Skip to main content

Singapura

Babi hutan terperangkap dalam sangkar dekat Sime Road

Dua ekor babi hutan dewasa dan tiga ekor anak babi ditemui terperangkap dekat Sime Road, berdekatan Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah.

Anggaran Waktu Membaca:
Babi hutan terperangkap dalam sangkar dekat Sime Road

Petikan gambar dari video menunjukkan beberapa ekor babi hutan terperangkap di Sime Road pada 7 Okt 2018. (Gambar: Louis Ng/Facebook)

Diterbitkan : 08 Oct 2018 05:20PM Dikemas Kini : 08 Oct 2018 05:24PM

SINGAPURA: Dua ekor babi hutan dewasa dan tiga ekor anak babi ditemui terperangkap dekat Sime Road, berdekatan Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah.

"Haiwan-haiwan itu ditemui dalam keadaan cemas, terdesak untuk keluar dari sangkar besi itu," kata Timbalan Ketua Eksekutif Persatuan Kajian dan Pendidikan berkaitan Isu Keprihatinan Haiwan (ACRES), Cik Anbarasi Boopal.

"Mereka juga kelihatan ketakutan kerana lalu lintas kenderaan di jalan raya."

Seorang individu memaklumkan ACRES tentang insiden itu, kata Anggota Parlimen Louis Ng yang juga pengasas dan ketua eksekutif ACRES.

Encik Ng turut memuat naik video haiwan-haiwan yang terperangkap itu ke laman Facebook, sambil menambah siasatan masih dijalankan bagi mencari dalang yang memasang perangkap itu.

ACRES menyatakan bahawa ia tiba di tempat kejadian pada sekitar 4.00 petang, sambil menambah bahawa ia mengambil sekitar 20 minit untuk menyelamatkan haiwan-haiwan itu.

"Kami perlu bertindak secara berhati-hati supaya haiwan itu tidak mengganas dan dapat kembali ke dalam hutan dan tidak ke jalan raya," kata Cik Boopal.

Beliau menambah, beberapa sisa jagung turut ditemui dalam sangkar itu dan beliau menjangkakan haiwan-haiwan berkenaan mungkin terperangkap pada lewat pagi atau petang Ahad (7 Okt).

ACRES menyatakan bahawa sebelum ini belum ada kes seumpama itu dilaporkan di Sime Road, meskipun ia menjalankan siasatan terhadap lebih 20 kes pemburuan haram haiwan liar di Singapura, terutama sekali burung-burung, pada 2017.

Pada Ogos lalu, ACRES menangani kes babi hutan yang terperangkap di Segar Road, dekat Bukit Panjang. Ia merupakan salah satu daripada tiga kes yang dilaporkan kepadanya beberapa tahun lalu.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita