Awas tipu helah cuba minta wang cengkeram untuk sewa, beli rumah
Gambar: iStock
SINGAPURA: Agensi-agensi hartanah tempatan memberi amaran tentang satu penipuan baru di mana para penipu menyamar diri sebagai ejen hartanah dan meminta wang cengkeram sebagai bayaran pendahuluan untuk membolehkan para pelanggan meninjau-ninjau rumah yang sedang dipasarkan.
Huttons Group pada Isnin (14 Mac) turut mendedahkan bahawa para penipu akan menggunakan kad pengenalan palsu daripada Majlis Agensi-Agensi Hartanah (CEA) dan memuat naik senarai hartanah palsu ke lelaman "alternatif".
Apabila dihubungi oleh bakal penyewa, penipu akan meminta wang cengkeram sebelum mangsa dibenarkan untuk meninjau-ninjau hartanah tersebut.
Namun, selepas menerima bayaran, penipu akan menghilangkan diri, menurut Huttons.
Dalam satu kes, si penipu malah sanggup menghantar perjanjian sewa untuk ditandatangani dan meminta deposit untuk "mendapatkan unit terlebih dahulu".
"Selepas bayaran dibuat, peluang untuk mendapatkan semula wang itu sangat tipis. Dengan itu, para pelanggan menjadi benteng pertama terhadap penipuan sedemikian," menurut Huttons yang sudah membuat aduan polis terhadap empat kes - semuanya untuk sewa rumah.
Agensi-agensi hartanah turut menasihatkan orang ramai supaya jangan memindahkan wang kepada orang yang tidak dikenali.
"Jika anda berasa curiga, dapatkan nasihat daripada ahli keluarga atau ejen hartanah lain yang diyakini".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.