Skip to main content

Singapura

Bacaan PM2.5 satu jam meningkat bagi seluruh SG; mutu udara kekal tidak sihat

Keadaan jerebu terus menyelubungi Singapura pada Jumaat (9 Okt), dengan bacaan PM2.5 satu jam berada pada paras meningkat di kelima-lima bahagian negara ini pada awal pagi.

Anggaran Waktu Membaca:
Bacaan PM2.5 satu jam meningkat bagi seluruh SG; mutu udara kekal tidak sihat

Keadaan berjerebu dilihat di Orchard Road pada 8 Oktober 2026. (Gambar: CNA/Ili Mansor)

Diterbitkan : 09 Oct 2026 07:28AM
One-hour PM2.5 readings rose across Singapore; air quality remains unhealthy
  • Singapore remained shrouded in haze on Friday morning, with one-hour PM2.5 readings rising across all five regions of the country and highest in the west at 143.
  • The 24-hour PSI was at unhealthy levels of between 109 and 159, making daily air quality a concern across Singapore.
  • NEA advised the public to refer to PM2.5 readings before outdoor activities, while vulnerable groups should avoid strenuous physical activity outdoors.
  • The haze is expected to persist because of smoke from Sumatra and West Kalimantan, aided by dry weather as well as south-easterly or southerly winds towards Singapore.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Keadaan jerebu terus menyelubungi Singapura pada Jumaat (9 Okt), dengan bacaan PM2.5 satu jam berada pada paras meningkat di kelima-lima bahagian negara ini pada awal pagi.

Setakat pukul 6.00 pagi, bacaan PM2.5 satu jam tertinggi dicatatkan di bahagian barat pada 143, diikuti bahagian tengah (140), selatan (134), timur (117) dan utara (92).

Sementara itu, bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam turut berada pada paras tidak sihat, antara 109 dengan 159 di seluruh Singapura.

Bacaan PSI 24 jam antara 101 dengan 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan PM2.5 satu jam antara 56 dengan 150 dianggap berada pada paras meningkat.

ORANG RAMAI DINASIHAT KURANGKAN KEGIATAN LUAR

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menasihatkan orang ramai supaya merujuk kepada bacaan PM2.5 satu jam sebelum menjalankan kegiatan luar dalam masa terdekat.

Ramalan PSI 24 jam dan nasihat kesihatan pula harus digunakan untuk merancang kegiatan luar pada hari berikutnya.

Apabila bacaan PM2.5 satu jam berada pada paras meningkat, individu sihat dinasihatkan supaya mengurangkan kegiatan fizikal berat di luar rumah bagi tempoh sejam berikutnya.

Warga emas, wanita hamil, kanak-kanak serta mereka yang menghidap penyakit jantung atau paru-paru kronik pula dinasihatkan supaya mengelakkan kegiatan sedemikian.

Bacaan PSI 24 jam merupakan penunjuk mutu udara harian Singapura dan menjadi asas kepada nasihat kesihatan yang dikeluarkan NEA.

Ia dikira berdasarkan enam bahan pencemar udara, termasuk PM2.5, PM10, ozon, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan karbon monoksida.

Sementara itu, bacaan PM2.5 satu jam memberikan gambaran lebih terkini mengenai mutu udara, khususnya ketika keadaan berjerebu.

JEREBU DIJANGKA BERTERUSAN

Dalam nasihat yang dikeluarkan pada petang Khamis (8 Okt), NEA menyatakan kepulan asap sederhana hingga tebal dari selatan dan tengah Sumatra serta Kalimantan Barat dikesan bergerak ke arah Singapura.

Keadaan cuaca kering dijangka berterusan di selatan Sumatra dan beberapa kawasan di Kalimantan.

Menurut NEA, tiupan angin dari tenggara atau selatan boleh menyebabkan asap jerebu terus bergerak ke arah Singapura.

Bacaan PSI 24 jam bagi negara ini diramalkan berada dalam julat sederhana tinggi hingga pertengahan tidak sihat.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita