Awas! Polis beri amaran pancingan data dalam WhatsApp palsu

(Gambar: Kirill KUDRYAVTSEV / AFP)
SINGAPURA: Polis menasihati orang ramai pada Jumaat (27 Okt) mengenai penipuan pancingan data baharu yang menggunakan laman web WhatsApp Web palsu.
Laman web ini memperdayakan si pengguna agar memberikan akses kepada akaun WhatsApp mereka.
Mangsa yang ingin menggunakan akaun WhatsApp mereka di komputer akan mencari laman web rasmi menggunakan enjin carian online.
"Kemudian, mereka akan klik pada beberapa hasil carian utama yang diberikan oleh enjin carian online ini tanpa mengesahkan alamat URL dahulu," kata pihak polis.
Namun, terdapat laman web pancingan data yang dibenamkan dengan kod QR tulen yang diambil daripada laman web rasmi, tambah polis.

Apabila mangsa mengimbas kod QR, laman web itu akan menjadi tidak responsif, dan mereka tidak dibawa ke halaman WhatApp Web yang rasmi.
Penipu yang membenamkan kod QR di laman web pancingan data itu kemudian akan mendapatkan akses kepada akaun WhatsApp mangsa daripada jauh.
Mereka akan menghantar pesanan kepada kenalan mangsa dan meminta butiran peribadi serta butiran perbankan online. Dalam beberapa kes, mereka juga akan meminta wang untuk dipindahkan kepada akaun bank mereka.
Oleh kerana mangsa masih boleh mengakses akaun WhatsApp mereka pada masa yang sama, mereka hanya akan mengetahui bahawa akaun mereka terjejas apabila diberitahu oleh kenalan-kenalan mereka yang menerima "permintaan yang luar biasa", menurut pihak polis.
Polis menggesa orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga seperti berikut:
- Memastikan mereka menggunakan aplikasi komputer "desktop" WhatsApp atau laman web yang rasmi
- Jangan berkongsi kod pengesahan, butiran peribadi, butiran perbankan atau kata laluan sekali sahaja (OTP) dengan sesiapa pun
- Berhati-hati dengan permintaan luar biasa yang diterima melalui WhatsApp, walaupun ia dikirimkan oleh kenalan mereka
- Membolehkan pengesahan dua langkah
- Memeriksa peranti yang terpaut dengan kerap
- Menetapkan kod pada peranti dan mengetahui siapa yang mempunyai akses fizikal kepada telefon mereka
Mediacorp telahpun menghubungi Google serta syarikat induk WhatsApp Meta mengenai langkah-langkah yang akan diambil bagi menangani kes penipuan terbaharu ini.
Awal bulan ini, pihak polis berkata mereka kini bekerjasama dengan Meta untuk menamatkan talian WhatsApp yang dipercayai digunakan dalam penipuan, serta menghapuskan moniker dan iklan dalam talian yang mencurigakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.