Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Awas, penipuan pancing data libatkan e-dompet kembali perdaya mangsa

Polis menyatakan penipuan memancing data melibatkan e-dompet muncul kembali. Ia membabitkan penipu memohon bagi e-dompet dengan menggunakan maklumat yang dikumpulkan daripada mangsa.

Anggaran Waktu Membaca:
Awas, penipuan pancing data libatkan e-dompet kembali perdaya mangsa

Dalam sesetengah kes, pemanggil akan memulakan satu panggilan video melalui aplikasi pengiriman mesej dengan berpakaian seragam seperti yang dikenakan oleh pegawai SPF. (Gambar: SPF)

Diterbitkan : 13 Jan 2022 07:48PM Dikemas Kini : 13 Jan 2022 09:27PM

SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) memberi amaran terhadap kemunculan semula penipuan memancing data melibatkan e-dompet.

Dalam kenyataan media pada Khamis (13 Jan), polis menyatakan ia "menyaksikan sekurang-kurangnya 1,200 kes" penipuan memancing data sejak Disember tahun lalu.

Polis menyatakan penipuan memancing data melibatkan e-dompet muncul kembali. Ia membabitkan penipu memohon bagi e-dompet dengan menggunakan maklumat yang dikumpulkan daripada mangsa.

Mangsa menerima panggilan yang tidak diminta melalui aplikasi pengiriman mesej seperti WhatsApp, Viber atau IMO. Mangsa kemudian akan bercakap dengan pemanggil yang mendakwa dirinya daripada sebuah agensi Pemerintah seperti SPF atau Kementerian Tenaga Manusia (MOM), menurut polis.

"Pemanggil ini sering mempamerkan lencana rasmi atau gambar pegawai daripada agensi-agensi pemerintah sebagai gambar profil mereka untuk mengukuhkan muslihat mereka," kongsi polis.

"Dalam sesetengah kes, pemanggil akan memulakan satu panggilan video melalui aplikasi pengiriman mesej ini dengan berpakaian seragam seperti yang dikenakan oleh pegawai SPF."

Semasa perbualan dengan penipu, mangsa akan diminta untuk memberikan maklumat peribadi, butiran perbankan dan kata laluan sekali sahaja (OTP) bagi tujuan pengesahan atau membantu dalam siasatan.

“Dengan menggunakan maklumat yang disediakan oleh mangsa, penipu kemudian akan membuka sebuah e-dompet menggunakan aplikasi seperti DBS PayLah!, Singtel Dash atau GrabPay atas nama mangsa dan menokok jumlah dalam e-dompet berkenaan melalui akaun bank mangsa.

"Dalam sesetengah kes, mangsa disuruh untuk membuat tokokan tunai pada e-dompet di mesin AXS atau kedai serbaneka," terang polis.

Mangsa kemudian akan menerima makluman yang memaklumkan kepada mereka bahawa pelbagai urus niaga dilakukan daripada akaun bank mereka ke e-dompet mereka. Mangsa hanya menyedari mereka sudah diperdaya apabila mereka dihubungi oleh bank untuk mengesahkan urus niaga tersebut.

Agensi pemerintah tidak akan pernah menghubungi anggota masyarakat melalui aplikasi pengiriman mesej untuk mendapatkan maklumat peribadi, butiran bank mahupun OTP, tegas polis.

Ia turut menasihati anggota masyarakat agar mengamalkan langkah-langkah berwaspada berikut ini apabila menerima panggilan tidak diminta sama ada menerusi telefon mahupun aplikasi pengiriman mesej:

  • Abaikan arahan yang diterima. Tiada agensi pemerintah yang akan mendapatkan maklumat peribadi melalui panggilan telefon
  •  Jangan dedahkan maklumat peribadi atau butiran perbankan Internat termasuk NRIC, nombor pengeluaran NRIC dan OTP kepada sesiapa
  • Sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat dengan menghubungi agensi pemerintah yang relevan melalui talian hotlinenya
  • Laporkan dengan segera sebarang urus niaga penipuan pada bank anda
Sumber : CNA/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa