Badan amal baru bakal ditubuhkan atas nama JB Jeyaretnam
Sebuah badan amal baru akan ditubuhkan atas nama mendiang pemimpin parti pembangkang JB Jeyaretnam, umum anaknya Kenneth Jeyaretnam pada Selasa (5 Jan).
SINGAPURA: Sebuah badan amal baru akan ditubuhkan atas nama mendiang pemimpin parti pembangkang JB Jeyaretnam, umum anaknya Kenneth Jeyaretnam pada Selasa (5 Jan).
Encik Kenneth Jeyaretnam, 62 tahun, setiausaha agung Parti Reform, turut mendedahkan dalam satu kenyataan media bahawa fokus Yayasan JB Jeyaretnam adalah untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan "kumpulan terpinggir yang dekat di hati JBJ".
Ayahnya adalah pengasas Parti Reform dan pernah menjadi ketua Parti Pekerja (WP).
Badan amal itu, bagaimanapun perlu diluluskan oleh pihak berkuasa, dan ia adalah yang kedua ditubuhkan atas nama tokoh pembangkang.
Pertubuhan pertama seumpama itu adalah Dana Sukan Chiam See Tong yang ditubuhkan pada 2017 oleh Encik Chiam See Tong, mantan ketua Parti Rakyat Singapura (SPP) untuk menyokong para atlit yang kurang bernasib baik.
Dalam kiriman emel kepada Mediacorp, Encik Kenneth Jeyaretnam berkata badan amal itu akan menyokong penduduk warga senja, golongan gelandangan dan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah atau keluarga yang mengalami krisis.
Matlamatnya adalah untuk membantu membasmi atau mengurangkan kesan kemiskinan dengan memberi mereka akses kepada kemudahan atau perkhidmatan, dedah Encik Jeyaretnam.
Sokongan tersebut mungkin dalam bentuk tuisyen yang disediakan secara percuma atau pada kos rendah kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah, dan tidak semestinya melalui wang tunai atau barangan dapur.
"Namun, kami masih di peringkat awal dan salah satu kegiatan rasmi pertama kami adalah untuk menjalankan kajian dan audit terhadap keperluan (klien)," tambahnya.
Mendiang JB Jeyaretnam, yang turut dikenali ramai melalui singkatan JBJ, adalah seorang peguam kanan dan calon pertama parti pembangkang yang dipilih menjadi Anggota Parlimen pada 1981 semasa pilihan raya kecil bagi kawasan undi Anson ketika itu. Kketika itu beliau adalah setiausaha agung Parti Pekerja (WP).
Terkenal dengan kritikan lantang terhadap Pemerintah di bawah pimpinan Parti Tindakan Rakyat (PAP), beliau pernah disaman beberapa kali oleh para pemimpin PAP dan menjadi muflis akibat tindakan undang-undang itu.
Pada 2001, beliau dilarang bertanding dalam pilihan raya kerana muflis.
Beliau dibebaskan dari status muflis pada 2007 dan kemudian membentuk Parti Reform setahun kemudian.
Tidak lama selepas itu pada September 2008, beliau meninggal dunia akibat kegagalan jantung pada usia 82 tahun.
Penubuhan badan amal baru itu diumumkan sempena tarikh ulang tahun bapanya, kata Encik Kenneth Jeyaretnam.
"Walaupun beliau tidak lagi bersama kita, warisannya terus hidup untuk dipelihara bagi generasi akan datang."
Pengumpulan dana untuk badan amal itu akan dimulakan setelah ia didaftarkan kelak, dedah Encik Jeyaretnam kepada Mediacorp.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.