Badan-badan Melayu/Islam tingkat usaha celik AI dalam kalangan masyarakat: Saktiandi Supaat
Semasa perbahasan di parlimen berkenaan sokongan untuk golongan pekerja mendakapi kecerdasan buatan (AI) pada Rabu (6 Mei), Anggota Parlimen (AP) Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Bishan Toa Payoh, Saktiandi Supaat berkongsi bahawa pendekatan yang diambil perlu bersifat inklusif.
Anggota Parlimen Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Bishan Toa Payoh, Saktiandi Supaat, menekankan keperluan pendekatan yang inklusif dalam membantu masyarakat mendakap kecerdasan buatan (AI). (Gambar: Mediacorp)
Ini bagi membolehkan AI menjadi pemangkin mobiliti sosial dengan memastikan akses dan peluang dikongsi secara meluas.
"Latihan perlu mudah diakses, relevan dan praktikal supaya setiap individu mempunyai peluang untuk menyesuaikan diri dan maju bersama perubahan ini.
"Akhirnya, kejayaan ekonomi bukan diukur pada teknologi semata-mata, tetapi sejauh mana kita memastikan setiap rakyat dapat maju bersama dengan keyakinan dan harapan," kata Encik Saktiandi.
BADAN-BADAN MELAYU ISLAM TINGKAT USAHA CELIK AI
Beliau, yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Daya Ekonomi, turut berkongsi bahawa badan-badan Melayu/Islam sudah berusaha untuk meningkatkan usaha celik AI dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, Encik Saktiandi berkata jawatankuasa tersebut akan mengenal pasti sektor-sektor dan peluang pertumbuhan baharu serta memahami bagaimana untuk menggalak penyertaan lebih meluas dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.
MENDAKI misalnya menganjurkan bengkel 'AI Ready' sebagai program peningkatan kemahiran untuk para individu menggunakan AI dalam pekerjaan dan kehidupan mereka.
Encik Saktiandi turut berkongsi usaha-usaha yang dijalankan pelbagai pihak dalam membantu masyarakat mendakapi AI.
"Di MUIS dan masjid-masjid, program celik AI membantu masyarakat memahami penggunaan teknologi secara bertanggungjawab. Inisiatif IftaSG menggunakan AI untuk penyelidikan fatwa.
"Program-program yang menggalakkan integrasi AI yang berhemah juga telah disediakan untuk para asatizah bagi menghasilkan pengalaman pembelajaran Islam yang lebih berkesan dan bermakna," kata Encik Saktiandi.
Beliau juga turut menarik perhatian kepada latihan AI yang dijalankan PERGAS bagi melengkapkan para asatizah dengan kemahiran digital menerusi program-program yang ditujukan bagi mereka seperti Cabaran Pemacu AI atau 'AI Accelerator Challenge' dan AI untuk usahawan asatizah.
Encik Saktiandi juga menyorot usaha yang sedang dijalankan oleh AMP dengan berkata: "Di AMP, golongan pekerja profesional, program 'Learning Circles All About Gen AI' yang akan diadakan pada bulan ini akan meneroka bagaimana AI Generatif sedang membentuk semula cara kita bekerja dan bagaimana para profesional boleh mula menggunakannya secara bermakna dalam peranan harian mereka."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.