Skip to main content

Singapura

Badan Melayu/Islam boleh mainkan peranan perkukuhkan mobiliti sosial masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam (MMO) boleh memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan mobiliti sosial dalam masyarakat.

Demikian pendapat Pengasas Nusantara Connect, Dr Mohd Shamsuri Juhari dalam pembentangannya di Simposium 'Community-in-Review' 2026 anjuran AMP Singapura dan cabang kajiannya, Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (RIMA), pada Sabtu (23 Mei).

"Badan-badan Melayu/Islam adalah organisasi yang sangat penting kerana mereka lebih rapat kepada masyarakat Melayu/Islam. Mereka lebih dipercayai sebagai orang tengah bagi mereka mendapat informasi dan maklumat tentang sistem sokongan dan cara untuk membantu mereka tapi yang pentingnya badan-badan ini juga harus mempunyai anggota yang ada kepakaran untuk memberi maklumat tersebut," kata Dr Shamsuri.

Beliau mengambil masjid sebagai contoh di mana masjid merupakan institusi yang sangat dipercayai masyarakat, dengan kehadiran golongan asatizah dan pegawai zakat yang memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat.
Related article image
Pengasas Nusantara Connect, Dr Mohd Shamsuri Juhari. (Gambar: Hidir Ezat)
Namun menurut beliau, bantuan yang diberikan selalunya lebih bersifat reaktif, iaitu selepas sesuatu masalah berlaku dan kurang tertumpu kepada usaha pencegahan.

Justeru, beliau berpendapat bahawa badan-badan masyarakat boleh melangkah setapak ke hadapan dengan mempunyai kakitangan yang memiliki kepakaran khusus untuk memberikan bantuan, kaunseling dan nasihat kepada individu yang sedang mencari jalan keluar bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Dalam satu kajian yang diterbitkan RIMA baru-baru ini, kekurangan dari segi mobiliti sosial masih menjadi antara faktor yang menghambat kemajuan masyarakat Melayu/Islam meskipun ada peningkatan dari segi tahap akademik.
FASA AWAL KERJAYA, MUDA PENTING UNTUK KEMBANGKAN MOBILITI SOSIAL

Dr Shamsuri menjelaskan bahawa mobiliti sosial seseorang juga boleh melemah apabila mula memikul tanggungjawab menjaga keluarga atau hadapi tekanan kewangan.

Oleh itu, awal usia dewasa atau di awal kerjaya katanya merupakan fasa penting untuk mengembangkan mobiliti sosial seseorang.

"Pendapatan pekerjaan yang pertama itu memang penting tetapi itu bukanlah faktor yang satu sahaja. Apa yang penting adalah apa yang berlaku selepas belia mendapatkan pekerjaan sebab di situlah kehidupan kita yang betul terjadi," kata Dr Shamsuri.

Di samping itu, ada juga beberapa cabaran besar yang boleh menghambat pembangunan kerjaya seseorang individu.

"Masa kita berkahwin dan membina keluarga, kita mendapat cabaran yang bermacam sebab itulah realiti dunia kita sekarang ini. Cabaran-cabaran seperti ini adalah sesuatu yang paling penting yang akan membentangkan laluan atau di mana kita akan pergi selepas mendapat pekerjaan pertama itu," tambahnya lagi.
Related article image
Mobiliti sosial seseorang boleh melemah apabila mula memikul tanggungjawab menjaga keluarga atau hadapi tekanan kewangan. (Gambar: Hidir Ezat)

KELAYAKAN AKADEMIK MASIH MEMAINKAN PERANAN DALAM MENDAPATKAN KERJA

Dalam pembentangannya, beliau juga menekankan bahawa kelayakan akademik dan profesional masih penting, namun manfaatnya sering dipengaruhi oleh tahap keyakinan diri, stereotaip, pendedahan sosial serta kualiti bimbingan yang diterima.

"Saya tidak boleh nafikan, ini adalah Singapura dan memang betul dalam kajian saya semasa saya berinteraksi dengan pekerja, mereka semua mengaku bahawa kelayakan adalah penting. Seberapa banyak yang mereka boleh katakan pengalaman dan ilmu adalah penting, mereka juga mengaku yang permulaannya bermula daripada kelayakan," kongsi Dr Shamsuri.

Justeru, beliau menasihatkan para pekerja supaya terus meningkatkan kelayakan akademik dan profesional mereka dengan kembali mengikuti kelas atau kuliah bagi mempertingkatkan kemahiran.

Menurut beliau, usaha tersebut bukan sahaja membantu mereka memperoleh kelayakan tambahan, malah dapat diperkukuhkan lagi dengan pengalaman serta kemahiran yang dimiliki sekali gus membuka peluang ke arah prospek pekerjaan yang lebih luas.

FAKTOR SOSIAL JUGA BOLEH MEMPENGARUHI PEMBANGUNAN KERJAYA, DIRI SESEORANG

Acara yang berlangsung selama empat jam di Holiday Inn Singapore Atrium itu turut menampilkan lagi dua tetamu undangan bagi pembentangan tentang tanggungjawab keluarga dan kemajuan kerjaya serta bagaimana jangkaan kerjaya dan pendidikan dipengaruhi jantina seseorang.

Faktor-faktor sosial ini juga dibincangkan sekitar 180 peserta dalam sesi soal jawab.

Tetamu terhormat majlis ini iaitu mantan Presiden Singapura, Halimah Yacob juga menarik perhatian kepada bagaimana faktor sosial tersebut juga memainkan peranan dalam pembangunan diri dan kerjaya seseorang.

Related article image
Acara tersebut berlangsung selama empat jam di Holiday Inn Singapore Atrium pada 23 Mei. (Gambar: Hidir Ezat)
"Di Singapura, kita sering memberi tumpuan kepada faktor-faktor ketara yang menentukan kejayaan kerjaya, seperti pendidikan, pengalaman, serta kemahiran teknikal dan insaniah. Namun, adalah sama penting untuk kita mengiktiraf pengaruh struktur dan faktor sosial yang lebih luas dalam membentuk peluang serta hasil yang dicapai seseorang," kata puan Halimah.

Beliau berkata modal sosial memainkan peranan penting dalam perjalanan kerjaya seseorang.

Individu yang mempunyai keluarga, rakan atau mentor dengan rangkaian profesional lebih mudah mendapatkan peluang, manakala mereka yang kurang hubungan sering bergantung sepenuhnya kepada kelayakan akademik dan usaha sendiri.

Beliau turut menekankan bahawa jangkaan berasaskan jantina masih mempengaruhi pilihan pendidikan dan kerjaya sejak usia muda - dengan lelaki lebih digalakkan menceburi bidang STEM manakala wanita cenderung ke arah bidang kemanusiaan dan penjagaan kesihatan.

Simposium CIR pertama kali diadakan pada tahun 2001 dan menggunakan pendekatan berorientasikan isu dalam membincangkan isu-isu nasional yang memberi kesan kepada masyarakat Melayu/Islam.

Sejauh ini, CIR telah membincangkan pelbagai topik yang berkepentingan kepada masyarakat Melayu/Islam termasuk kepelbagaian sosial, hutang, pendigitalan, kebolehpasaran pekerjaan, warga emas, pendidikan dan belia.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita