Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Badan bantu diri berdasarkan kaum tapi tidak terhad kepada kaum tertentu, tegas Menteri MCCY Edwin Tong

Badan-badan bantu diri masih ada tempat dalam masyarakat kerana walaupun ia adalah berdasarkan kaum, kegiatannya tidak terhad kepada kaum-kaum tertentu sahaja. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 03 Sep 2020 07:59PM Dikemas Kini : 03 Sep 2020 08:45PM

SINGAPURA: Badan-badan bantu diri masih ada tempat dalam masyarakat kerana walaupun ia adalah berdasarkan kaum, kegiatannya tidak terhad kepada kaum-kaum tertentu sahaja.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) Edwin Tong berkata demikian di Parlimen hari ini (3 Sep) sebagai respons kepada Anggota Parlimen pembangkang Sylvia Lim yang menggesa agar disatukan kumpulan-kumpulan bantu diri sedia ada.

Menjadi "rakyat yang bersatu tidak kira bangsa, bahasa atau agama", kata Encik Tong, bukan bermakna melepaskan ikatan budaya atau tidak menggalakkan anggota kaum berbeza menyokong satu sama lain.

"Keadaan yang terbaik adalah pada satu hari, kita mahu melihat Singapura yang tidak memerlukan kumpulan bantu diri tetapi itu tidak boleh dilakukan dengan berharap perbezaan akan hilang. Ia hanya boleh terhasil dengan berusaha menanganinya. Mengenai isu-isu kritikal seperti pendidikan, peningkatan ekonomi, selain usaha utama pemerintah, masyarakat dan kumpulan bantu diri dikerahkan, hasil usaha dari bawah dan ini sangat dialu-alukan," ujar Encik Tong.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada saranan Cik Lim tentang konsep masyarakat yang tidak mengira kaum.

Encik Tong menambah beliau berkongsi aspirasi yang sama iaitu mengiktiraf kaum-kaum yang ada tetapi juga memanfaatkan kekuatan kepelbagaian.

Beliau berkata bahawa perpaduan kaum di sini adalah satu kemajuan semula jadi sambil merujuk kepada dasar-dasar seperti Dasar Penyepaduan Kaum HDB.

Dasar itu bertujuan menggalak penyepaduan kaum dengan adanya kouta untuk anggota kaum yang berbeza tinggal di perumahan awam.

Namun begitu, Encik Tong berkata perbincangan perlu diadakan demi menggalakkan setiap kaum berkongsi identiti Singapura.

Golongan belia, kata beliau, perlu ada suara dalam isu-isu kaum dan inklusif bukan saja dalam kalangan mereka bahkan juga antara generasi yang lain.

Encik Tong menambah bahawa sukan, kesenian, kebudayaan dan warisan yang dikongsi bersama adalah cara-cara untuk menghubungkan serta membantu rakyat memahami kedudukan mereka dalam masyarakat - sesuatu yang dirancangkan MCCY. 

Sumber : CNA/RU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan