Skip to main content

Singapura

Awas! penipuan pancing data menyamar sebagai LTA, sasar pelawat SG di Malaysia

Anggaran Waktu Membaca:
Awas! penipuan pancing data menyamar sebagai LTA, sasar pelawat SG di Malaysia
SMS yang memancing data dihantar oleh penipu yang menyamar sebagai LTA. (Gambar: SPF)
Diterbitkan : 10 Feb 2026 09:04PM Dikemas Kini : 10 Feb 2026 09:06PM
SINGAPURA: Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada terhadap penipuan yang memancing data atau "phishing" yang melibatkan SMS menyamar sebagai Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) yang dihantar kepada pelawat rakyat Singapura yang ke Malaysia.

Demikian menurut pihak polis pada Selasa (10 Feb).

Melalui penipuan ini, mangsa akan menerima kiriman SMS yang mendakwa ia daripada LTA mengenai bayaran tol kenderaan yang tidak dilunaskan selepas telefon bimbit mereka disambungkan ke rangkaian telekomunikasi Malaysia untuk khidmat 'roaming'.

Mesej teks tersebut, yang dihantar melalui ID penghantar rasmi laman LTA yang dinamakan "LTA", akan menyatakan bahawa mangsa mempunyai tunggakan bayaran tol kenderaan, berdasarkan petikan skrin yang disediakan.

ID penghantar tersebut ditamatkan perkhidmatannya pada Julai 2024 dan tidak lagi digunakan, menurut polis.

Untuk membayar tol tersebut, mangsa akan diminta untuk menekan pautan yang akan membawa mereka ke laman memancing data, yang kemudian meminta butiran kad bank mereka.

"Mangsa hanya menyedari bahawa mereka sudah ditipu apabila urus niaga tanpa kebenaran dilakukan peruncit yang tidak dikenali menggunakan kad mereka," menurut polis.

Sejak 27 Januari, sekurang-kurangnya 10 kes dilaporkan, dengan kerugian sekurang-kurangnya S$24,000.

Orang ramai dinasihatkan supaya mengabaikan pautan meragukan yang dihantar melalui SMS yang mendakwa ia adalah dari LTA, tambah polis.

Semua mesej rasmi pemerintah dihantar daripada ID penghantar tunggal iaitu "gov.sg". Mesej yang dihantar daripada ID penghantar mana-mana agensi pemerintah yang sudah ditamatkan perkhidmatannya adalah palsu, tambah pihak berkuasa.

Pengguna harus menyekat penghantar mesej sedemikian, nasihat polis.

Butiran mengenai bayaran tertunggak boleh didapatkan melalui laman One Motoring LTA.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita