Badan berkanun baru bakal ditubuhkan pada April 2019, selia keselamatan makanan; AVA akan dibubarkan
Agensi Makanan Singapura (SFA) akan ditubuhkan pada April tahun depan di bawah Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR)
SINGAPURA: Sebuah badan berkanun yang baru, Agensi Makanan Singapura (SFA) akan ditubuhkan pada April tahun depan di bawah Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) yang bermatlamat untuk menyelia keselamatan makanan. Perkara itu diumumkan hari ini (26 Jul).
SFA akan menyelaraskan fungsi-fungsi berkaitan makanan yang kini ditugaskan kepada tiga agensi lain iaitu Penguasa Agromakanan dan Veterinar Singapura (AVA), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA), menurut MEWR dan Kementerian Pembangunan Negara (MND), dalam satu kenyataan media bersama.
Ditubuhkan sebagai respons kepada cabaran-cabaran yang timbul daripada landskap makanan global dan perubahan iklim, SFA akan menguruskan keselamatan makanan, peraturan-peraturan kebersihan dan menangani isu-isu bekalan makanan.
Selain itu, sebuah Pusat bagi Sains Makanan akan ditubuhkan di bawah SFA, menyatukan keupayaan makmal makanan ketiga-tiga agensi berkenaan. "Menjaga bekalan makanan Singapura semakin mencabar disebabkan kerumitan rangkaian bekalan makanan dunia, termasuk kesan perubahan iklim," kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli dalam kenyataan media itu.
"Kita sudah saksikan kesan perubahan iklim, seperti pertumbuhan plankton akibat air laut yang semakin panas dan kadar hujan yang kian tidak menentu. Penubuhan SFA adalah tepat pada masanya, sedang Singapura merancang untuk merubah cabaran-cabaran makanan kita kepada manfaat-manfaat strategik.
"SFA akan bekerja rapat dengan rakan-rakan kongsi industri dan R&D bagi menghasilkan huraian-huraian dan produk-produk baru serta peluang-peluang global dalam industri makanan," kata Encik Masagos.
"Tindakan ini akan membantu menjadikan bekalan makanan negara bersedia menghadapi masa depan dan menyediakan kerja-kerja yang baik untuk rakyat Singapura dalam industri makanan."
SFA juga merancang untuk memperkemas standard pelesenan bagi perniagaan-perniagaan makanan, termasuk para petani, pengilang makanan, peruncit dan pengendali khidmat makanan.
Encik Lim Kok Thai, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AVA akan secara serentak dilantik sebagai CEO SFA.
Selain itu, di bawah penyusunan semula pemerintah berhubung fungsi-fungsi pengurusan makanan, kesihatan tani dan haiwan, kesemua fungsi-fungsi tidak berkaitan tani dan haiwan AVA akan dialihkan kepada NParks.
Langkah tersebut akan menyediakan satu khidmat sehenti tentang pengurusan haiwan dan isu-isu kebajikan, menguruskan "interaksi antara manusia dengan haiwan" dan mempertingkat pengesanan dan respons terhadap penyakit-penyakit haiwan yang boleh menjangkiti manusia.
Sebuah Jabatan Haiwan dan Veterinar (AVS) juga akan ditubuhkan di bawah NParks dan akan ditugaskan mengambil alih peranan AVA, sebagai pihak respons pertama bagi maklum balas berkaitan haiwan, termasuk menjaga standard kebajikan dan kesihatan haiwan.
AVA yang ditubuhkan pada 2000, akan dibubarkan apabila perubahan tersebut berkuat kuasa pada 1 April 2019.
Penyusunan semula itu akan melibatkan penugasan semula 1,150 kakitangan dari AVA, NEA dan HSA. Sekitar 850 kakitangan ketiga-tiga agensi tersebut akan ditugaskan ke SFA. Lagi 300 kakitangan akan dialihkan dari AVA ke NParks.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.