Skip to main content

Singapura

Badan amal SG gesa tingkatkan sumbangan makanan berkhasiat bagi warga emas

Anggaran Waktu Membaca:
Badan amal SG gesa tingkatkan sumbangan makanan berkhasiat bagi warga emas

Kakitangan badan amal menyusun semula makanan yang disumbangkan. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 20 Oct 2025 03:17PM Dikemas Kini : 20 Oct 2025 03:25PM
SINGAPURA: Makanan ruji yang tidak mudah rosak seperti beras dan makanan dalam tin kekal sebagai barangan makanan yang paling kerap didermakan di Singapura kerana ia mudah disimpan, diangkut dan diagihkan.

Pertubuhan tidak meraih untung menyatakan bahawa walaupun sumbangan itu praktikal, ia sering kekurangan zat penting - terutamanya yang terdapat dalam buah-buahan dan sayur-sayuran segar.

Banyak barangan yang didermakan mengandungi kandungan sodium dan gula yang tinggi, tetapi rendah protein dan serat.

Jurang pemakanan itu menjadi semakin membimbangkan kerana bilangan warga emas yang bergantung pada sumbangan makanan terus meningkat.

Warga emas yang bergantung pada bantuan makanan memberitahu Mediacorp bahawa mereka biasanya perlu mendapatkan hasil segar sendiri di kedai runcit.

USAHA UNTUK MENINGKATKAN PEMAKANAN

Food Rescue Sengkang adalah antara pertubuhan masyarakat yang berusaha untuk menangani kekurangan zat makanan itu dengan memberi tumpuan kepada pengagihan semula hasil segar.

"Kami perhatikan bahawa badan amal lain cenderung untuk hanya memberi makanan kering.

"Kita memerlukan buah-buahan dan sayur-sayuran untuk mendapatkan keseimbangan," kata pengasas kumpulan itu Derek Ong.

"(Penerima bantuan) tidak boleh bergantung kepada makanan kering selamanya. Kami perhatikan orang ramai tidak mengamalkan diet yang seimbang ... itulah sebabnya kami mengisi jurang ini."

Inisiatif akar umbi itu bertujuan untuk mengurangkan pembaziran makanan dengan mengumpul lebihan makanan, makanan yang tidak terjual atau ditolak dari perniagaan dan mengagihkannya semula kepada badan amal dan kumpulan masyarakat.

Seringkali barangan seperti ini ditolak oleh restoran atau pasar raya kerana tidak kelihatan elok atau menghampiri tarikh "baik sebelum", walaupun ia masih selamat untuk dimakan.

Tahun lalu, pertubuhan itu 'selamatkan' sekitar 956 tan makanan, di mana 520 tan - lebih separuh - adalah buah-buahan dan sayur-sayuran segar.

Selebihnya termasuk roti, buah-buahan beku dan makanan tidak mudah rosak seperti mi dan oat.

Pertubuhan tidak raih untung itu mengumpul dan mengagihkan semula makanan yang disumbangkan kepada isi rumah, dengan tujuan untuk mengurangkan pembaziran dan mengukuhkan keselamatan makanan.

Tahun lalu, ia mengagihkan semula 612 tan makanan.

Singapura menghasilkan sekitar 750,000 tan sisa makanan setiap tahun, membentuk kira-kira 11 peratus daripada jumlah sisa negara.

Encik Chin berkata menangani pembaziran makanan bukan sahaja memerlukan logistik dan rangkaian pengagihan lebih baik, tetapi juga perubahan dalam pemikiran orang ramai.

"Realitinya adalah kita perlu mengubah pemikiran generasi rakyat Singapura akan datang terhadap pembaziran makanan," katanya kepada CNA938.

"Kami memastikan bahawa kami berusaha secara perlahan-lahan untuk mengurangkan jumlah makanan di tapak pelupusan sampah, supaya setiap orang mendapat akses kepada makanan berkhasiat."

CABARAN YANG DIHADAPI

Satu lagi cabaran adalah dalam mengendalikan dan mengasingkan hasil yang disumbangkan.

Lions Befrienders, yang menyediakan penjagaan dan sokongan kepada warga emas, menyatakan ia boleh menjadi sukar untuk mengagihkan semula sumbangan makanan segar dengan pantas sebelum ia rosak.

"Persoalannya ialah, berapa cepat kita boleh mengedarkan sebaik sahaja ia tiba?" kata Cik Karen Wee, pengarah eksekutif badan amal tersebut.

"Masalahnya datang dengan tenaga kerja manual dalam mengasingkan apa yang masih boleh dimakan dan apa yang tidak lagi boleh dimakan. Banyak masa dihabiskan untuk mengasingkan sayur-sayuran."

Beliau menambah bahawa nilai pemakanan (nutritional value) yang disumbangkan adalah sangat penting, memandangkan lebih ramai warga emas yang memerlukan bantuan.

Lions Befrienders menyaksikan bahawa warga emas yang bergantung pada meningkat 15 peratus berbanding tahun lalu.

Ramai yang tinggal sendirian, menghadapi cabaran mobiliti atau mempunyai masalah kewangan.

Untuk menjadikan bantuan makanan lebih mudah diakses, badan amal tersebut baru-baru ini memperkenalkan Our Treasure Box, sistem loker pintar yang membolehkan warga emas mengambil bekalan makanan atau pek penjagaan pada bila-bila masa.

Inisiatif ini juga menggalak warga emas untuk bertanggungjawab atas kesihatan mereka.

Dengan memantau petunjuk seperti indeks jisim badan (BMI), mereka boleh memperoleh mata yang boleh ditebus untuk barangan penting dan ganjaran.

Pertubuhan tersebut menyatakan ini menggalakkan pemeriksaan kesihatan yang kerap dan mendorong pendekatan proaktif terhadap kesejahteraan.

"(Warga emas) dapat membuat pilihan yang bijak kerana sekarang kami meletakkan pilihan sihat, dan lebih sihat, di dalam (pek). Dengan itu, kami juga cuba mendidik orang ramai bahawa ini adalah arah yang perlu dituju," tambah Cik Wee.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita