Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ayam segar dari M'sia kembali dijual di S'pura selepas lebih empat bulan

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Oct 2022 03:29PM Dikemas Kini : 13 Oct 2022 11:53PM
SINGAPURA: Bekalan ayam segar kembali ke Singapura hanya beberapa hari selepas Malaysia menarik balik sebahagian larangan eksportnya.
Bekalan ayam segar itu dijangka disediakan di pasar raya dan pasar basah seawal petang Khamis (13 Okt). Menurut para pembekal, ia berkemungkinan dijual pada harga 25 peratus lebih mahal berbanding sebelumnya.

Para penjaja dan penyedia makanan memberitahu Mediacorp mereka tidak tergesa-gesa untuk mendapatkan bekalan ayam segar itu meskipun mungkin terdapat permintaan yang kukuh sepanjang empat bulan lalu ekoran larangan eksport ayam hidup yang dilaksanakan Malaysia.

Sebelum ini, kerajaan Malaysia melarang eksport sehingga 3.6 juta ayam setiap bulan sejak 1 Jun dalam usahanya untuk menangani isu bekalan dan harga ayam di negara itu.

Larangan tersebut dilaksanakan menyusuli aduan mengenai kekurangan bekalan dan kenaikan harga ayam, dengan sebilangan peniaga menjual ayam melebihi harga siling demi menampung kos masing-masing.

Hampir sepertiga daripada bekalan ayam Singapura datang dari negara jiran itu sebelum larangan tersebut dilaksanakan.

PERASAAN BERCAMPUR ADUK

Sesetengah penjual kurang pasti sekiranya penarikan balik separa larangan itu kepada hanya sekitar separuh daripada jumlah eksport biasa Malaysia, iaitu atau 1.8 juta ayam, akan membantu dalam perniagaan mereka.

Pemilik Hua Sheng Chicken, Luo Jing Xian, berkata bekalan yang terhad mungkin menyaksikan peningkatan lanjut harga ayam sebanyak 30 sehingga 40 peratus.

Manakala seorang penjaja lagi, yang enggan mendedahkan namanya, mengatakan bekalan itu tidak cukup bagi seluruh pasaran.


Pengurus Katong Catering, Wayne Heng, pula meluahkan harapannya agar bekalan ayam segar yang kembali dijual semula akan dapat mengurangkan permintaan serta harga ayam beku.

Sementara itu, sebilangan pihak gembira bahawa ayam segar dari Malaysia kini dijual semula di sini.

Seorang penjaja, yang juga tidak mahu mendedahkan namanya, berhasrat untuk membeli ayam segar apabila ia disediaka di pasaran tempatan. Mentelah lagi, tambah beliau, "segelintir orang yang tidak suka akan rasa ayam beku".

Sementara itu, kedai-kedai runcit sedang giat melakukan persiapan untuk mengirim pesanan seperti biasa.

Pasar-pasar raya yang dihubungi Mediacorp turut menyatakan ia akan memulihkan semula talian bekalan secepat mungkin sambil menambah bahawa pihaknya sedang mengesahkan garis masa dengan pembekal masing-masing.

Setakat ini, pasar-pasar raya tersebut masih mendapatkan bekalan dari negara-negara seperti Thailand dan Brazil.

Seorang jurucakap NTUC Fairprice berkata: "Sebagai peruncit makanan utama, kami akan terus mengambil stategi untuk mempelbagaikan sumber demi melindungi para pengguna daripada sebarang gangguan bekalan."

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan