Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Badan-badan amal kurang sukarelawan sedang penerima bantuan bertambah

Sesetengah badan amal menyaksikan jumlah sukarelawan semakin berkurangan, lebih-lebih lagi dengan sekatan-sekatan COVID-19. Ini, sedang jumlah penerima bantuan terus meningkat.

Anggaran Waktu Membaca:
Badan-badan amal kurang sukarelawan sedang penerima bantuan bertambah

Bilangan sukarelawan badan amal East Youths merosot 70 peratus angkara COVID-19. (Gambar: East Youths)

Diterbitkan : 02 Jul 2021 09:56AM Dikemas Kini : 02 Jul 2021 10:03AM

SINGAPURA: Sesetengah badan amal menyaksikan jumlah sukarelawan semakin berkurangan, lebih-lebih lagi dengan sekatan-sekatan COVID-19. Ini, sedang jumlah penerima bantuan terus meningkat.

Badan-badan amal yang dihubungi Mediacorp menyatakan pasukan-pasukan sukarelawan mereka mengecil setiap kali langkah-langkah baru kesihatan awam bagi menangani pandemik diperkenalkan.

Bagi East Youths, iaitu sebuah pertubuhan yang berkhidmat untuk warga tua dan belia memerlukan, tempoh langkah pemutus rantaian jangkitan pada tahun lalu menyebabkan jumlah sukarelawannya menjunam 70 peratus - bilangan yang sehingga hari ini masih belum kembali seperti sediakala.

Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) yang dilaksanakan bulan lalu juga tidak membantu. "Setiap kali terdapat sebarang penutupan, pendaftaran baru akan sentiasa kurang," luah Pengarah Pemasaran East Youths Jishna Bole.

Malah, bilangan berkurangan itu bak kitaran kejam, tambah beliau.

"Para sukarelawan kami berdepan tekanan yang agak tinggi kerana mereka sangat diperlukan.

"Beban kerja yang berat dipikul mereka sehingga kebanyakannya tidak dapat menghadiri kegiatan-kegiatan sukarela kami yang lain pada masa akan datang, menyebabkan jumlah mereka berkurangan di tengah-tengah situasi COVID-19," kata Cik Jishna.

Meals-on-Wheels menghantar sekitar 700 makanan kepada penduduk warga tua dua kali sehari. (Gambar: TOUCH Community Services)

Meals-on-Wheels, iaitu satu inisiatif di bawah Khidmat Masyarakat TOUCH, juga berdepan isu yang sama. Di bawah inisiatif itu, para sukarelawan menghantar sekitar 700 makanan kepada para penduduk warga tua dua kali sehari, tujuh hari seminggu.

Selepas Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) bermula, jumlah sukarelawannya merosot 20 peratus, dedah Encik Victor Poh yang mengetuai pengurusan sukarelawan di agensi khidmat sosial itu.

Dengan jumlah sukarelawan berkurangan, ia juga mungkin bermakna penghantaran makanan sampai lewat ke rumah-rumah warga tua itu, kata beliau.

Ini satu cabaran, terutama sekali sedang inisiatif itu berkhidmat kepada lebih banyak penerima.

Misalnya, terdapat peningkatan 10 peratus penerima - dari 297 hingga 330 - dalam kalangan penduduk di kawasan barat dan lebih ramai sukarelawan diperlukan di sana," tambah Encik Poh.

LEBIH RAMAI SUKARELAWAN TETAP DIPERLUKAN

Badan-badan amal lain pula menyatakan jumlah sukarelawan sambilan mencukupi tetapi mereka memerlukan lebih ramai sukarelawan tetap.

Lions Befrienders, sebuah agensi khidmat sosial yang membantu warga tua, menyatakan ia "sangat kekurangan" sukarelawan yang boleh menghulurkan bantuan sekurang-kurangnya dua kali seminggu sepanjang tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.

"Kami memerlukan sukarelawan sedemikian kerana warga tua yang kami bantu adalah golongan yang ditinggalkan, terabai dan/atau terasing.

"Ia lebih sukar untuk meraih semula kepercayaan mereka dan menjalin hubungan baru seperti memperkenalkan diri dan segera mesra dengan para sukarelawan," kata pengerusi Lions Befrienders Anthony Tay.

Lion Befrienders juga memerlukan sukarelawan pelapis baru, kata Encik Tay. (Gambar: Lions Befrienders)

Malah langkah Kementerian Kesihatan (MOH) untuk memulakan khidmat-khidmat garis dasar baru di pusat-pusat jagaan warga tua di merata negara baru-baru ini menyebabkan lebih ramai warga tua kini di bawah jagaan Lions Befrienders.

Ia kini menjaga sekitar 17,000 warga tua, naik berbanding 7,600 sebelum ini, kata Encik Tay.

DI MANA PARA SUKARELAWAN?

Badan-badan amal itu berharap jumlah sukarelawan akan bertambah tidak lama lagi, terutama sekali selepas sebahagian sekatan COVID-19 dilonggarkan di bawah Fasa 3 (Kewaspadaan Dipertingkat)

Cik Jishna dari East Youths berkata pasukannya sedang mempergiatkan usaha-usaha pemasaran di pelbagai platform dengan harapan ia dapat menarik golongan sukarelawan baru.

Misalnya, selain menggunakan Instagram untuk mendampingi para pelajar, mereka juga memanfaatkan platform rangkaian karyawan LinkedIn untuk meluaskan sasaran kepada para pekerja dewasa dalam lingkungan usia 20 hingga 30 tahun.

Bagi Khidmat Masyarakat TOUCH, Encik Poh berkata buat masa ini "kekurangan mendadak" itu akan diimbangi kakitangan mereka sendiri, sambil menzahirkan penghargaan kepada para sukarelawan yang kini lebih kerap membantu.

Encik Tay dari Lions Befrienders pula berkata mereka merancang untuk meningkatkan jumlah pendaftaran dan mengekalkan para sukarelawan menerusi "lebih banyak pendampingan, terus mengambil sukarelawan baru dan menghargai usaha para sukarelawan dengan lebih baik lagi".

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan