Ayuni Nur Izyanti antara 308 belia diiktiraf Anugerah Emas NYAA 2025
Beliau merupakan antara 308 belia cemerlang yang menerima anugerah tersebut, yang disampaikan Presiden Tharman Shanmugaratnam dalam majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Politeknik Singapura (SP).
Penuntut tahun ketiga dalam jurusan Bioteknologi Perubatan itu turut diiktiraf kerana mempamerkan komitmen luar biasa dalam memperkasakan golongan kurang berkemampuan melalui pelbagai inisiatif sukarelawan.
"Saya amat bersyukur dan berbesar hati atas penerimaan Anugerah Emas NYAA ini. Ia merupakan pengiktirafan besar buat usaha saya sepanjang tahun, di mana saya telah melakukan Program Anugerah Emas NYAA ini.
"Saya yakin bahawa ia akan mendorong saya untuk terus melibatkan diri dalam kerja-kerja kemasyarakatan," kata Cik Ayuni, 19 tahun, kepada wartawan Nurfazirah Azman.
Edisi ke-23 anugerah itu mengiktiraf ketabahan, semangat khidmat masyarakat dan kepimpinan mereka dalam bidang-bidang termasuk pembelajaran berasaskan khidmat dan kepimpinan masyarakat.
Program Anugerah Emas NYAA memerlukan para peserta untuk melibatkan diri dalam empat bidang utama iaitu, pembelajaran berasaskan khidmat, penghargaan buat alam semula jadi, gaya hidup sihat dan inisiatif kepimpinan masyarakat (CLI).
Kesemua aktiviti-aktiviti itu diterajui dan dilaksanakan sendiri oleh para peserta sambil menekankan sifat empati, daya tahan dan semangat kepimpinan.
Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-30 Alumni Penerima Anugerah Emas NYAA (GAHA) ditubuhkan sejak 1995.
Sebagai sebahagian daripada sambutan SG60, sebuah buku peringatan yang memaparkan 60 kisah inspirasi alumni NYAA turut dilancarkan oleh Presiden Tharman semasa majlis itu.
RAIH ILMU DAN BERJAYA TINGKATKAN KEYAKINAN DIRI MELALUI KERJA-KERJA KEMASYARAKATAN
Dalam perjalanannya sebagai seorang sukarelawan, Cik Ayuni mendedahkan bahawa orang-orang yang beliau temui menjadi pembakar semangat untuk dirinya terus melakukan usaha murni ini.
"Saya sebenarnya didorong oleh orang-orang yang saya temui semasa melakukan kerja-kerja kemasyarakatan. Apabila saya melakukan kerja sukarela, saya akan berjumpa orang daripada pelbagai golongan - kanak-kanak, warga emas mahupun golongan kurang upaya.
"Setiap kali saya berbual ataupun bergaul bersama mereka, akan ada cerita-cerita yang seronok untuk didengar. Pada masa yang sama, saya rasa bahawa saya telah menimba banyak ilmu dan kemahiran melalui kerja-kerja sukarelawan," kongsi Cik Ayuni.
Bahkan bagi Cik Ayuni, anugerah ini bukan sahaja satu penghargaan peribadi tetapi juga dorongan kepada lebih ramai belia untuk menceburi kerja-kerja kemasyarakatan.
"Bagi saya, Anugerah Emas NYAA ini sangat bermakna dan saya yakin bahawa ia akan terus mendorong saya untuk melibatkan diri dalam aktiviti dan juga kerja-kerja kemasyarakatan.
"Pada masa yang sama, saya juga harap bahawa anugerah ini dapat mendorong belia-belia yang lain untuk memulakan perjalanan mereka dalam kerja-kerja kemasyarakatan," tambah Cik Ayuni.
RELAWAN DI THE SINGAPORE BUDDHIST LODGE (SBL)
Sebagai Presiden 'Community Service Club' di TP, Cik Ayuni meluangkan lebih 80 jam bagi program-program sukarelawan.
Beliau masih meneruskan khidmat sebagai sukarelawan di 'The Singapore Buddhist Lodge (Vision Family Service Centre)', di mana beliau membantu para pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
"Apabila saya di SBL, saya akan bertemu bersama dengan para 'mentee' saya ataupun sukarelawan lain dan kadangkala saya rasa seperti seorang kakak kepada mereka kerana selain daripada membantu dalam kerja sekolah atau bidang akademik, saya dapat mendengar cerita-cerita yang mereka berkongsi dengan saya," kata Cik Ayuni.
Daripada menjadi mentor, Cik Ayuni turut mengorak langkah sebagai Penganjur Sukarelawan (Volunteer Organiser) dan memimpin proses perekrutan, latihan dan kebajikan mentor serta menambah baik modul pengajaran.
Ini termasuk membangunkan bengkel strategi pengurusan kelas dan membantu pelajar dalam Bahasa Melayu menjelang peperiksaan.
Antara pengalaman paling bermakna bagi Cik Ayuni ialah apabila beliau merancang aktiviti "Amazing race pendidikan" bagi menggantikan sesi tuisyen biasa - satu pendekatan kreatif yang menggabungkan pembelajaran dan keseronokan.
Cik Ayuni juga belajar untuk menguruskan masa dalam mengimbangi antara pelajaran dan kerja kemasyarakatan.
Beliau malah akur pada mulanya memang sukar baginya untuk membahagikan masa antara kerja-kerja kemasyarakatan dan sekolah.
"Saya faham dan belajar cara menguruskan masa dengan betul. Jadi, lama-kelamaan selepas saya tahu bagaimana untuk mengatur masa saya, saya sedar bahawa ada satu lagi sifat yang penting iaitu komunikasi dengan ahli pasukan kelab saya.
“Jadi jikalau saya tidak boleh melakukan sesuatu tugas pada masa yang tertentu, ia adalah tanggungjawab saya untuk memberitahu pasukan saya dan juga berbincang dengan mereka tentang apa yang boleh dilakukan.
"Dengan itu saya dapat membahagikan masa dengan baik apabila melakukan kerja sekolah dan juga projek-projek kemasyarakatan," kongsi Cik Ayuni.
Khidmat kemasyarakatan Cik Ayuni ternyata tidak terhenti di tanah air sahaja.
Melalui inisiatif CLI, beliau mengetuai bahagian kurikulum sains dalam projek pendidikan sukarelawan di Kemboja dan menghasilkan bahan pengajaran khas untuk pelajar yang kurang fasih dalam Bahasa Inggeris.
Selain itu, beliau juga memainkan peranan penting dalam acara 'TAD Charity x SABD Art Exhibition 2023' yang berjaya mengumpul lebih S$62,000 bagi tujuan amal.
Pelibatan Cik Ayuni dalam pelbagai program seperti 'Heartware Network - Tanoto Foundation Learning Together Programme' juga membuktikan kesungguhannya untuk berbakti secara menyeluruh, termasuk kepada pelajar keperluan khas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.