Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Awas! Polis, DBS beri amaran penipuan pancing data menerusi SMS

Anggaran Waktu Membaca:
Awas! Polis, DBS beri amaran penipuan pancing data menerusi SMS

Contoh kiriman SMS daripada DBS yang palsu. (Gambar: SPF/DBS)

SINGAPURA: Pihak polis dan DBS Bank memberi amaran tentang skim penipuan pancingan data yang semakin meningkat kebelakangan ini melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS). Mangsa diperdaya untuk menyerahkan maklumat peribadi dengan memasukkan nama pengguna dan kata laluan akaun perbankan online mereka.

Dalam satu kenyataan bersama pada Rabu malam (8 Jun), kedua-dua pihak mendedahkan bahawa terdapat "trend meningkat" penipuan pancingan data di mana penipu akan menyamar sebagai kakitangan bank.

"Harap ambil perhatian bahawa pihak bank tidak akan menghantar SMS dengan pautan yang boleh diklik. Orang ramai tidak seharusnya membuka pautan dalam SMS yang kononnya daripada bank," menurut kenyataan itu.

Dalam taktik terbaru skim penipuan sedemikian, orang ramai akan menerima SMS yang tidak diminta daripada penghantar dengan nama seperti “SG-DBS” atau “DBS-Notice”, antara lain.

Kiriman SMS tersebut akan mendakwa bahawa kad pelanggan telah disekat akibat aktiviti luar biasa, atau akaun bank mereka telah dibekukan kerana aktiviti yang mencurigakan.

SMS tersebut akan mengarahkan mangsa untuk log masuk melalui pautan yang diberi untuk mengesahkan identiti mereka.

Selepas mangsa klik pada pautan dalam SMS, mereka akan dibawa ke laman log masuk perbankan Internet palsu, di mana mangsa akan diminta memasukkan nama pengguna dan kata laluan akaun perbankan online mereka.

Mereka kemudian akan diarahkan pula ke laman web palsu lain yang meminta mereka memasukkan kata laluan sekali sahaja (OTP) yang diterima dalam telefon bimbit mereka.

Mangsa hanya menyedari mereka sudah ditipu apabila mendapati transaksi yang tidak dibenarkan telah dibuat menggunakan akaun bank mereka.

"DBS dan polis bekerjasama dalam pelbagai usaha anti-penipuan," tulis kenyataan itu.

Pada bulan lepas, lebih 600 pelanggan "dilindungi daripada pelbagai jenis penipuan disebabkan pengawasan aktif", dan kerugian berjumlah S$173,000 berjaya dikembalikan.

Bagaimanapun, sekitar 60 mangsa termakan skim penipuan pancingan data dan masing-masing kerugian antara S$60 dengan S$3,000, kongsi pihak bank dan polis.

"Ini mungkin bertambah jika akaun terus terjejas," tambah mereka.

Dalam satu catatan Facebook pada Rabu, DBS mengingatkan pelanggannya supaya berwaspada terhadap "penipuan pancingan data SMS yang berterusan dan semakin meningkat".

"DBS tidak akan menghantar sebarang SMS kepada anda dengan pautan yang boleh diklik. Untuk melindungi pelanggan kami, kami mungkin mengambil langkah jangka pendek untuk mematahkan helah penipu dan mengharapkan persefahaman anda tentang sebarang kemungkinan berlaku kesulitan/kelewatan dalam transaksi," kata bank itu.

Menurut kenyataan bersama itu lagi, langkah-langkah jangka pendek itu "mungkin menyebabkan pergeseran atau kelewatan transaksi" untuk mengganggu penipuan dan melindungi pelanggan.

Bank itu enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai langkah-langkah jangka pendek ini.

Pelanggan yang mengesyaki mereka telah menjadi mangsa penipuan boleh menghubungi talian khusus DBS di 1800-339-6963 (dari Singapura) atau +65 6339 6963 (dari luar negara) dan bercakap dengan Pegawai Khidmat Pelanggan DBS, atau mengaktifkan Suis Keselamatan untuk menyekat akses kepada dana mereka buat sementara waktu.

DBS akan membantu pelanggan sedemikian dengan tindakan susulan yang diperlukan, termasuk menggantikan kad mereka dan membuat laporan penipuan, jelas kenyataan bersama itu lagi.

Pada Ahad, polis menyatakan sekurang-kurangnya 28 mangsa kerugian kira-kira S$114,000 sejak Mei tahun ini selepas memberikan butiran peribadi dan OTP mereka kepada penipu yang menyamar sebagai pekerja bank.

Rangkaian penipuan pancingan data melalui SMS baru-baru ini menjejas ratusan pelanggan OCBC Bank, dengan kerugian berjumlah S$13.7 juta.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan