADAKAN BUAT PERTAMA KALINYA

Related article image
Seramai 88 peserta termasuk dari 18 MMO memeriahkan lagi acara 'Majulah Together 2025: MMOs Celebrate SG60’. (Gambar: Nazirah Jamzuri)
Ini merupakan kali pertama Majlis Memperingati Hari Kebangsaan oleh MMO diadakan secara bersama.

Seramai 88 peserta termasuk dari 18 MMO memeriahkan lagi acara 'Majulah Together 2025: MMOs Celebrate SG60’..

Ia juga memperbaharui komitmen MMO untuk membina masyarakat lebih inklusif, kukuh dan harmoni di Singapura sempena SG60.

Sebanyak lapan MMO membentuk jawatankuasa penganjur bagi acara tersebut.

Mereka ialah PPIS, DPPMS, PERGAS, PERTAPIS, New Life Stories, Muhammadiyah, AMP dan Casa Raudha.

BUKA RUANG UNTUK KERJASAMA JANGKA PANJANG ANTARA MMO
Related article image
Presiden PPIS, Profesor Madya Razwana Begum. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Acara itu juga membuka ruang untuk kerjasama jangka panjang antara MMO dalam memainkan peranan penting untuk masyarakat dan negara.

"Acara hari ini sangat bermakna kerana ia merupakan kali pertama pelbagai organisasi Melayu/Islam bergabung untuk memperingati Hari Kebangsaan Singapura yang ke-60. Acara hari ini mencerminkan semangat gotong-royong serta komitmen kami untuk menyumbang kepada pembangunan negara," kongsi Presiden PPIS, Profesor Madya Razwana Begum kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Kami memilih untuk bergabung tahun ini sebagai simbol kekuatan dalam perpaduan sempena detik bersejarah SG60. Ini juga peluang untuk kami berkongsi sumber dan kepakaran dan juga menunjukkan kesediaan kami untuk bergerak bersama untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara. Ia juga membuka ruang untuk kerjasama jangka panjang yang lebih strategik dan berkesan," tambah beliau.

Dr Razwana juga berkongsi rancangan MMO untuk menyumbang kepada keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura.

"Kami akan terus memperkuatkan kerjasama merentas kaum dan agama melalui program dialog, khidmat masyarakat dan kepimpinan belia. Kami juga komited untuk memperkasakan keluarga dan golongan remaja serta membina jati diri warga yang inklusif, prihatin dan bersatu. Ini adalah sumbangan kami ke arah masyarakat Singapura yang harmoni dan berdaya tahan," ujar Dr Razwana.

MMO MAIN PERANAN PENTING UNTUK PERKUKUH HUBUNGAN ANTARA MASYARAKAT BERBILANG KAUM & AGAMA

Related article image
Pengerusi AMP, Ustaz Fathurrahman Dawoed (Gambar: Nazirah Jamzuri)
Semangat yang sama turut dirasakan oleh Pengerusi AMP, Ustaz Fathurrahman Dawoed.

"Ia sangat signifikan kerana saya lihat MMO yang ada ini sudah wujud sebelum daripada 60 tahun yang lepas dan ada yang baharu juga - jadi bagaimana kita dapat berkongsi pengalaman masing-masing untuk sama-sama kita mengorak langkah ke hadapan dan itu bagi saya penting untuk kita refleksi pada diri kita, bagaimana kita dapat memperkukuhkan lagi hubungan baik antara badan-badan Melayu/Islam Singapura," kongsi Ustaz Fathurrahman kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

Beliau juga berpendapat bahawa para MMOs boleh memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan hubungan antara masyarakat berbilang agama dan kaum.

"Kita boleh berkolaborasi untuk memberikan kefahaman yang lebih mendalam tentang kepelbagaian agama bangsa di Singapura ini. Yang kedua untuk memupuk nilai-nilai inklusif, bekerjasama dan menghormati antara satu sama lain dan yang ketiga juga, bagaimana kita dapat menyemarakkan lagi aktiviti-aktiviti kemasyarakatan agar kita dapat sama-sama memajukan Singapura bukan sekadar 60 tahun yang lepas tetapi 60 tahun ke hadapan juga," ujar Ustaz Fathurrahman.

"Harapan saya terutama untuk MMO kita ialah bagaimana kita dapat bersama walaupun setiap organisasi mempunyai misi dan visi masing-masing. Kita dapat bersama untuk memperkukuhkan lagi hubungan, membantu masyarakat dan juga pada masa yang sama memberi suara alternatif supaya kita dapat bekerjasama bukan sekadar dalam kalangan masyarakat dan organisasi sahaja, bahkan dengan pemerintah juga," tambahnya.

Para hadirin juga dapat menikmati persembahan lagu-lagu Hari Kebangsaan dan jamuan di samping peluang untuk meluaskan lagi rangkaian kenalan mereka.
Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita