Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Azam tahun baru: 5 tip tetapkan, capai matlamat kesihatan yang realistik

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Jika anda tidak ingat apakah azam tahun baru yang anda buat tahun lalu ataupun tidak mencapainya, anda tidak keseorangan.

Jika anda tidak bermotivasi untuk menetapkan sebarang matlamat kesihatan untuk 2023, anda juga tidak keseorangan.

Pandemik COVID-19 dan belajar hidup dengan koronavirus masih berterusan, lantas orang ramai sudah lelah dengan masalah kesihatan, memulakan dan menghentikan rutin untuk kekal sihat, berdepan gangguan mental ataupun terlalu letih secara fizikal untuk mencuba.

Dr Rie Kubota, pakar psikologi klinikal kanan dengan jabatan psikologi Institut Kesihatan Mental (IMH), berkata kekurangan motivasi untuk kekal sihat mungkin disebabkan tekanan berpanjangan dan terkumpul berkaitan dengan COVID-19 "yang menjadi tekanan kronik buat lebih daripada dua tahun".

"Kerana COVID-19 menyebabkan pelbagai gangguan dan perubahan dalam kehidupan kami, kami harus berdepan dengannya dan kekal berwaspada. Ia secara langsung menyebabkan keletihan pada minda dan badan.

"Keletihan pandemik ataupun keletihan COVID-19 adalah respons biasa kepada tekanan dan boleh menyebabkan gejala 'burnout' termasuk masalah tumpuan dan motivasi yang semakin merosot," tambah beliau.

Mereka yang ingin kekal positif dan memulakan tahun baru dengan menyuntik kesegaran, mungkin masih berdepan halangan untuk kekal sihat atau mewujudkan momentun untuk melakukan yang terbaik demi kesihatan.

Pakar Psikiatri, Lim Boon Leng, dari Pusat Perubatan Gleneagles berkata walaupun dengan niat yang terbaik, kurang satu dalam sepuluh orang akan merasakan mereka sudah mencapai matlamat mereka menjelang hujung tahun.

Namun mengapakah ia sukar untuk membuang tabiat lama dan mengamalkan yang baru?
Kajian mendapati bahawa meskipun orang ramai membuat matlamat dan sasaran, mereka tidak mempunyai rancangan bagaimana untuk menggantikan tabiat lama mereka, tambah beliau.

Untuk meningkatkan motivasi dan kemungkinan anda mengekalkan azam tahun baru ini, berikut adalah lima strategi daripada Dr Kubota dan Dr Lim yang boleh membantu anda.

1. KENAL PASTI EMOSI POSITIF YANG ANDA INGINKAN

Jika anda tiada motivasi sebelum ini, anda boleh amalkan perkara berikut:

Pertama, kenal pasti emosi positif yang anda iniginkan.

Fokus kepada emosi positif yang akan membantu meningkatkan mood dan mengurangkan tekanan.

Kemudian, jadualkan aktiviti yang boleh mendatangkan emosi positif ini.

Contohnya, melibatkan diri dalam hobi, mempelajari kemahiran baru ataupun berhubung dengan orang lain.

Luangkan masa untuk diri sendiri dan berehat dengan melakukan aktiviti seperti berjalan-jalan, pergi urut badan atau mendapatkan rehat secukupnya.

Tabiat seperti mendapat tidur yang cukup, makan makanan yang teratur dan sihat serta bersenam secara teratur boleh membuat perbezaan dalam emosi anda.

2. MEMPUNYAI MATLAMAT YANG JELAS, MUDAH DICAPAI

Jika anda menetapkan matlamat yang tidak realistik, mustahil atau di luar jangkauan seperti berhenti merokok dalam sebulan atau ingin kelihatan anggun seperti gambar seseorang di Instagram, anda berkemungkinan akan gagal dan kehilangan motivasi.

Daripada menghasilkan sasaran yang tidak praktikal atau kurang jelas, Dr Kubota menyarankan untuk memecahkan matlamat yang besar kepada langkah-langkah yang lebih kecil.

Sebagai contoh, jika anda ingin "bersenam lebih kerap," nyatakan dengan jelas, "pergi berjalan selama 30 minit untuk lima kali dalam seminggu".

Ini akan membolehkan anda memantau kemajuan anda sekaligus memberikan anda motivasi.

3. MERANCANG KE HADAPAN UNTUK LIHAT HASILNYA

Perancangan untuk hasil positif adalah kunci utama untuk mengekalkan motivasi.

Tingkah laku manusia yang membawa kepada hasil positif cenderung diulang, manakala tingkah laku yang membawa kepada keputusan negatif cenderung terhenti, kata Dr Kubota.

- Beri ganjaran atau insentif kepada diri anda kerana berpegang pada matlamat

- Kongsi kemajuan anda dengan seseorang yang anda percayai

- Jadikan matlamat lebih menyeronokkan dengan melakukannya bersama orang lain

4. LAPORKAN PENCAPAIAN ANDA

Rasa tanggungjawab juga boleh menentukan sama ada anda akan mencapai atau gagal dalam matlamat anda.

Satu kajian daripada Universiti Domican di Amerika Syarikat ke atas 267 peserta daripada perniagaan dan pertubuhan mendapati bahawa lebih 70 peratus daripada mereka yang melakukan perkara berikut dilaporkan mencapai matlamat mereka:

- Tulis matlamat mereka
- Katakan matlamat itu dengan kuat
- Hantarkan kemas kini setiap minggu kepada kawan

Sebagai perbandingan, hanya 35 peratus daripada mereka yang hanya memikirkan matlamat mereka mencapainya.

5. BERSABAR KETIKA MEMBENTUK TABIAT BARU

Untuk memastikan sesuatu itu kekal mampan sangat penting kerana ia mengambil masa untuk membuang tabiat lama untuk membentuk tabiat baru.

Ini boleh mengambil masa antara dua atau tiga minggu kepada enam bulan, kata Dr Lim.

Kajian yang diterbitkan dalam European Journal of Social Psychology pada 2009 mendapati bahawa aktiviti harian seperti makan buah pada waktu tengah hari atau berjalan-jalan mengambil masa purata 66 hari untuk menjadi kebiasaan.
Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan