Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Aziz Ab Hamed raih pengiktirafan tertinggi bagi jururawat atas dedikasinya sepanjang tiga dekad

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Ganjaran menyusuli kesabaran. 

Berkat dedikasi dan sumbangan selama 30 tahun, Aziz Ab Hamed, 60 tahun, seorang  Jururawat Klinisian Kanan di Institut Kesihatan Mental (IMH), menjadi antara enam jururawat yang menerima Anugerah Presiden bagi Jururawat tahun ini. 

Ia bagi mengiktiraf prestasi serta sumbangan cemerlang mereka dan merupakan anugerah tertinggi negara bagi bidang kejururawatan di Singapura. 

DEDIKASI BANTU PARA PESAKIT IMH TIMBA KEMAHIRAN HIDUP

Sebagai seorang Klinisian Jururawat Kanan di IMH, tugas dan tanggungjawab Encik Aziz bukan sekadar merawat dan menjaga para pesakit. 

Malah, beliau juga menyumbang kepada peralihan bentuk jagaan pesakit kepada model pemulihan. 

"Apa yang kita lakukan dahulu adalah pastikan mereka makan ubat, makan sempurna, tidur sempurna tetapi sekarang ini sudah berubah dari segi penjagaan mereka. Kita ingin mereka dapatkan kemahiran supaya mereka dapat keluar dari hospital ini dan tinggal di kalangan masyarakat," jelas Encik Aziz. 

Namun, keutamaan Encik Aziz bukan sahaja untuk mengubah cara penjagaan di IMH tetapi membantu para pesakitnya berubah untuk menjadi lebih baik. 

Misalnya, pada 2015, beliau memulakan program pemulihan untuk para pesakitnya, dengan tujuan melengkapi mereka dengan kemahiran hidup.

"Kita ada ramai pesakit yang duduk lama di hospital ini, ada lebih dari setahun, ada lebih daripada 18, 20 tahun."

"Program 'Slow Stream Rehab' adalah untuk memberi para pesakit IMH, memberikan mereka peluang untuk belajar dan berdikari, mendapatkan hasil daripada program-program kami. Ini supaya mereka dapat tinggal lama di luar hospital dan tidak bergantung kepada hospital." 

"Kita rasa mereka ada kekuatan dalam diri masing-masing untuk berdikari. Mereka tidak tahu kekuatan mereka. Jadi kita harus bantu mereka mencari kekuatan mereka, dari situ kita membina kekuatan mereka supaya mereka cekal dan dapat hidup di kalangan masyarakat," jelas Encik Aziz. 

Antara program yang dianjurkan dalam program pemulihan tersebut adalah kraf tangan dan hidroponik. 

Menurut Encik Aziz, program tersebut banyak manfaatnya untuk para pesakit. 

Encik Aziz berkata: "Salah satu manfaatnya adalah mereka belajar cara bertutur antara satu sama lain dan bekerjasama. Program pertanian ini juga banyak manfaat dari segi mereka dapat meningkatkan mood dan keyakinan diri dan juga memperbaiki corak tidur. Mereka juga akan menjual sayur-sayur ini, jadi mereka belajar untuk berinteraksi dengan para pelanggan yang datang ke gerai."

"Kalau kraf tangan, produknya akan dijual juga. Kraf tangan ini manfaatnya mereka boleh fokus lakukan kerja yang sulit sikit kerana kraf tangan ini memerlukan daya ketepatan," tambah Encik Aziz. 

Sehingga kini, lebih 120 pesakit yang menjalani program tersebut sudah keluar hospital sekali gus menunjukkan hasil bagi model penjagaan pemulihan yang membantu para pesakit IMH menimba keyakinan dan kemahiran untuk berdikari. 

RAIH PENGIKTIRAFAN TERTINGGI JURURAWAT S'PURA

"Saya terkejut dan tidak percaya."

Itulah perasaan yang dapat digambarkan Encik Aziz apabila mendapat tahu bahawa beliau merupakan antara yang terpilih untuk menerima Anugerah Presiden bagi Jururawat 2022. 

Encik Aziz berkata: "Saya rasa terharu dan banyak berterima kasih kepada hospital saya kerana mereka menyokong program-program yang saya lakukan dan anjurkan untuk para pesakit saya."

Pengiktirafan yang diterima Encik Aziz itu tidak datang bergolek. 

Dalam pengalaman selama 30 tahun sebagai seorang jururawat, ada sahaja cabaran dan rintangan yang perlu dilalui Encik Aziz sepanjang kerjayanya. 

"Sebagai jururawat sakit jiwa, apabila pesakit kita tidak begitu baik, mereka mudah marah, kadang-kadang mereka maki hamun kita. Kita harus fahami keadaan mereka pada waktu itu. Saya pernah digigit pesakit tetapi saya tidak salahkan dia, saya salahkan penyakitnya," jelas Encik Aziz yang bertugas di wad-wad pemulihan IMH. 

Namun, pengalaman sebegitu yang sebenarnya membentuk personaliti Encik Aziz sebagai seorang jururawat sehingga hari ini. 

Encik Aziz berkata: "Saya belajar cara bertutur dengan mereka sebab setiap daripada kita ada personaliti sendiri. Dari situ saya bina kemahiran dan pengetahuan dalam bidang sakit mental ini. Saya banyak bersabar, banyak bersyukur dan juga saya tengok sesuatu negatif dari sudut lain dan saya tidak terbelenggu dengan perkara negatif itu. Dari situ saya akan mendapat idea idea baru untuk mengatasi keadaan negatif itu." 

Sebagai salah seorang penerima Anugerah Presiden bagi Jururawat tahun ini, beliau menerima piala dan sijil, serta wang tunai S$10,000 bagi membiayai usaha meningkatkan kemahiran peribadi dan kepakaran dalam bidang kerjaya.   

Seramai 90 jururawat sudah diiktiraf sejak anugerah itu dimulakan 22 tahun yang lalu. 

200 JURURAWAT IMH DIRAIKAN

Dalam pada itu, Encik Aziz juga antara sekitar 200 jururawat IMH yang diraikan dalam majlis sambutan Hari Jururawat di IMH pagi tadi (29 Jul). 

Di samping itu, 19 anugerah juga disampaikan kepada para jururawat atas prestasi cemerlang masing-masing. 

Acara tersebut dihadiri Menteri Kedua Kesihatan Masagos Zulkifli yang turut menekankan tentang pentingnya peranan yang dimainkan jururawat dan IMH dalam menangani keperluan kesihatan mental negara. 

Ini termasuk membuat peralihan dalam model penjagaan pesakit. 

Encik Masagos berkata: "Di IMH, terdapat peralihan terhadap penjagaan yang lebih menyeluruh dengan model "penjagaan pemulihan". Ini adalah penting. Ia bukan sahaja memastikan bahawa simptom-simptom kesihatan mental dirawat. Ia juga memastikan bahawa mereka yang menghidapi masalah kesihatan mental boleh memulihkan beberapa fungsi dan peranan tertentu."

Semasa acara tersebut, Jururawat Amalan Lanjutan (APN) Shanel Yip Wan Ting, menerima anugerah berprestij, Anugerah Nightingale yang mengiktiraf peranan seorang jururawat setiap tahun atas bimbingan teladan kepada rakan-rakan jururawat, semangat untuk kejururawatan psikiatri dan usaha berterusan terhadap pembangunan profesional. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan