Badan-badan Melayu/Islam alu-alu Tunas Bersama M³ tapi masih ada keraguan...
Para pemimpin badan Melayu/Islam umumnya sambut baik inisiatif terbaru 'Tunas Bersama M³' yang dibentangkan Menteri Masagos untuk memupuk pemimpin pelapis. Namun, ada juga pemimpin MMO yang berasa ia tidak harus membawa kepada "siapa yang akan duduk dalam jawatan-jawatan tinggi" dalam MMO.
SINGAPURA: Badan-badan Melayu/Islam (MMO) secara umumnya mengalu-alukan gagasan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, mahu memperkukuh lagi usaha memupuk kepimpinan lapisan muda dalam masyarakat Melayu. Namun begitu, ada juga yang melahirkan keraguan mereka tentang pelaksanaan dan keberkesanan program itu nanti.
Semasa Majlis Perjumpaan Hari Raya tahunan anjuran beliau kelmarin (21 Mei), Encik Masagos mendedahkan satu program baru dinamakan 'Tunas Bersama M³'.
Ia bertujuan menghimpunkan para pemimpin muda di bawah 45 tahun yang menyandang jawatan tinggi dalam badan-badan Melayu/Islam (MMO).
Mereka antara lain akan dilatih dalam bidang urus tadbir dan kepimpinan, didedahkan kepada para pemimpin pemerintah yang akan berkongsi tentang aspek dasar negara serta diharap mengusulkan projek untuk dilaksanakan di bandar-bandar M³.
SAMBUTAN MENGGALAKKAN BAGI INISIATIF TUNAS BERSAMA M³
Pemimpin veteran Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Izzuddin Taherally antara yang menyambut baik idea Encik Masagos itu.
Beliau kini sudah lebih 30 tahun menjadi Presiden 4PM, iaitu presiden paling lama berkhidmat dalam badan itu.
"Saya rasa ia sesuatu yang sangat-sangat diperlukan oleh masyarakat kita kerana saya rasa memberikan peluang kepada para pemimpin muda, memberikan skop yang meluas untuk mereka mempelajari selok belok menjadi pemimpin berkaliber dan sesuai untuk masyarakat kita pada masa akan datang. Jadi saya rasa usaha ini adalah sesuatu yang baik," kata Encik Izzuddin yang berusia 67 tahun, kepada BERITAmediacorp.
Encik Izzuddin percaya bahawa program baru itu akan dapat memberikan latihan tertentu kepada para pemimpin muda demi "mencapai lebih tinggi lagi dari segi memimpin bukan sahaja masyarakat tetapi negara pada masa akan datang."
PRESIDEN PPIS ANTARA YANG LAYAK JADI PESERTA
Antara pemimpin MMO yang layak menjadi peserta program Tunas Bersama M³ itu termasuklah Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim, 36 tahun.
Lantaran itu beliau begitu mengalu-alukan program pemupukan kepimpinan itu kerana "penting untuk kita memupuk generasi lapisan demi masa depan kita".
"Sebagai di antara ‘target audience’ (khalayak sasaran) saya pastinya positif dan ingin memahami lebih lanjut tentang program ini," ujar Cik Hazlina.
Ditanya apa yang beliau inginkan daripada program Tunas Bersama M³ itu, Cik Hazlina berharap ia dapat menggilap bakat-bakat muda yang berpotensi dan melengkapkan mereka dengan kemahiran perancangan strategi secara sistematik dan berstruktur.
"Apabila (pemimpin muda) bersama-sama menyertai program seperti ini, lebih ramai yang dapat mengenali antara satu sama lain dan juga pada masa yang sama dapat meningkatkan modal sosial.
"Pokoknya, penyertaan dalam rancangan seperti ini dapat mendatangkan kepelbagaian dan meluaskan pandangan dan ternyata lebih inklusif. Menerusi jaringan seperti ini, akan tercetusnya idea-idea bersama, bagaimana kita dapat bekerjasama," ujar Cik Hazlina kepada BERITAmediacorp dalam wawancara menerusi Zoom.
Pendeknya beliau mahu program tersebut berupaya meningkatkan keyakinan lebih ramai belia dan generasi muda dalam soal kepimpinan demi menghasilkan masyarakat yang lebih kukuh pada masa depan.
PERTIMBANGAN LAIN TERHADAP TUNAS BERSAMA M³
Belum ada butiran lanjut mengenai program itu yang akan dilaksanakan di bawah Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) di bawah kelolaan Yayasan MENDAKI. Yang pasti menurut pihak Menteri Masagos, ia "bertujuan memupuk para pemimpin MMO generasi selanjutnya".
Bagi MMO seperti Pertapis pula, ia akur memang "elok" untuk menghantar golongan pelapis dan pemimpin muda meningkatkan kemahiran dan pengalaman mereka.
Namun Presiden Pertapis, Encik Hussaini Abdullah secara terus terang berkata bahawa ada pertimbangan-pertimbangan lain yang turut menjadi kebimbangannya.
"Kalau untuk setakat untuk mencari pelapis dan berjuang bersama M³, saya tidak tahu sejauh mana badan-badan lain dapat memberi sokongan dan galakan sebab badan-badan masing-masing mempunyai tuntutan sendiri dan objektif dan kemahuan sendiri.
"Tetapi kalau hendak memilih mereka yang menentukan siapa yang akan duduk dalam jawatan-jawatan tinggi, saya rasa banyak yang tidak akan setuju sebab objektif badan-badan masing-masing berlainan dan mereka mahu orang yang mempunyai daya tenaga dan pemikiran sendiri untuk memajukan badan itu," kongsi beliau tanpa berselindung.
Dalam pada itu, Encik Hussaini juga percaya bahawa program itu tidak harus 'mengikat'.
"Saya rasa mereka tidak boleh, dengan setiap dana mesti ada ikatannya. Kita tidak mahu terikat dengan ikatan sedemikian. Adakan dana untuk menyokong kami dan meningkatkan kewibawaan persatuan kita, itu elok agar kita lebih majmuk dan maju ke hadapan," kata Encik Hussaini.
Sungguhpun demikian kata pemimpin veteran itu, satu lagi kebaikan program kepimpinan itu adalah ia berkemungkinan menjadi suatu wadah untuk turut mencungkil bakat-bakat berkebolehan menjadi Anggota Parlimen.
Sejauh ini belum lagi jelas tentang garis waktu bila Tunas Bersama M³ akan mula dilaksanakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.