Badan Melayu, India Muslim bekerjasama buat kajian, fikirkan cara perhebat sokongan buat bekas pesalah & keluarga
Ia merupakan antara sembilan saranan daripada pecahan tiga projek bagi memikirkan cara-cara untuk memperhebatkan lagi sokongan bagi bekas banduan dan keluarga mereka.
Saranan-saranan Projek 'Next Lap' itu dibentangkan kumpulan-kumpulan di bawah Rangkaian Pemulihan Pertubuhan Melayu Islam (MMORN) dalam sebuah forum di Ibu Pejabat Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) pagi tadi (25 Okt).
Inisiatif yang diterajui bersama oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Pertubuhan Melayu Islam (MMO) telah meneliti cabaran dan jurang dalam sokongan kepada keluarga yang terjejas akibat dipenjarakan, bekas pesalah yang kurang mendapat sokongan sosial serta usaha pencegahan awal dalam kalangan belia.
PERHEBAT SOKONGAN BAGI KELUARGA YANG TERJEJAS
Kumpulan Projek 1 yang diketuai bersama oleh Ketua Pegawai Eksekutif New Life Stories, Saleemah Ismail, mendapati walaupun terdapat pelbagai perkhidmatan komuniti bagi keluarga pesalah, lebih banyak perlu dilakukan untuk menangani keperluan emosi anak-anak serta memberi sokongan kepada keluarga pada saat salah seorang keluarga mereka dipenjarakan.
"Kami lihat bagaimana kita harus dan boleh membantu memberi bantuan kepada keluarga yang terjejas ini dan kami telah ketengahkan 3 cadangan untuk menolong keluarga yang terjejas ini," kata Cik Saleemah.
Lagi satu cadangan yang dikemukakan ialah untuk mewujudkan program “sentuhan pertama” di Singapura, bagi membantu keluarga banduan, membangunkan program berasaskan trauma yang menumpukan pada anak-anak serta membina sistem sokongan bersepadu dalam kalangan MMO bagi meningkatkan penyelarasan dan bantuan susulan kepada keluarga banduan.
PERKUKUH SOKONGAN SOSIAL & KELUARGA
Kumpulan Projek 2 yang diketuai bersama oleh Naib Presiden PERGAS, Ustazah Dr Nur 'Alaniah Wahid telah melakukan tinjauan dan temu bual bersama para pesalah.
Mereka mendapati bahawa ramai antara mereka berdepan dengan stigma masyarakat dan kurang kesedaran tentang sumber bantuan yang tersedia.
"Fokus kami ialah untuk menjalankan kajian berkenaan bagaimana kita dapat memperkukuhkan sokongan terhadap mereka yang berada di dalam penjara, khususnya bagi mereka yang tidak mempunyai sokongan penuh ataupun kuat daripada keluarga mereka," kata Ustazah Siti 'Alaniah.
"Jadi apa yang kami laksanakan ialah kami telah mengadakan temu bual dengan seramai 119 banduan serta mereka yang telah keluar daripada penjara. Jadi ia juga termasuk dalam jagaan dan juga selepas jagaan," tambahnya lagi.
Melalui temu bual itu, kumpulan tersebut mendapati bahawa sebahagian individu mengalami krisis identiti, khususnya berkaitan diri dan agama serta merasakan stigma masyarakat terhadap mereka sebagai satu realiti yang menjejaskan keyakinan diri.
Selain itu, dapatan mereka turut menunjukkan bahawa ada individu yang tidak mengetahui tentang adanya khidmat sokongan yang tersedia.
Kumpulan itu mencadangkan supaya lebih banyak usaha dilakukan untuk menggalak bekas pesalah yang telah berubah menjadi contoh positif melalui program bimbingan dan kumpulan sokongan.
USAHA PENCEGAHAN AWAL DALAM KALANGAN BELIA
Kumpulan Projek 3, yang diketuai oleh Pengarah Eksekutif 4PM, Didicazli Ismail pula mendapati hanya separuh daripada belia Melayu Islam yang ditemu bual, aktif dalam aktiviti positif seperti sukan atau kesukarelawanan.
Ini walaupun kebanyakan mereka mengakui aktiviti sebegitu penting untuk menjauhkan diri daripada pengaruh negatif.
"Kajian ini dijalankan bagi menangani kebimbangan tentang tingkah laku salah dalam kalangan belia di Singapura, khususnya mereka yang berada di peringkat sekolah menengah dan pasca menengah serta belia daripada keluarga yang terjejas akibat pemenjaraan," kata Encik Didicazli.
"Kami mengiktiraf bahawa intervensi awal, pengaruh positif dan penglibatan komuniti merupakan kunci kepada pencegahan dan berharap dapat memperkukuhkan usaha kolaboratif antara MMO, M³ dan agensi sektor dalam menyokong belia berisiko melalui reka bentuk program yang lebih menyeluruh dan bersepadu," tambahnya lagi.
Kumpulan itu turut mencadangkan penubuhan kumpulan berasaskan minat untuk menarik penyertaan belia, khususnya yang berisiko terjebak dengan jenayah.
Lebih banyak lagi akan dipertimbangkan dan ditinjau kumpulan-kumpulan tersebut sebelum memuktamadkan cadangan-cadangan mereka pada tahun hadapan (2026).
Forum MMORN tahun ini merupakan edisi keempat sejak 2022 dan menghimpunkan kira-kira 150 pemimpin komuniti serta wakil daripada pelbagai MMO, termasuk pertubuhan India Muslim, masjid dan rakan komuniti lain yang bekerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam usaha pencegahan dan pemulihan.
Dalam ucapannya, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim melahirkan penghargaannya kepada MMO dalam usaha mereka membantu para bekas pesalah dan keluarga mereka.
Beliau juga mengiktiraf peranan penting MMO dalam usaha pemulihan pesalah dan menyeru agar komuniti terus memperkukuh sokongan jangka panjang kepada bekas pesalah, selain menyokong pelaksanaan inisiatif yang dicadangkan oleh tiga Kumpulan Projek “Next Lap” tersebut.
"Dengan asas yang kukuh bagi kepercayaan dan keyakinan yang dibina dalam beberapa tahun, masyarakat Melayu/Islam dalam kedudukan yang kukuh untuk menangani cabaran-cabaran ini. Memandang ke hadapan, mari kita bekerjasama dengan lebih rapat lagi untuk memperkukuh para individu dan keluarga-keluarga untuk maju dan terajui kehidupan yang bermakna," kata Dr Faishal.
MHA akan bekerjasama rapat dengan kumpulan-kumpulan projek berkenaan untuk memperhalusi cadangan dan meneroka peluang melaksanakan pelbagai inisiatif bersama rakan komuniti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.