Skip to main content

Singapura

Ayuh Hijau SG 2026: Lebih 1,000 kegiatan akan dilancarkan bagi kempen kemampanan

Anggaran Waktu Membaca:
Ayuh Hijau SG 2026: Lebih 1,000 kegiatan akan dilancarkan bagi kempen kemampanan

Perusahaan sosial fesyen kitaran semula, Cloop, memproses sisa tekstil setiap minggu. (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 05 May 2026 05:48PM
  • Kempen Ayuh Hijau SG kembali dengan lebih 1,000 inisiatif kemampanan oleh lebih 500 pertubuhan di seluruh Singapura dari 11 Mei hingga 28 Jun.
  • Cloop, perusahaan sosial, memproses sisa tekstil dengan bantuan pelatih berkeperluan khas dan membuka kemudahan pengasingan kepada orang ramai untuk tingkatkan kesedaran.
  • Sentosa memperkenalkan "nod dingin" dan lawatan berpandu untuk mempamerkan usaha menangani suhu panas serta perlindungan alam sekitar dan warisan pulau.
  • Kementerian Kemampanan dan Sekitaran menetapkan 2026 sebagai tahun penyesuaian iklim, dengan kempen ini bertujuan menggalakkan tindakan iklim dan penggunaan berhemah.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Penyesuaian terhadap perubahan iklim akan menjadi tumpuan utama dalam kempen kemampanan nasional tahun ini, dengan orang ramai boleh menyertai pelbagai kegiatan di seluruh negara mulai Isnin depan (11 Mei).

Lebih 500 pertubuhan akan melancarkan lebih 1,000 inisiatif di bawah Ayuh Hijau SG, yang kembali untuk edisi keempat dan akan berlangsung hingga 28 Jun.

Kegiatan-kegiatan itu merangkumi lawatan di sebalik tabir proses pengasingan sisa tekstil, hingga pameran bagaimana Sentosa mengekalkan suhu rendah di tengah-tengah keadaan yang semakin membahang.

Salah satu tarikan utama ialah melihat apa yang berlaku kepada tekstil yang didermakan selepas ia dimasukkan ke dalam tong kitar semula di kawasan kejiranan.

Perusahaan sosial fesyen kitaran semula, Cloop, memproses kira-kira 1,000 kilogram (kg) sisa tekstil setiap minggu daripada tong putihnya sahaja.

Dengan bantuan kira-kira 20 pelatih berkeperluan khas, setiap barangan diasingkan dengan teliti mengikut mutu, jenama dan keadaan.

Tiada tekstil yang dikendalikan oleh Cloop berakhir di tapak pelupusan. Sebaliknya, ia dijual semula, dikitar semula atau digunakan semula.

Pengasas bersama Cloop, Jasmine Tuan, berkata kesedaran mengenai usaha kitar semula tekstil meningkat selepas mereka memperkenalkan tong kuning pertama di City Sprouts Henderson pada 2022.

Kini, terdapat tiga tong putih - untuk pengasingan dan pengagihan semula tempatan - serta 450 tong kuning di seluruh negara.

Tahun ini, buat pertama kalinya, Cloop membuka kemudahan pengasingannya di APSN Centre for Adults kepada orang ramai bagi meningkatkan kesedaran tentang usaha di sebalik pengurusan sisa tekstil.

Penganjur berharap lawatan ini akan menggalakkan penggunaan yang lebih berhemah, mendorong orang ramai membeli pakaian lebih sedikit dan menjaga pakaian mereka dengan lebih baik.

Mereka juga digalakkan menyesuaikan pakaian dengan cuaca yang semakin panas.

“Secara peribadi, saya menukar pakaian kepada bahan semula jadi seperti linen,” kata Cik Tuan.

“Pakaian yang saya pakai sekarang sangat sesuai – kapas dan linen, semuanya bahan semula jadi."

MENANGANI CUACA PANAS DI SENTOSA

Di Sentosa, usaha sedang dijalankan bagi menangani suhu yang meningkat melalui prasarana dan reka bentuk.

Pulau peranginan itu sedang membangunkan rangkaian 10 “nod dingin” di kawasan tumpuan ramai menjelang 2027, dengan ciri seperti sistem kabus air, kipas di luar dan salutan yang mengurangkan haba pada laluan.

“Bagi penyesuaian iklim, pengunjung boleh melihat nod dingin kami dan memahami reka bentuk serta pengalaman yang ditawarkan sebagai sebahagian daripada rangkaian pendinginan Sentosa,” kata pengarah kemampanan Sentosa Development Corporation, Anthony Tan.

“Penting untuk kami terus menyesuaikan diri dan menjadikan Sentosa destinasi bijak iklim supaya pelancong dan rakyat Singapura dapat menikmatinya untuk generasi akan datang,” tambahnya.

Pengunjung juga boleh menyertai lawatan berpandu di Siloso Beach Resort untuk mengetahui bagaimana ia dibina tanpa menebang pokok, serta bagaimana sisa makanan ditukar menjadi kompos menggunakan cacing.

Lawatan alam semula jadi turut ditawarkan, memberikan peluang melihat lebih dekat lebih 800 spesies flora dan fauna di Sentosa, termasuk spesies yang unik di pulau tersebut.

“Kemampanan adalah topik yang luas, dan ramai memberi tumpuan kepada pelepasan karbon, tetapi bagi kami ia lebih menyeluruh kerana kami penjaga pulau ini,” kata Encik Tan.

“Penting untuk kami mengambil pendekatan menyeluruh, bukan sahaja dari segi penghapusan karbon tetapi juga perlindungan warisan semula jadi dan sejarah.”

Ayuh Hijau SG diterajui Kementerian Kemampanan dan Sekitaran, yang menetapkan 2026 sebagai tahun penyesuaian iklim bagi menjadikan tindakan iklim sebagai keutamaan nasional.

Orang ramai boleh mendaftar untuk kegiatan Ayuh Hijau SG mulai Jumaat.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita