Skip to main content

Singapura

Awas! Skim penipuan manipulasi pasaran saham: Polis

Polis memberi amaran kepada orang awam supaya berwaspada terhadap skim penipuan manipulasi pasaran saham di mana mangsa dipedaya untuk membeli saham syarikat tersenarai pada harga yang tinggi.

Anggaran Waktu Membaca:
Awas! Skim penipuan manipulasi pasaran saham: Polis

(Gambar: SPF)

Diterbitkan : 11 Aug 2021 04:58PM Dikemas Kini : 11 Aug 2021 05:02PM

SINGAPURA: Polis memberi amaran kepada orang awam supaya berwaspada terhadap skim penipuan manipulasi pasaran saham di mana mangsa dipedaya untuk membeli saham syarikat tersenarai pada harga yang tinggi.

Dalam satu kenyataan pada Rabu (11 Ogos), polis menyatakan skim "manipulasi harga saham" menggunakan kaedah "pump and dump" itu timbul semula di sini. Ia menarik perhatian beberapa kes membabitkan tujuh mangsa yang membeli lebih daripada 49,000 saham dalam sebuah syarikat yang tersenarai di bursa Amerika Syarikat berdasarkan saranan yang kononnya daripada seorang pakar.

Dalam masa dua hari, harga saham berkenaan menjunam sebanyak hampir 80 peratus, menyebabkan mangsa kerugian lebih AS$1.07 juta (S$1.45 juta).

Dalang di sebalik skim sedemikian cuba untuk menaikkan harga saham dengan "menyebarkan berita positif yang palsu tentang syarikat itu atau mereka aktiviti perdagangan bagi syarikat itu supaya dapat mempengaruhi orang lain agar membeli saham tersebut", menurut polis.

Mereka kemudian akan menjual saham syarikat itu ketika harganya tinggi sebelum menghentikan manipulasi itu. Ini akan menyebabkan harga saham turun secara mendadak sekaligus menyebabkan mangsa mengalami kerugian.

Dalam kebanyakan kes, mangsa didatangi oleh individu tidak dikenali yang menawarkan saranan saham di media sosial atau mempelawa mereka untuk menyertai kumpulan sembang online di platform seperti WhatsApp dan WeChat untuk membincangkan pembelian saham bersama.

Mangsa kemudian dipujuk untuk membeli saham yang disenaraikan sama ada di bursa saham Hong Kong atau Amerika Syarikat.

Menurut polis penipu tersebut melakukan operasi mereka melalui dua cara.

Kaedah pertama membabitkan gambar seorang wanita yang menarik digunakan sebagai profil sama ada di akaun media sosial atau kumpulan sembang. Ia sebagai helah untuk memulakan perbualan dengan mangsa.

Lazimnya, perbualan itu tidak akan membincangkan tentang saham sehinggalah penipu itu meraih kepercayaan mangsa.

Sebaik sahaja kepercayaan itu diperolehi, penipu itu akan berkata bahawa mereka mempunyai maklumat orang dalam tentang saham di syarikat luar negara yang tersenarai dan menggalak mangsa untuk membeli saham syarikat itu dengan janji dapat meraih keuntungan dengan cepat.

Satu lagi kaedah adalah untuk mempelawa seberapa ramai mungkin mangsa ke sebuah kumpulan sembang di mana penipu itu memperkenalkan diri mereka sebagai pakar pelaburan atau pakar perdagangan saham.

Untuk meraih kepercayaan mangsa, mereka mungkin memberi saranan berdasarkan saham-saham tertentu yang akhirnya adalah betul.

Sebaik sahaja mereka meraih kepercayaan mangsa, penipu itu kemudian akan menyarankan sebuah lagi syarikat di mana harga sahamnya didakwa akan naik dengan besar dalam masa terdekat, lalu menggalak mangsa dalam kumpulan sembang itu supaya segera membeli saham tersebut.

Dalam kedua-dua kaedah itu, polis menyatakan penipu akan meminta mangsa menghantar petikan skrin urus niaga akaun perdagangan mereka untuk membuktikan bahawa mereka sudah membeli saham itu.

Polis percaya bahawa penipu itu diberi ganjaran oleh dalang skim saham itu berdasarkan jumlah mangsa yang berjaya dipengaruhi untuk membeli saham dan petikan skrin yang diperlukan untuk menerima ganjaran mereka.

Bagi lebih banyak maklumat tentang skim penipuan, orang ramai boleh melungsuri laman www.scamalert.sg atau hubungi talian anti-penipuan di 1800-722-6688.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita