Skip to main content

Singapura

Awas! Polis beri amaran tentang penipuan baharu libatkan app Android

Anggaran Waktu Membaca:
 Awas! Polis beri amaran tentang penipuan baharu libatkan app Android

(Gambar: SPF)

Diterbitkan : 15 Aug 2023 09:59PM Dikemas Kini : 15 Aug 2023 10:02PM
SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Selasa (15 Ogos) memberi amaran kepada orang ramai tentang penipuan pinjaman baharu, yang melibatkan aplikasi Android yang berniat jahat.

Sekurang-kurangnya sembilan orang menjadi mangsa penipuan itu antara 1 Julai hingga 13 Ogos, dengan kerugian sekitar S$18,000, menurut SPF dalam kenyataan medianya.

"Dalam kes-kes sebegini, mangsa sama ada ternampak iklan yang menawarkan pinjaman di platform online seperti Facebook atau menerima kiriman teks menerusi aplikasi seperti WhatsApp," jelas SPF.

"Penipu itu akan mengirimkan pautan URL kepada mangsa jika mereka meluahkan minat terhadap iklan pinjaman sedemikian."

Sebagai sebahagian daripada permohonan untuk mendapatkan pinjaman, pautan URL itu memerlukan mangsa untuk memuat turun fail kit pakej Android (APK) - app yang dicipta bagi sistem operasi Android - kononnya bagi tujuan pendaftaran atau komunikasi.

App tersebut adalah perisian hasad yang mengumpul dan menghantar data peribadi daripada telefon mangsa kepada penipu berkenaan.

"Penipu itu pertama sekali akan memperdayakan mangsa untuk mengambil pinjaman dengan kadar faedah menarik tetapi kemudian memerlukan pemohon pinjaman untuk membayar pelbagai 'yuran' bagi mendapatkan pinjaman itu," dedah SPF.

Jika mangsa enggan membayar yuran atau cuba membatalkan permohonan mereka, para penipu akan menggunakan data peribadi mangsa untuk memeras ugut mangsa agar membayar yuran tersebut.

"Selepas digertak oleh para penipu, mangsa akan memindahkan wang ke akaun bank tempatan yang disediakan para penipu itu," tambahnya.

Perisian hasad itu akan dapat mencuri maklumat seperti lokasi mangsa, kata laluan sekali saja dan senarai nombor telefon, serta fail yang disimpan dalam peranti mereka.

Polis mengingatkan orang ramai bahawa ia juga berbahaya untuk memuat turun aplikasi dari pihak ketiga atau laman yang mencurigakan kerana ia boleh menyebabkan perisian hasad dimasukkan ke dalam peranti mereka dan menjejas maklumat peribadi mereka.

SPF menasihati orang ramai supaya mengambil langkah-langkah berwaspada berikut demi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan seumpama itu:

- Muat turun app antivirus atau yang mencegah perisian hasad melalui Play Store atau App Store rasmi

- Kemas kini sistem operasi dan aplikasi peranti secara kerap agar dilindungi dengan kemas kini keselamatan terbaharu

- Jangan muat turun dan pasang app dari sumber yang tidak dikenali pada tetapan telefon

- Jangan beri keizinan kepada "pop-up" berkali-kali yang meminta akses kepada perkakasan atau data peranti

- Periksa tanda-tanda penipuan dengan sumber rasmi seperti www.scamalert.sg atau dengan menghubungi Talian Bantuan Antipenipuan di 1800-722-6688
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita