Badan-badan Melayu/Islam (MMO) sanjung sumbangan & hargai kepimpinan PM Lee
SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong disifatkan sebagai seorang pemimpin yang banyak menyokong usaha-usaha badan-badan Melayu/Islam (MMO) sepanjang beliau memegang jawatan tersebut.
Beberapa pemimpin MMO menghargai pendekatan kepimpinan PM Lee yang lebih bersifat terbuka dan kolaboratif serta penuh dedikasi.
Di bawah kepimpinannya, pelbagai usaha MMO seperti Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) misalnya mendapat sokongan padu beliau.
Setiausaha dan kaunselor perintis RRG, Ustaz Dr Mohamed Feisal berkongsi bagaimana beliau melihat PM Lee mempercayai dan menyokong usaha pemulihan kumpulan itu.
"Keupayaan pemulihan kaunseling keagamaan ini dapat dilakukan oleh RRG adalah kerana PM Lee dan pemerintah percayai pendekatan ini di mana para asatizah dapat bekerjasama dengan pemerintah, para ahli psikologi dan juga masyarakat. Pada mulanya untuk mendekati tahanan Jemaah Islamiyah (JI) dan kemudiannya ke tahanan yang lain. Kita melihat hasil pemulihan ini di mana ramai yang sudah kembali kepada keluarga. Itu juga signifikan besar di dalam tampuk kepimpinan beliau di mana usaha RRG ini dapat diadakan," kata Ustaz Dr Feisal.
Di bawah kepimpinan PM Lee, Ustaz Feisal juga berpendapat bahawa Singapura berjaya untuk "membina jambatan untuk mendekati kepimpinan RRG dengan asatizah dan masyarakat yang berkecimpung dalam pemulihan".
Dengan sokongan jitu sedemikian, program pemulihan RRG di sebuah negara yang sekular dan berbilang kaum untuk membanteras ekstremisme itu kini kata Ustaz Dr Feisal sudah diiktiraf di peringkat global.
Beliau juga melihat bagaimana PM Lee banyak menyanjungi usaha-usaha relawan RRG dalam menjalankan kerja-kerja pemulihan mereka.
"Contohnya pada 2022, beliau juga semasa Rapat Hari Kebangsaan menunjukkan kepada rakyat Singapura tentang peranan yang dijalankan Almarhum Haji Ali Haji Mohamed dan Ustaz Hasbi Hassan dan beliau mengiktiraf peranan para asatizah. Ini signifikan kerana beliau mengiktiraf peranan asatizah dalam membantu keamanan negara," jelas beliau.
"Asatizah ini memberi masa dalam kesibukan harian mereka. Untuk menjalankan tugas ini, kalau tidak ada kefahaman dari pihak pemerintah yang ditunjukkan oleh PM Lee menerusi ucapan-ucapan beliau misalnya, itu bagi kita menyentuh hati peranan beliau memahami kerja harian kami sebagai sukarelawan. Itu menunjukkan pemerintah memahami beratnya perjalanan satu kumpulan yang menjalankan usaha untuk mencapai kedamaian untuk masyarakat apatah lagi untuk memahami agama Islam yang disalah fahamkan," tambah Ustaz Dr Feisal.
Menurutnya, sokongan PM Lee terhadap usaha-usaha RRG menjangkaui lebih daripada sekadar program-programnya sahaja.
Ustaz Dr Feisal juga teringat bagaimana PM Lee menyantuni pengasas bersama badan tersebut, Almarhum Haji Ali Haji Mohamed.
"Almarhum kurang lebih 2 tahun lalu bertambah sakit tetapi PM Lee mengambil peluang untuk menziarahi beliau di rumah. Itu menunjukkan keperibadian beliau dan kita mengenali beliau dengan lebih dekat," kata Ustaz Dr Feisal.
HARAP PERALIHAN KEPIMPINAN YANG LANCAR
Dalam pada itu, badan AMP juga menyanjung budi dan sokongan PM Lee kepada usaha-usaha badan tersebut.
Pengerusi AMP Singapura, Fathurrahman Dawoed berkata: "Kepimpinan PM Lee sejak dua dekad yang lalu adalah kepimpinan yang terbuka dan kolaboratif, sesuatu yang amat kami hargai. Kebijaksanaan beliau yang tidak ternilai dan penglibatan jujur beliau dengan kami memberikan pandangan yang berharga, membolehkan kami berkhidmat dengan lebih baik kepada masyarakat Islam dan Singapura pada umumnya."
Pemikiran dan pandangan yang dikongsikan beliau juga kata Encik Fathurrahman membolehkan AMP berkhidmat dengan lebih baik lagi buat masyarakat.
"Semasa kepimpinannya, kami juga telah menyaksikan kemajuan dalam dasar yang ketara dalam masyarakat kita termasuk membenarkan barisan hadapan memakai tudung. Kepimpinan beliau telah memupuk perpaduan, kemakmuran, dan perpaduan sosial, meninggalkan kesan yang tidak dapat dilupakan dalam perjalanan negara kita," ujar Encik Fathurrahman.
Presiden Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura, Encik Abdul Halim Kader juga melahirkan penghargaan beliau terhadap sumbangan dan kepimpinan PM Lee dalam satu kenyataan media.
"Kami juga merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong selama dua puluh tahun perkhidmatan penuh dedikasi beliau. Kepimpinan beliau telah secara signifikan membentuk Singapura menjadi sebuah negara yang disegani di peringkat global, meletakkan asas yang kukuh untuk generasi akan datang," kata Encik Halim.
JANGKAKAN PEMERINTAH YANG STABIL DI BAWAH KEPIMPINAN ENCIK WONG
Dengan bakal Perdana Menteri Lawrence Wong akan mengambil alih pucuk kepimpinan pada 15 Mei nanti, Encik Halim menganggap peralihan tersebut berlaku pada masa yang baik dan mencerminkan kepercayaan PM Lee terhadap keupayaan pasukan kepimpinan 4G.
"Kepimpinan DPM Wong semasa pandemik COVID-19 sebagai pengerusi bersama pasukan berbilang kementerian memperkukuh tahap kesediaan beliau untuk peranan baharu ini. Beliau menunjukkan keupayaan beliau untuk menangani krisis dan berkomunikasi secara efektif. Kepimpinan beliau semasa pandemik COVID-19 dan penglibatannya dalam gerakan Melakar Hala Tuju Singapura penting dalam meraih keyakinan rakyat Singapura," ujar Encik Halim dalam kenyataan media tersebut.
Peralihan kepimpinan ini katanya dianggap sebagai penting dalam menangani cabaran-cabaran semasa dan memimpin negara ke arah masa depan yang cerah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.