Badan amal dapat tokokan, padanan derma dilanjutkan
Badan-badan amal dari merata sektor akan menerima tokokan dan sokongan lanjutan di bawah Belanjawan 2022.
(Gambar: East Youths)
SINGAPURA: Badan-badan amal dari merata sektor akan menerima tokokan dan sokongan lanjutan di bawah Belanjawan 2022.
Demikian diumumkan Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Jumaat (18 Feb).
Berucap semasa membentangkan kenyataan Belanjawan di Parlimen, beliau menarik perhatian bahawa sepanjang pandemik COVID-19, terdapat curahan semangat dermawan, baik hati dan sokongan daripada rakyat Singapura.
Jumlah sumbangan yang diterima menerusi wadah derma online Giving.sg naik tiga kali ganda kepada sekitar S$100 juta tahun lalu, katanya.
"Masyarakat memainkan peranan penting dalam membangunkan tempat tinggal yang penyayang dan inklusif," katanya.
"Saya akan meneruskan momentum ini untuk mengukuhkan budaya dermawan dalam masyarakat kita."
Dalam usaha memberi lebih banyak sokongan kepada sektor badan amal dan menggalakkan sifat dermawan, Pemerintah akan memberi tokokan S$100 juta dan melanjutkan sokongannya bagi Program Mengumpul Dana yang Dipertingkat Lembaga Tote selama tiga tahun sehingga akhir tahun kewangan 2024, kata Encik Wong.
"Badan-badan amal boleh memohon untuk menerima padanan derma, satu dolar bagi setiap dolar yang dikumpul bagi derma yang layak, sehingga had S$250,000 bagi setiap badan amal setiap tahun," katanya.
Ini tertakluk kepada sumbangan yang dikumpul menerusi acara kutipan derma, atau di wadah-wadah digital yang diluluskan seperti Giving.sg, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Dana Keupayaan Amal juga akan menerima tokokan S$25 juta bagi lima tahun akan datang, kata Encik Wong.
Dana itu menyediakan sokongan untuk mengukuhkan pentadbiran dan keupayaan pengurusan badan-badan amal, memberikan geran untuk latihan, perundingan, kongsi khidmat, teknologi infokom dan kerjasama.
"Ini akan bantu memupuk sektor kebajikan yang lebih produktif dan inovatif, membolehkan mereka untuk melakukan lebih banyak untuk masyarakat," kata Encik Wong.
Pemerintah juga akan terus menyokong sektor-sektor kesenian dan sukan, kata Encik Wong.
"Kesenian dan sukan menawarkan wadah bermakna untuk individu meluahkan isi hati dan mengenali diri. Mereka bantu mengukuhkan budaya yang kita kongsi bersama, jati diri kita dan juga bantu menyatukan kita sebagai satu rakyat," katanya.
Encik Wong juga menarik perhatian prestasi Singapura di temasya Olimpik Tokyo dan Paralimpik pada 2021. Beliau mengumumkan bahawa Dana One Team Singapore akan dilanjutkan selama lima tahun lagi.
Dana itu memberi padanan derma untuk mendapatkan sokongan bagi atlit Team Singapore.
Pemerintah juga akan memberi tokokan sehingga S$150 juta kepada Dana Pemadanan Budaya (CMF) selama tiga tahun lagi, kata Encik Wong.
Dana itu memberi padanan derma bagi setiap sumbangan kepada badan-badan amal kesenian dan warisan.
Bagi mempertingkatkan sokongan untuk golongan kurang upaya, Singapura akan melancarkan Pelan Induk Pemerkasaan 2030 pada lewat tahun ini untuk mengukuhkan sokongan dalam bidang-bidang seperti pekerjaan, pembelajaran sepanjang hayat dan penjagaan untuk masa singkat, kata Encik Wong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.