Skip to main content

Singapura

Awas! Ubat rawat mati pucuk dikesan dalam gula-gula ini

Dua produk makanan yang mendakwa dapat membantu merangsang nafsu syahwat lelaki didapati mengandungi tadalafil, iaitu ubat preskripsi kuat yang digunakan untuk merawat masalah mati pucuk.

Anggaran Waktu Membaca:
Awas! Ubat rawat mati pucuk dikesan dalam gula-gula ini

Gula-gula Loboose High End Super Candy and Premium Thundercat Super Candy mengandungi tadalafil iaitu ubat bagi merawat mati pucuk. (Gambar: SFA)

Diterbitkan : 30 Apr 2025 02:19PM Dikemas Kini : 30 Apr 2025 02:21PM
SINGAPURA: Dua produk makanan yang mendakwa dapat membantu merangsang nafsu syahwat lelaki didapati mengandungi tadalafil, iaitu ubat preskripsi kuat yang digunakan untuk merawat masalah mati pucuk.

Produk-produk itu, Loboose High End Super Candy dan Premium Thundercat Super Candy, dijual di platform e-dagang setempat, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Rabu (30 Apr).

Menurut SFA, tadalafil boleh meningkatkan risiko mengalami serangan jantung, angin ahmar, pening kepala, degupan jantung tidak menentu dan priapisme.

Ia juga boleh menyebabkan tekanan darah rendah yang memudaratkan individu yang menggunakan ubat jantung.

Tadalafil hanya boleh diberikan di bawah pengawasan pakar perubatan.

SFA turut mengesan dadah dalam dua produk makanan yang mendakwa dapat membantu melangsingkan badan, mengeluarkan bahan kotoran daripada tubuh (detoksifikasi) dan meningkatkan metabolisme.

Produk itu, Lomie Peach Berries Blossom Fruity Tea didapati mengandungi sibutramine, manakala Urbanism Candy didapati mengandungi sibutramine dan sennosides.
Lomie Peach Berries Blossom Fruity Tea dan Urbanism Candy dipasarkan sebagai produk pelangsing badan. (Gambar: SFA)
Sibutramine diharamkan di Singapura sejak 2010 kerana ia meningkatkan risiko mengalami serangan jantung dan angin ahmar.

Ia juga boleh menyebabkan psikosis dan halusinasi.

"Sawan juga dilaporkan dalam kalangan mereka yang mengambil sibutramine," menurut SFA.

Sennosides biasanya digunakan untuk melegakan sembelit, dengan kesan sampingan biasa termasuk sakit perut, kekejangan dan cirit-birit. Pengambilan jangka panjang boleh menyebabkan sembelit dan dehidrasi.

"SFA telah bekerjasama dengan platform e-dagang untuk menurunkan produk-produk itu dan mengeluarkan amaran terhadap para penjual supaya menghentikan penjualan produk-produk itu dengan serta-merta," menurut SFA.

Para pelanggan juga dinasihati supaya jangan membeli atau mengambil produk-produk tersebut, dedah SFA.

Pemeriksaan Mediacorp mendapati kebanyakan produk itu disenaraikan sebagai kehabisan stok di Carousell.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita