Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Awas! SMS perdaya pelanggan UOB serah maklumat peribadi

Beberapa orang terpedaya sehingga menyerahkan maklumat peribadi dan kad kredit mereka kepada lelaman yang memancing data pengguna.

Anggaran Waktu Membaca:
Awas! SMS perdaya pelanggan UOB serah maklumat peribadi

Beberapa mangsa diperdaya oleh SMs yang kononnya dari UOB. (Gambar: Facebook/Stephen Tay, BeeLeng Kaya Novem)

Diterbitkan : 16 Jan 2018 09:10PM Dikemas Kini : 16 Jan 2018 09:13PM

SINGAPURA: Beberapa orang terpedaya sehingga menyerahkan maklumat peribadi dan kad kredit mereka kepada lelaman yang memancing data pengguna.

Ini setelah mereka memberi respons kepada SMS yang kononnya dikirimkan oleh United Overseas Bank (UOB), menurutpolis dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini (16 Jan).

Para mangsa kemudian menyedari urus niaga tidak sah dalam beberapa mata wang asing dibuat menggunakan kad kredit mereka.

Dalam kes-kes tersebut, para mangsa menerima SMS yang kononnya dikirimkan oleh UOB memaklumkan kepada mereka mengenai pemberitahuan akaun baru.

Mereka kemudian diminta menekan pautan uob-mob.com, yang disertakan dalam kiriman SMS tersebut.

Pautan itu membawa mereka ke satu laman yang menyerupai laman rasmi UOB dan para mangsa diminta menyerahkan maklumat peribadi dan kad kredit.

Mereka juga diberikan kata kekunci yang dikirimkan menerusi telefon bimbit untuk dimasukkan ke laman tersebut.

Para mangsa kemudian, menerima pemberitahuan menerusi SMS mengenai urus niaga asing yang dibuat menggunakan kad kredit mereka.

"Tanpa pengetahuan mangsa, para penipu sebenarnya memuat turun UOB Mighty App dan memasukkan semua maklumat yang diberi mangsa ke dalam aplikasi tersebut," menurut polis.

Polis menasihati orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga seperti berikut bagi mengelakkan diri mereka terpedaya dan menjadi mangsa:

  • Berwaspada apabila diminta mendedahkan maklumat peribadi dan akaun bank menerusi Internet
  • Berjaga-jaga terhadap lelaman yang memancing data pengguna yang mungkin kelihatan seperti lelaman rasmi sesebuah syarikat
  • Lelaman yang selamat menggunakan "https:" berbanding "http:" pada permulaan pautan (URL) atau mempamerkan mangga berkunci atau ikon kunci yang tidak patah pada bahagian bawah laman
  • Segera laporkan sebarang caj tidak sah yang dikesan menggunakan kad kredit anda.

Untuk mendapatkan nasihat berkaitan penipuan, orang ramai boleh menghubungi talian 1800 722 6688 atau melayari laman www.scamalert.sg 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan