Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Badan amal Melayu/Islam ini agih beg habuan kepada 160 keluarga Cina sempena CNY

Dalam satu paparan semangat berbilang kaum yang teguh sempena Tahun Baru Cina, badan amal Melayu/Islam - Project GoodWill Aid (PGA) - menyingsing lengan dan turun padang membantu sekitar 160 keluarga Cina kurang bernasib baik hari ini (1 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dalam satu paparan semangat berbilang kaum yang teguh sempena Tahun Baru Cina, badan amal Melayu/Islam - Project GoodWill Aid (PGA) - menyingsing lengan dan turun padang membantu sekitar 160 keluarga Cina kurang bernasib baik hari ini (1 Feb).

Inisiatif itu meliputi kawasan-kawasan flat sewa di Boon Lay, Bukit Batok, Woodlands dan Ang Mo Kio.


12 sukarelawan PGA memulakan kerja amal mereka itu seawal 9.00 pagi tadi, dengan menyiapkan beg-beg habuan.

Ia bertujuan memberi sedikit keceriaan kepada keluarga-keluarga berkenaan termasuk golongan warga emas sebatang kara.


Setiap beg yang padat berisi kuih muih seperti kuih tat dan kuih gulung, air minuman kotak dan manisan. Ia dapat diadakan hasil sumbangan dari masyarakat dan terkumpul sejak beberapa hari lalu.

PGA malah masih menerima sumbangan orang ramai pada saat-saat akhir, menurut badan itu.

Pengasas Project GoodWill Aid, Cik Siti Nurani Salim

"Tahun ini terus terang bukan senang tetapi pada saat-saat akhir macam semalam malam (31 Jan), kami menerima panggilan daripada satu korporasi yang akan menaja barang-barang tersebut dan 50 paket hong bao’," kata pengasas PGA, Cik Siti Nurani Salim kepada BERITAmediacorp.

COVID-19 BUKAN PENGHALANG LAKUKAN USAHA MURNI

Ini kali kesembilan badan sukarelawan itumenganjurkan agihan Tahun Baru Cina seperti ini sejak ia ditubuhkan pada 2011.

Apabila COVID-19 melanda, ia sememangnya memberi sedikit hambatan kepada operasi pengagihan bantuan habuan, akui Cik Siti.

Tahun lalu pasukannya tidak dapat berjumpa secara langsung dengan keluarga-keluarga penerima kerana batasan-batasan jarak selamat yang dikuatkuasakan pemerintah.

Bagaimanapun kali ini, keadaan bertambah baik.

"Tahun lepas kami cuma dapat menggantungkan barang-barang yang kami dapat seperti kuih dan buah oren kerana kami tahu sekatan untuk tahun lalu. Jadi tahun ini kami amat berbangga dan berbesar hati dapat berjumpa mereka, berbual bertanya khabar dan memberi terus makanan dan kuih-kuih tersebut," kongsi Cik Siti.


Para penerima bantuan PGA itu terdiri daripada golongan yang dirujuk melalui Pejabat Khidmat Sosial (SSO) dan ada juga yang memohon terus kepada bada sukarela itu.

PENDUDUK SYUKUR TERIMA BANTUAN

Menurut PGA, 160 keluarga yang dapat dibantunya bagi projek Tahun Baru Cina tahun ini berkurang jika dibandingkan dengan 250 keluarga tahun lalu.

Namun ini dapat dilihat dari sudut positif kerana ada badan-badan lain yang turut tampil memberi bantuan.

Yang pasti, kunjungan para sukarelawan yang prihatin itu membawa sinar kemanusiaan dan kuntuman senyum di bibir para penerima bantuan.

Penerima Bantuan, Cik Florence Lee

Antaranya ialah Cik Florence Lee, 64 tahun yang tinggal bersama anak perempuannya di sebuat flat sewa dua bilik di Ang Mo Kio.

"Kami sangat gembira kerana menerima ini. Terima kasih banyak-banyak kerana prihatinkan kami," kata Cik Lee.

Meskipun perayaan Tahun Baru Cina sekali lagi disambut di tengah-tengah COVID-19, 'sambut tetap sambut', ujar Cik Lee.

"Saya tetap menyambutnya... Saya harap virus ini akan cepat berlalu dan kita dapat meraikannya dengan lebih meriah," luahnya penuh harapan.

Penerima Bantuan, Cik Lim Ah Buoy menerima habuan makanan dan 'ang pow' daripada Cik Siti Nurani Salim

Turut berkongsi rasa syukur adalah jirannya, Cik Lim Ah Buoy, 65 tahun.

Bercakap dalam bahasa Mandarin kepada BERITAmediacorp, wanita itu yang tinggal bersama adik lelakinya yang berkerusi roda berkata: "Terima kasih kerana beri saya barangan ini dan juga 'ang pow'."


Sebagai sebuah badan amal, PGA menetapkan misi untuk mendekati golongan yang "dalam diam-diam memerlukan di balik pintu".

Para sukarelawannya antara lain menjalankan usaha mengetuk dari pintu ke pintu di kawasan rumah sewa untuk membantu golongan memerlukan.


Selain mengedarkan barangan runcit dan susu tepung bayi kepada keluarga berpendapatan rendah dan warga tua sebatang kara, mereka juga memberikan barangan pakai buang lain seperti lampin kanak-kanak dan orang dewasa.

PGA turut melaksanakan projek pembersihan rumah, di mana mereka mengecat dan membaik pulih rumah dipenuhi tikus dan pijat bagi keluarga-keluarga sasaran.

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan