Awas! Raksa, bahan berbahaya lain ditemui dalam 5 produk kecantikan
Penguasa Sains Kesihatan (HSA) memberi amaran kepada orang awam supaya jangan membeli atau menggunakan empat krim kosmetik yang didapati mengandungi paras raksa yang tinggi.

Set Deeja Cosmetic (kiri) and the RDL Face Off Fade-Out Cream Day Cream 5 in 1. (Gambar: HSA)
SINGAPURA: Penguasa Sains Kesihatan (HSA) memberi amaran kepada orang awam supaya jangan membeli atau menggunakan empat krim kosmetik yang didapati mengandungi paras raksa yang tinggi.
Produk-produk itu adalah ‘Deeja Cosmetic Sun cream',‘Deeja Cosmetic Wrinkle cream’,‘RDL Babyface Whitening Cream Night Cream 5 in 1’ dan ‘RDL Face Off Fade-Out Cream Day Cream 5 in 1’.
Krim kecantikan ‘Deeja Cosmetic Sun cream' misalnya didapati mengandungi paras raksa 40,000 kali had dibenarkan.
Raksa, sejenis logam berat toksik dilarang digunakan sebagai bahan dalam produk kosmetik.
Penggunaan krim mengandungi raksa secara berterusan mungkin boleh menyebabkan ruam, penumpukan dan masalah kulit lain. Jika terdedah terlalu lama kepada paras raksa yang tinggi dalam produk kecantikan, ini boleh membahayakan kesihatan termasuk kerosakan pada ginjal serta sistem pencernaan dan saraf.
Sementara itu, produk ‘Deeja Cosmetic Dream cream’ pula didapati mengandungi agen pencerahan kulit, hidrokuinon.
Ia hanya boleh diberikan oleh doktor untuk merawat masalah kulit tertentu.
Jika tidak digunakan sewajarnya, ia boleh menyebabkan perubahan pada warna dan menunjukkan reaksi pada kulit seperti ruam dan rasa perih.
Ketiga-tiga krim Deeja itu adalah sebahagian daripada set kecantikan yang dijual di wadah-wadah online tempatan, menurut HSA.
Tambahnya, krim-krim kosmetik Deeja itu membuat dakwaan palsu seperti "dibuat daripada 100% bahan-bahan semula jadi" sedangkan produk-produk itu mengandungi bahan-bahan terlarang.
Produk-produk krim kecantikan RDL diimport oleh Arklife Distributors Pte Ltd dan dijual di cawangan-cawangan runcit.
Pihak berkuasa menasihati para pengedar untuk berhenti menjual produk-produk tersebut dan menarik balik produk-produk terjejas dari kedai-kedai mereka. Produk-produk krim RDL juga dijual secara online. Pihak-pihak yang menjualnya di wadah itu diarahkan untuk mengeluarkan produk-produk itu daripada senarai penjualan mereka, menurut HSA.
Pihak berkuasa menasihati para pengguna supaya segera berhenti menggunakan produk-produk terjejas dan berjumpa doktor jika mereka mengalami kesan-kesan sampingan.
Sesiapa yang membekalkan produk kesihatan terlarang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan/atau didenda sehingga S$100,000.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai penjualan dan pembekalan produk-produk terlarang boleh menghubungi Cawangan Penguatkuasaan HSA di talian 6866-3485 semasa waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat. Orang ramai juga boleh mengirimkan maklumat tersebut kepada hsa_is [at] hsa.gov.sg.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.